Bagi peminat game Advance Wars yang inginkan game yang hampir sama sepertinya. Korang tak perlu lihat jauh, lihat pada Wargroove.

Wargroove merupakan sebuah game turn based tactics yang dihasilkan dan diterbitkan oleh Chucklefish, studio sama yang telah mengeluarkan game-game seperti Stardew Valley, Starbound dan banyak lagi.

Wargroove telah dilancarkan untuk PlayStation 4, Xbox One, PC dan Nintendo Switch. Chucklefish mendapat inspirasi dari game Advance Wars (2001) untuk menghasilkan game ini kerana tidak ada game-game dalam kategori genre ini yang dikeluarkan untuk konsol generasi terkini. Jadi, bagaimanakah dengan prestasi Wargroove? Adakah ia dapat mengembalikan nostalgia Advance Wars atau lebih dari itu? Mari kita lihat.

Jalan Cerita

Pertama sekali, plot dalam Wargroove sangat mudah difahami. Ia mengisahkan tentang 4 buah kerajaan iaitu Cherrystone, Floran, Felheim dan Heavensong yang hidup harmoni dalam dunia Aurania. Namun, semuanya berubah selepas raja Cherrystone dibunuh oleh seseorang dari kerajaan Felheim. Maka, anak perempuan raja Cherrystone iaitu Queen Mercia menuntut pembalasan untuk mengalahkan Valder, raja Felheim.

Dalam perjalanan Queen Mercia bersama dengan mentornya, Emeric dan anjing comelnya, Caesar ke lokasi kerajaan Felheim – Queen Mercia berkenalan dengan karakter-karakter dari kerajaan lain seperti Ryota dan Koji dari Heavensong dan Nuru serta Greenfinger dari Floran. Dari situ Queen Mercia menyedari bahawa dia perlu mengembalikan semula perhubungan baik di antara keempat-empat kerajaan ini kerana konflik ini lebih dari sekadar pembalasan ke atas kematian ayahnya.

Setiap karakter juga mempunyai personaliti yang menarik sebagai contoh karakter Ragna setiap masa dia panas baran dan bertindak secara melulu tidak kira dengan siapa dia berlawan. Apa yang kelakarnya, penulis lebih mengingati perwatakan dia dari karakter-karakter lain. Tapi karakter-karakter lain juga dibina dengan baik sebagai contoh Queen Mercia bergelut dalam dirinya untuk cuba menjadi seorang permaisuri yang baik kepada rakyatnya dan Emeric pula selalu memberi tunjuk ajar kepada Queen Mercia tentang bagaimana untuk menjadi seorang komander yang bagus.

Secara keseluruhannya, jalan cerita Wargroove sememangnya boleh membuatkan pemain ingin terus bermain jika mereka hendak mengetahui apa yang berlaku seterusnya.

Tips: Kumpulkan 100 Stars untuk dapatkan secret ending bagi Wargroove!

Gameplay

Wargroove ialah game turn based tactics yang mana memerlukan pemain untuk mengawal 19 unit yang merangkumi unit darat, udara dan laut di medan peperangan. Tidak seperti Advance Wars, dalam Wargroove, komander akan turut sama berperang bersama dengan tenteranya. Terdapat 13 komander yang boleh dimainkan seperti Queen Mercia, Emeric, Ryota dan lain-lain. Setiap komander juga mempunyai kuasa luar biasa atau ‘groove’ yang boleh digunakan untuk membantu unit sendiri atau menghapuskan unit pihak musuh. Sebagai contoh Queen Mercia mempunyai groove Healing Aura yang dapat memulihkan nyawa unit-unitnya.

Di medan peperangan, pemain boleh menghantar unit untuk menawan bangunan-bangunan di sepanjang map perlawanan. Bangunan yang telah ditawan boleh menjadi tempat untuk pulihkan nyawa unit dan sebagai benteng pertahanan untuk melambatkan kemaraan pihak musuh. Bangunan yang lebih besar atau menara pula boleh digunakan untuk memanggil unit baru. Setiap pergerakan yang dilakukan oleh setiap unit akan membolehkan pemain memperolehi wang dan wang tersebut boleh digunakan untuk panggil unit baru dan pulihkan nyawa unit.

Setiap unit juga mempunyai kelebihan dan kekurangan ke atas unit-unit pihak lawan tertentu serta mereka juga mempunyai critical hit masing-masing. Contohnya, Pikeman sangat lemah apabila berhadapan dengan Knight, tapi apabila dua unit Pikeman diletakkan di dua posisi yang sama, ia akan menghasilkan critical hit yang mampu mengalahkan Knight.

