Esports adalah masa depan.
Kontroversi yang berlaku kepada pasukan esports AirAsia Saiyan (ASYN) dalam Mobile Legends Southeast Asia Cup (MSC) 2018 di Jakarta, Indonesia telah mendapat perhatian Menteri Belia & Sukan, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Satu sidang media telah diadakan yang baru sahaja tamat sebentar tadi bagi menyatakan pendirin Kementerian Belia & Sukan (KBS) Malaysia terhadap isu ini, serta menjelaskan kepada pihak media apakah yang terjadi dalam kejohanan tersebut sehingga membuatkan pasukan dari Malaysia ini menarik diri.
Apa yang dijelaskan oleh YB Saddiq adalah selari dengan apa yang telah kami laporkan sebelum ini.
Mengulas panjang mengenai isu ini, YB Saddiq berkata apa yang berlaku kepada pasukan ASYN ini dan reaksi rakyat Malaysia terhadapnya adalah bukti bahawa mereka memandang serius terhadap industri esports.
“Perkara ini menunjukkan bahawa ramai rakyat Malaysia yang mengambil esports secara serius,” kata Saddiq. “Kalau kita lihat tindak balas mereka agak memberansangkan menunjukkan bahawa mereka mengikuti perkembangan AirAsia Saiyan, dan dalam masa yang sama menunjukkan bahawa esports adalah masa depan.”
Beliau menyambung bahawa nanti bakal ada perbincangan susulan terhadap isu ini. Persatuan Esports Malaysia (ESM) akan bertemu dengan Persekutuan Esports Antarabangsa (IeSF) serta beberapa wakil dari Indonesia untuk mencari titik pertemuan dan menyelesaikan perkara ini. KBS akan membantu ESM dalam menyelesaikannya.
YB Saddiq kemudian menyatakan yang beliau berharap agar banyak lagi syarikat korporat yang berani untuk tampil ke hadapan dalam menjayakan usaha untuk mengembangkan esports di negara ini, seperti mana yang Air Asia telah lakukan melalui ASYN. Beliau menegaskan yang perkembangan ini tidak akan dapat dilakukan tanpa sokongan daripada syarikat-syarikat korporat ini.
Comments
Loading…