Apa akan jadi kalau filem The Good, The Bad and The Ugly bergabung dengan filem Harry Potter. Jawapannya korang akan dapat Wild West and Wizards.
Wild West and Wizards merupakan sebuah game indie open-world RPG yang menggabungkan elemen-elemen seperti eksplorasi, menembak, penggunaan magik dan mencari loot. Ia dibangunkan dan diterbitkan oleh Lavaboots Studios untuk platform PC. Jadi, bagaimana dua konsep ini boleh bertembung? Mulakan dengan plot dahulu.
Plot
Untuk jalan cerita, Wild West and Wizards lebih mementingkan environmental storyline di mana pemain sendiri perlu menjelajah ke kawasan-kawasan yang berada di sekitar negara tanah merah untuk mencari kisah sebenar yang tersembunyi. Pemain akan dapat informasi tentang sesuatu perkara itu sama ada dengan membaca journal, mencari klu atau berinteraksi dengan NPC.
Bagi penulis, sesetengah kawasan sememangnya mempunyai cerita menarik yang tersendirinya. Kadangkala ia penuh dengan misteri membuatkan pemain ingin terus menjelajah ke kawasan tersebut untuk merungkai misteri yang ada.
Namun, kesemua cerita itu hanyalah lebih kepada cerita sampingan untuk quests semata-mata. Dan bukannya plot utama, ini kerana Wild West and Wizards seakan-akan tiada jalan cerita utama yang boleh memberikan sebab yang kuat kepada pemain untuk terokai dunia game ini.
Permainan dimulakan dengan pemain bangkit dari lubang kubur selepas dibantu oleh seorang NPC. Dia memberitahu pemain supaya berhati-hati dengan dunia luar sana dan itu sahaja. Tidak ada sebarang plot tentang siapa yang cuba untuk membunuh pemain dan kenapa, apa sahaja yang boleh menguatkan lagi tujuan pemain untuk menjejakkan kaki ke dunia berbahaya Wild West.
Gameplay
Sebagai permulaan, pemain kena mencipta karakter sendiri dari pilihan jantina, rambut, warna mata sehingga ke warna kulit. Terdapat sekurang-kurangnya lima pilihan berbeza untuk setiap kategori. Untuk kelas, pemain boleh pilih salah satu sama ada Gunslinger, Wizards atau Witch Doctor.
Gunslinger lebih menumpukan kuasanya pada senjata apinya dengan kebolehan seperti lock-on pada sasaran untuk tingkatkan kekuatan dan ketepatan semasa menembak.
Wizard lebih menumpukan kepada kuasa magiknya dengan pemain boleh melontarkan bebola api dan ais ke arah musuh.
Manakala Witch Doctor pula lebih mementingkan kuasa pertahanan magik dan menyerap kuasa dari pihak musuh.
Di antara ketiga-tiga kelas ini, Wizard yang paling kuat, mungkin terlalu kuat sampai boleh kalahkan musuh yang lebih tinggi level dari pemain.
Statistik pemain dibahagikan kepada health, mana, stamina, agility, finesse, smarts, toughness, wit, armor, cold resistance, heat resistance dan nature resistance. Bagi penulis, kesemua bahagian memberikan impak kepada pemain kecuali smarts dan wit yang agak samar-samar impaknya ke atas pemain.
Pemain boleh berjalan, lompat, berlari dan melakukan dodge untuk elak serangan dari musuh. Penulis jarang menggunakan kebolehan dodge ini kerana pergerakannya tidak memberikan maklum balas yang jelas kepada pemain sama ada pemain sudah betul-betul mengelak serangan musuh atau tidak. Tapi apa yang pelik dalam game ini, tiada butang untuk tunduk.
Pemain boleh membawa dua senjata pada satu-satu masa. Ini merangkumi senjata api seperti double barrel shotgun, shotgun, rifle dan revolver. Semasa zoom-in, pemain boleh menggunakan kebolehan lock-on yang boleh didapati untuk ketiga-tiga kelas. Fungsi itu bagi memudahkan pemain untuk membidik sasaran semasa zoom ini, tetapi itu terpulang kepada pemain sama ada mahu menggunakannya atau tidak.
Pergerakan pemain akan menjadi perlahan semasa reload, perkara yang sama akan terjadi semasa pemain menggunakan items. Terdapat beberapa jenis peluru yang boleh pemain gunakan seperti peluru normal, rare dan basic. Setiap satunya memberikan kesan damage berbeza ke atas musuh.
Pemain boleh gunakan sehingga enam kuasa magik. Setiap enam slot yang tersedia boleh ditukarkan dengan kuasa magik lain jika pemain sudah dapat skil magik baru. Pemain boleh menggunakan kuasa magik dan menembak secara serentak semasa berlawan dengan musuh. Pemain boleh gabungkan serangan dua magik berbeza ke atas musuh untuk kesan yang lebih baik. Kuasa magik yang disediakan sangat menarik untuk pemain bereksperimen semasa berlawan.
Elemen loot merupakan antara fokus utama dalam Wild West and Wizards. Setiap tempat akan tersimpan chests yang boleh pemain buka untuk dapatkan sama ada senjata, pakaian dan skrol magik yang digunakan untuk unlock kuasa baru.
Namun agak menjengkelkan apabila sesetengah chest tidak boleh dibuka kerana pemain perlu dapatkan kunci yang mempunyai tahap berbeza. Senjata, pakaian dan magik akan memberikan kesan ke atas statistik pemain bergantung kepada tahapnya sama ada normal, rare atau epic. Namun, kebanyakan item seperti senjata dan pakaian hanya mengubah warna dan statistik, tidak ada sebarang variasi dari segi corak dan reka bentuk.