Map perlawanan juga tidak dibiarkan begitu sahaja tanpa ada sebarang fungsi. Setiap map yang merangkumi kawasan hutan, kampung, padang pasir, salji dan laut mempunyai laluan, rupa bumi, posisi bangunan yang berbeza yang membolehkan pemain bereksperimen dengan pelbagai taktik. Kawasan seperti hutan, sungai dan gunung memberikan kelebihan dan kekurangan kepada unit. Contohnya, kawasan gunung memberikan kelebihan pertahanan ekstra kepada unit tapi melambatkan pergerakan unit.

Sistem cuaca seperti hujan, kabus, salji dan lain-lain juga hadir dalam Wargroove dan ia sememangnya memberikan kesan terhadap cara pemain bermain. Sebagai contoh, cuaca kabus menyebabkan pemain tidak nampak posisi unit pihak lawan dan pemain memerlukan unit anjing untuk membolehkan pemain lihat di balik kabus. Manakala cuaca seperti ribut pasir pula dapat menyukarkan penglihatan pemain untuk meletakkan unit pemain.

Untuk memenangi perlawanan, pemain boleh mengalahkan komander pihak lawan atau musnahkan stronghold pihak musuh. Dalam sesetengah misi juga, pemain boleh mengawal lebih dari seorang komander. Ini menyebabkan tempoh masa perlawanan menjadi lebih lama yang mana boleh mencapai sehingga lebih dari 45 minit kerana lebih banyak unit yang perlu dikawal, musuh yang lebih ramai dan map yang lebih besar dan luas.

Apabila terlalu ramai unit yang perlu dikawal, di sini kelemahan pertama dapat dilihat. Apabila dua unit berada di posisi yang sama, dua unit itu akan bertindih antara satu sama lain. Di PC, pemain akan susah untuk memilih unit yang dikehendaki dengan menggunakan cursor kerana cursor tersebut tidak dapat mengesan mana unit yang sepatutnya dia pilih.

Untuk single player, terdapat tiga mode yang disediakan. Campaign, Arcade dan Puzzles. Mode campaign seperti biasa pemain perlu lengkapkan main missions serta side missions. Side missions pula memberi peluang kepada pemain untuk bermain sebagai komander lain serta untuk mengetahui dengan lebih mendalam mengenai karakter tersebut. Lengkapkan side missions membolehkan pemain unlock karakter tersebut yang mana boleh dimainkan di mode arcade.

Bagi mode arcade pula, pemain boleh gunakan kesemua 13 komander untuk bermain dalam mode ini. Dalam mode ini, pemain perlu melepasi 5 stages untuk menang. Map yang disediakan dalam mode ini lebih kecil dan tempoh masa perlawanan tidak lama seperti dalam mode campaign. Bermain arcade mode juga membolehkan pemain unlock muzik jukebox. Untuk mode puzzles bagi penulis sangat mencabar kerana setiap unit hanya boleh lakukan satu pergerakan sahaja dan pemain perlu tamatkan perlawanan itu dalam satu pusingan. Terdapat 25 jenis puzzles yang disediakan.

Cuma apabila bermain sebagai Sedge dalam mode puzzles, kuasa groove Sedge mungkin agak overpower dan menipu kerana apabila Sedge dapat membunuh musuhnya dengan menggunakan groove, dia dapat melakukan lebih dari satu pergerakan dalam mode puzzles.

Tidak kira sama ada pemain bermain di mode campaign, arcade dan puzzles. Pemain akan diberikan ganjaran tiga bintang yang mana bintang-bintang itu boleh dikumpulkan untuk unlock codex (jika pemain mahu mengetahui dengan lebih mendalam mengenai dunia dan karakter Wargroove), concept arts dan satu misteri.

Bagi pemain yang mahu merasai pengalaman bermain dengan relaks, difficulty boleh diubah suai mengikut kehendak pemain sama ada mahu bermain secara easy, normal atau hard. Setiap perubahan yang dilakukan boleh memberikan kesan terhadap berapa banyak wang yang diterima, berapa banyak jumlah serangan yang boleh dikenakan dan bintang yang diperolehi.

