Amaran! Ada spoiler untuk chapter Epilogue dalam Red Dead Redemption 2.


Ke hadapan Adinda Abigail yang dikasihi,

Kekanda kini dalam perjalanan berkuda 3 jam dari bandar serba indah Saint Denis ke Blackwater. Kekanda tidak boleh tidur kerana bimbangkan keadaan Adinda setelah keputusan adinda tempoh hari. Semoga Adinda berada dalam keadaan sihat dan tenang menghadapi berbagai cabaran selaku Puteri Reformasi dalam Geng van der Linde.

Gelaran itu bukanlah mudah untuk dikalungkan kepada sesiapa walaupun ramai wanita muda era reformasi bangkit bersama, ini adalah kerana adinda ialah lambangnya dan simbol yang sinonim dengan gelombang reformasi yang telah kita sama-sama perjuangkan bersama Kekanda Arthur Morgan, Kekanda Sadie Adler, dan lain-lain. Kekanda amat bangga dengan gelaran itu malah kekanda sering menjadikannya inspirasi kepada anak-anak dan golongan muda lain agar mencontohi susuk tubuh ‘puteri’ ini.

Wahai Adinda Abigail,

Sejak detiknya pemergian Adinda bersama-sama anakanda Jack benar-benar membuat Kekanda terasa umpama kaca terhempas ke batu. Kekanda benar-benar kesal dengan tindakan Kekanda yang telah mengguris hati Adinda. Warkah yang Adinda tinggalkan di atas meja tempoh hari senantiasa Kekanda dakap pada tiap malam sebelum melelapkan mata. Celiknya mata Kekanda ketika fajar menyinsing — nama Adinda-lah yang meniti di bibir Kekanda kerana rindu yang Kekanda alami tidak terperi rasanya. Laksana jentayu menantikan hujan.

Abigail ku yang dicintai,

Kata-kata Adinda yang diungkapkan beberapa purnama yang lalu senantiasa Kekanda sematkan dalam hati. Rumah yang Adinda idam-idamkan dahulu sentiasa menjadi pedoman buat Kekanda dalam mencari rezeki saban hari. Masih lagi terngiang-ngiang dalam fikiran Kekanda bagaimana Adinda mahukan sebuah mahligai untuk kita bertiga diami bersama di suatu kampung bernama Beecher’s Hope yang letaknya di Blackwater.

Sudah beberapa purnama Kekanda usahakan impian hakiki Adinda ini. Seperti yang Kekanda janjikan, telah Kanda siapkan satu daerah paling sunyi, dalam hati ini untuk Dinda isi sebagai permaisuri. Istana yang Kanda siapkan ini bukanlah untuk Dinda seorang sahaja, tetapi untuk kita bertiga mulakan hidup baru bersama.

Wahai Adinda ku,

Yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang. Segala usaha ini pastinya tidak akan menjadi kenyataan tanpa bantuan yang dihulurkan oleh Kekanda Uncle, Kekanda Sadie dan Kekanda Charles. Mereka ini telah sama-sama berganding bahu bersama Kekanda dalam membangunkan taman-taman, kebun-kebun dan kandang-kandang yang indah untuk tatapan Dinda.

Pesan Kekanda Arthur tidak pernah sesaat pun Kanda lupakan. Kekanda Arthur pernah berpesan kepada Kanda bahawa jangan sesekali pandang ke belakang lagi dan sentiasa mengutamakan keluarga. Maka sebab itulah, memegang amanat terakhir Kekanda Arthur, Kanda akan senantiasa memberikan yang terbaik buat Adinda tercinta.

Adinda ku Abigail,

Pulanglah, Adinda ku Abigail, pulanglah sayang. Pulangklah ke pangkuan Kanda dan kita mulakan hikayat yang baru bersama anakanda Jack. Usahlah bermasam muka lagi, dan biarlah Kanda sembuhkan hati yang terluka itu. Sekembalinya Dinda, Kanda akan menunggu bersama-sama Kekanda Sadie dan Kekanda Uncle di mahligai yang Adinda sebut-sebut suatu ketika dulu di Beecher’s Hope.

Kanda ingin menutup warkah Kanda ini dengan mengatakan setelah Kanda utuskan lembaran ini di perkarangan surat-menyurat di Saint Denis, Kanda akan pulang ke Blackwater, menanti kepulangan Dinda dan berdoa agar penantian Kanda ini bukanlah seperti pungguk rindukan bulan.

Sekian,

Yang Benar,

Kekanda John Marston
(Perjalanan berkuda dari Saint Denis ke Blackwater)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.