Inventory juga disediakan untuk pemain mencari dan mengumpul item-item yang boleh dijual di kedai sebagai tukaran kepada wang. Wang itu pula boleh digunakan untuk upgrade senjata, magik dan pakaian pemain. Setiap kills atau quest yang telah diselesaikan akan diberikan experience points kepada pemain yang mana pemain boleh tingkatkan 17 jenis talents apabila telah capai level up.
Pemain akan bertembung dengan beberapa buah pekan yang mana pemain boleh mencari quest baru, berinteraksi dengan NPC dengan pilihan dialog walaupun tidak memberikan apa-apa kesan dan melakukan jual beli di kedai-kedai. Setiap tempat baru yang diterokai, pemain kena mencari teleport rune yang mana membolehkan pemain fast travel ke tempat lain. Walaupun tanpa teleport rune, pemain masih boleh fast travel dengan hanya membuka map.
Bercakap mengenai map, game ini mempunyai navigasi map yang paling teruk pernah penulis lihat. Pertama, untuk mencari quest dalam map, tidak ada fungsi seperti klik dan terus tuju ke kawasan misi dalam map. Sebaliknya, penulis kena gunakan mouse untuk tarik berkali-kali dalam kawasan map untuk mencari sendiri di mana quest itu berada, sangat menyakitkan.
Kedua, tidak ada fungsi seperti tag location, ini kerana game ini menggunakan kompas sebagai penanda arah tuju. Tapi nampaknya kompas di atas skrin itu seperti tidak ada fungsi sekiranya pemain perlu membuka map berkali-kali. Jika game ini menyediakan mini map pun sudah cukup membantu.
Juga, game ini mempunyai obsesi dengan tidak mahu pause game. Dari ruangan map sehingga ke ruangan menu. Penulis boleh bertimbang rasa lagi dengan ruangan map dan ruangan statistik/inventory pemain. Tapi pada ruangan menu, pemain perlu klik pada pause untuk pastikan game itu benar-benar pause. Lebih baik jika ruangan menu itu terus automatik menjadi pause.
Musuh dibahagikan kepada tiga — raksasa, gunslinger dan wizards. Gunslinger fokus kepada menembak, wizards lebih kepada magik dan raksasa selalunya lebih kuat daripada pemain. Walau bagaimanapun, berlawan dengan mereka seperti berlawan dengan orang sama kerana tidak ada sebarang perbezaan dari segi attack pattern yang boleh mencabar pemain dari segi pergerakan, menembak dan penggunaan magik. Walaupun menarik tapi setiap pertembungan boleh jadi repetitif.
Oleh sebab kebanyakan musuh akan tunggu di satu kawasan, perjalanan dari satu tempat ke satu tempat menjadi bosan. Dunia sudah cukup besar, tapi kosong. Tidak ada sebarang musuh atau raksasa yang berlegar-legar di merata tempat yang boleh mendatangkan bahaya kepada pemain. Yang ada hanyalah, kala jengking sahaja. Dunia luas, perjalanan menjadi bosan, game ini mungkin boleh masukkan fungsi kenderaan seperti kuda atau penyapu terbang. Pembangun boleh luaskan lagi idea ini dalam game mereka.
Grafik
Game ini menggunakan grafik gaya polygon yang seakan-akan meyerupai game Team Fortress 2. Walaupun nampak cantik dan menarik, namun game ini mempunyai masalah dari segi animasi. Tidak ada sebarang ekspresi pada wajah setiap NPC, malah mereka tidak langsung mengedipkan mata. Pergerakan setiap karakter juga nampak kaku. Animasi untuk reload juga nampak malas dengan hanya menunjukkan peluru masuk ke dalam senjata dengan sendirinya tanpa tangan karakter bergerak.
Terdapat banyak bugs juga dalam game ini antaranya seperti dialog pada karakter NPC tidak muncul, quest tidak diaktifkan, items untuk misi muncul balik walaupun pemain sudah ambil dan pemain boleh melepasi dinding atau tiang bangunan. Kadangkala, framerate juga akan menurun semasa bermain.
Untuk settings grafik, game ini menyediakan Vsync, field of view, bloom, motion blur, volumetric lighting dan chromatic aberration.
Muzik dan bunyi
Game ini tidak ada suara untuk setiap karakter. Dari segi bunyi seperti tembakan dari senjata api adalah baik, tapi boleh dipertingkatkan lagi. Muzik dalam game ini bagus dengan bunyi guitar akustik yang sememangnya menaikkan mood pemain sebagai seorang koboi/ahli sihir yang sedang mengembara. Ketiadaan suara dari karakter manusia mahupun dari monster membuatkan game ini hilang immersion kerana suara dan bunyi amat memainkan peranan penting dalam game.
Keseluruhan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?
Wild West and Wizards mempunyai konsep yang menarik, namun pembangun game memilih jalan selamat dan tidak mahu meluaskan lagi idea yang lebih menarik ke dalam game mereka. Game ini mempunyai dunia yang luas dan menarik, tapi kosong. Gameplay yang bagus, tapi boleh menjadi repetitif dengan variasi musuh yang sama serta tidak mencabar. Terdapat banyak bugs yang boleh membantutkan permainan.
+ Kuasa magik yang menarik dan pelbagai
+ Dunia yang ada banyak kawasan menarik
+ Muzik yang bagus
+ Grafik yang ada gaya tersendiri
– Banyak bugs dan animasi yang kurang cantik
– Tidak banyak variasi musuh yang mencabar
– Gameplay boleh jadi repetitif
– Navigasi map yang teruk
– Dunia luas tapi kosong
Comments
Loading…