Sayang sekali.

Bakat muda Pro Evolution Soccer (PES) dari Indonesia, Rizky Faidan disahkan tidak akan bertanding di Sukan Asia Jakarta-Palembang 2018 kerana tidak melepasi had umur yang ditetapkan oleh Pertubuhan Sukan Electronik Asia (Asian Electronic Sports Federation – AESF).
AESF menetapkan bahawa pemain sekurang-kurangnya perlu berumur 16 tahun untuk layak ke pertandingan pertunjukkan yang bakal diadakan di temasya sukan terbesar benua itu. Acara tersebut akan diadakan pada bulan hadapan, dan Rizky masih berumur 15 tahun pada ketika itu nanti.
Dua pemain Indonesia telahpun terpilih sebelum ini untuk mewakili negara Garuda itu, iaitu Rizky sendiri dan Setia Widianto. Disebabkan peraturan yang tidak membenarkan ini, Rizky bakal digantikan dengan Elga Cahya Putra.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Persatuan Esports Indonesia (Indonesia Esports Association – IESPA) menyatakan yang mereka telahpun membuat pemilihan pemain mengikut peraturan Technical Handbook (THB) yang diedarkan oleh AESF. Di bahagian Pro Evolution Soccer, tidak dinyatakan syarat untuk umur minimum.
Setelah IESPA menghantar data seluruh kontingen Indonesia kepada AESF, mereka memberitahu kepada IESPA bahawa Rizky Faidan tidak memenuhi syarat umur minimum. IESPA kemudian telah mengemukan protes kepada AESF dan menunjukkan bukti bahawa dalam THB, untuk game PES, tidak dinyatakan syarat umur minimum.
AESF telahpun memohon maaf kepada IESPA kerana kelalaian mereka dalam memberikan peraturan dalam THB yang tidak lengkap.
Pastinya perkara ini amat mendukacitakan kepada pasukan PES Indonesia dan juga kekecewaan yang besar kepada Rizky kerana tidak dapat beraksi di hadapan penyokong sendiri.
Rizky Faidan sememangnya seorang pemain yang cukup digeruni di Asia Tenggara, dan sering digelar sebagai ‘Wonderkid’. Hujung minggu lalu, beliau telah turun ke Kuala Lumpur untuk kejohanan PES 2018 yang diadakan di Quill City Mall. Anak muda ini pulang dengan hati yang cukup gembira apabila menjuarai kejohanan ini dan membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,500.

Kepada Rizky, kami di JomGaming berharap kamu akan terus bangkit dalam kejohanan-kejohanan akan datang dan terus memberikan inpirasi kepada seluruh pemain PES di Asia Tenggara!
Comments
Loading…