Di kala ramai peminat PlayStation mengharapkan Sony mampu melakukan sesuatu terhadap kekurangan stok PS5, Sony tidak mahu peminat terlalu berharap.
Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Sony, Hiroki Totoki sekali lagi telah menyatakan bahawa kekurangan stok PS5 akan berterusan sehingga tahun 2022.
“Saya tak fikir permintaan akan reda tahun ini dan walaupun kami berjaya mendapatkan lebih banyak peranti dan menghasilkan lebih banyak unit PS5 tahun hadapan, bekalan kami tidak akan mampu memenuhi permintaan,” kata Totoki kepada Bloomberg, lapor Eurogamer.
“Kami telah menjual lebih daripada 100 juta unit PlayStation 4 dan mempertimbangkan perkongsian pasaran dan reputasi kami, saya tidak bayangkan yang permintaan akan menurun dengan mudah,” tambah beliau.
Kenyataan beliau ini tentunya selari dengan apa yang beliau pernah katakan sebelum ini dalam laporan kewangan terbaharu Sony.
Sejak pandemik COVID-19 melanda seluruh dunia, bekalan semikonduktor telah menurun secara mendadak disebabkan penutupan kilang-kilang di beberapa negara Asia Timur — sekaligus menyebabkan produksi barangan elektronik, termasuklah PS5, terbantut.