Bagi multiplayer pula, terdapat dua mode disediakan iaitu Local dan Online. Mode Local membenarkan pemain bermain sehingga 4 orang dengan pilihan pelbagai map. Manakala bagi mode online pula, pemain akan bertarung dengan pemain dari seluruh dunia sama ada secara quick play atau hosted match. Apa yang menariknya, Wargroove mempunyai satu fungsi yang dikenali sebagai Asynchronous yang mana membenarkan pemain untuk keluar/masuk semasa permainan sedang berlangsung pada bila-bila masa sehingga tiba giliran mereka.

Di bahagian custom contents, pemain boleh mencipta map dan campaign sendiri dengan menggunakan tools yang telah disediakan dan untuk menghasilkannya sangat mudah. Pemain boleh tentukan berapa besar map, berapa banyak unit dan bangunan yang mahu diletakkan dan banyak lagi. Pemain juga boleh upload dan download map yang dihasilkan oleh orang lain.

Apa yang bestnya, mode multiplayer dan bahagian custom content ini menyokong fungsi crossplay antara Xbox One, PC dan Nintendo Switch.

Muzik

Muzik dalam Wargroove dihasilkan oleh Phonetic Hero dan ia sememangnya sedap di dengar. Menariknya, setiap kerajaan mempunyai lagu tema masing-masing. Cherrystone lebih berbunyi gembira, Floran runut bunyinya lebih dekat dengan alam semula jadi, Heavensong lebih berbunyi kepahlawanan dan Felheim lebih serius dan gelap bunyinya. Muziknya tidak terhad kepada kerajaan sahaja, setiap karakter juga mempunyai lagu masing-masing. Lagu kegemaran penulis dalam Wargroove ialah lagu tema Ryota, Dashing General dan Outlaws, Cheeky Ruckus yang sememangnya sangat awesome dan epik.

Namun, semasa penulis bermain game ini, kadangkala penulis dapat mengesan sedikit masalah audio yang tersekat-sekat. Tapi ia tidak berlaku selalu dan tidak menjejaskan prestasi permainan. Tapi bagi mereka memang memerlukan kelancaran audio semasa bermain mungkin akan sedikit terganggu.

Grafik

Game ini menggunakan seni pixel yang menarik untuk dilihat dan dapat melahirkan rasa nostalgia bagi peminat Advance Wars. Rekaan dan gerakan animasi karakternya juga baik dan comel untuk dilihat. Setiap lokasi seperti kawasan bersalji dan padang pasir juga dihasilkan dengan menarik.

Keperluan sistem yang diperlukan untuk bermain game ini tidak tinggi di PC. Hanya memerlukan prosessor Intel i3 atau i5 dan keperluan grafik DirectX 11 atau Open GL 3.3 dan memori RAM 2GB atau 4GB.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH?!

BOLEH BELI

Kalau korang memang peminat tegar game turn based tactics dan juga pernah main Advance Wars di Game Boy Advance, korang patut main Wargroove kerana menawarkan banyak content seperti mode singleplayer, arcade dan multiplayer. Tak lupa juga dengan custom content yang memberikan kebebasan kepada pemain untuk mencipta map dan campaign mengikut kreativiti sendiri. Ditambah pula dengan gameplay yang sememangnya mencabar pemikiran strategik pemain untuk mengalahkan pihak musuh dalam pertempuran di darat, udara dan laut. Oh ya dan lagi satu, Wargroove menyokong crossplay antara PC, Xbox One dan Nintendo Switch.

BOLEH BLAH

Bagi mereka yang tidak biasa dengan genre game ini mungkin mereka akan suka atau tidak suka dengan game ini kerana pemilihan unit-unit dan perancangan strategi sangat penting untuk memenangi game ini. Jadi bagi mereka yang sukakan game fast paced, mungkin ini tidak sesuai untuk korang kerana tempoh masa bagi satu perlawanan boleh mencapai sehingga lebih dari 45 minit bergantung kepada tahap difficulty dan tahap kesabaran yang diperlukan dari pemain.

+ Jalan cerita yang menarik
+ Puzzle dan arcade mode yang mencabar
+ Skor muzik yang awesome
+ Style grafik yang retro dan comel
+ Multiplayer dan custom content yang mempunyai replay value

 Masalah cursor untuk mengesan unit yang dipilih yang bertindih pada posisi sama
 Masalah audio yang kadangkala tersekat-sekat
 Kuasa ‘groove’ Sedge yang overpower dalam mode Puzzles – character balancing masih boleh diperbaiki

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.