Kita sentiasa ternanti-nanti apakah langkah seterusnya yang bakal dilakukan Sony dan Microsoft dalam siri perang ambil-alih studio mereka.
Terbaharu, khabar angin bertiup kencang mengatakan studio seterusnya yang bakal diambil-alih oleh salah satu syarikat gergasi gaming itu adalah divisyen gaming Warner Bros.
Ura-ura tentang Warner Bros. ingin melepaskan sayap pembangunan game mereka sudahpun berlegar sejak tahun lalu, di mana pada ketika itu dikhabarkan hanya Microsoft yang berminat. Namun, setelah Microsoft berbelanja besar dengan pengambil-alihan Activision Blizzard, khabar angin ini senyap.
Kini, setelah penggabungan antara WarnerMedia dan Discovery, yang kini dikenali sebagai Warner Bros. Discovery, ura-ura tentang hasrat mereka untuk melepaskan bahagian gaming mereka kembali bertiup.
Laporan terbaharu ini hadir dari wartawan terkenal Imran Khan yang mengatakan minggu ini beliau ada mendengar desas-desus bahawa WB Discovery kembali berhasrat untuk melepaskan studio-studio pembangunan game dan lesen-lesen harta intelek (IP) mereka. Antara pihak yang dikatakan berminat pada ketika ini, menurut Khan, ialah EA, Take-Two, Microsoft, Sony, Tencent, Netease, dan PUBG Corp.
Seperti yang kita tahu, WB Games merupakan sebuah syarikat penerbitan dan pembangunan game yang bukan calang-calang. Di bawahnya terdapat studio-studio besar antaranya NetherRealm, Rocksteady, Avalanche Software, Monolith, dan TT Games.
Sekiranya laporan ini sahih, pihak mana agaknya yang bakal berjaya mengambil-alih WB Games? Sama-samalah kita nantikan.
Comments
Loading…