in

Walau Tak Guna Nama ‘FIFA’, Game Bola Sepak EA Akan Tetap Guna Nama Pemain Sebenar

Kepada korang yang terlepas berita yang sedang hangat diperkatakan, EA telah mengumumkan yang mereka sedang mempertimbangkan untuk memperkenalkan judul baharu untuk francais game bola sepak mereka kerana perjanjian mereka bersama FIFA bakal berakhir.

Malah, terdapat laporan yang mengatakan EA telah memfailkan permohonan terhadap tanda dagang ‘EA Sports FC’, dan ramai berspekulasi itu mungkin judul baharunya kelak.

Ramai yang mula risau apabila EA tidak lagi mempunyai lesen terhadap nama ‘FIFA’, nama para pemain dalam game itu nanti juga tidak akan menggunakan nama pemain bola sepak yang sebenar.

Jangan bimbang wahai para peminat tegar game bola sepak EA, kerana syarikat itu telah mengeluarkan kenyataan yang menyangkal dakwaan itu.

EA telah mendedahkan bahawa mereka telah memperbaharui kontrak bersama FIFPRO, iaitu badan perwakilan pemain bola sepak profesional global. Dalam kata lain, apabila EA telah menggunakan judul baharu kelak, game bola sepak mereka tetap akan mempunyai kebenaran untuk menggunakan nama pemain-pemain yang sebenar.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, lapor Eurogamer, EA berjanji untuk “menyajikan pengalaman bola sepak paling asli, terbaik.”

EA menggambarkan kontrak baharu itu sebagai komitmen jangka masa panjang, membenarkan mereka menggunakan ribuan nama dan persamaan pemain.

Mo Salah tidak akan bertukar kepada Mo Soleh, Erling Haaland takkan menjadi Erlung Huulend, Robert Lewandowski bukan Robot Lewundawske, atau lain-lain.

Di samping itu, seperti yang telah mereka umumkan sebelum ini, lesen-lesen lain masih ada dalam tangan EA kerana ia merupakan perjanjian berasingan, termasuklah UEFA Champions League, UEFA Europa League, CONMEBOL Libertadores, Premier League, Bundesliga, LaLiga Santander, dan lain-lain.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Kumpulan Hak Haiwan (PETA) Menggesa Ubisoft Buang Laga Ayam Dalam Far Cry 6

Battlefield 2042 Hazard Zone Akan Didedahkan Khamis Ini, Saksikan Teaser Trailer Dulu