Menu
in ,

Walau Macam Mana Pun Valve Cuba Bendung Scalper, Steam Deck Mula Dijual Di eBay Dengan Harga Melampau

Apabila Valve mengumumkan PC gaming bimbit paling berkuasa mereka, Steam Deck, ada satu isu yang bermain di minda para peminat — scalper.

Belajar daripada pelancaran PlayStation 5 dan Xbox Series yang dipenuhi dengan pembeli yang kemudiannya menjual semula konsol itu dengan harga yang melampau tinggi, atau kita panggil sebagai scalper — Valve mempunyai caranya tersendiri untuk membendung isu ini.

Cara Valve untuk menghentikan kezaliman scalper ini adalah:

  1. Individu yang ingin pra-tempah Steam Deck perlu mempunyai akaun Steam yang pernah membuat pembelian di platform tersebut sebelum Jun 2021. Maknanya, mereka yang membuat akaun Steam baharu semata-mata untuk pra-tempah Steam Deck tanpa sebarang sejarah pembelian, tidak dibenarkan.
  2. Mengenakan caj USD5 (sekitar RM21) apabila ingin pra-tempah. Maka, sukar untuk bot mendapatkan slot pra-tempah kerana perlu melalui proses pembayaran yang lebih banyak.
  3. Hanya satu unit boleh dipra-tempah untuk setiap seorang.

Di sebalik langkah yang boleh dikatakan agak baik daripada Valve ini (sekurang-kurangnya ada usaha berbanding Sony atau Microsoft yang masih tidak melakukan apa-apa), masih ada scalper yang terlepas.

Menurut Eurogamer, beberapa unit Steam Deck sudahpun dinaikkan di laman eBay oleh scalper — tentunya mengenakan harga yang melampau. Antara harga yang dikesan adalah dari GBP700 (sekitar RM4,058) hingga mencecah GBP1,200 (sekitar RM6,958).

Daripada apa yang kita perhatikan, scalper ini berjaya mendapatkan unit melalui proses-proses yang telah ditetapkan Valve seperti yang dinyatakan di atas, namun mereka tetap berniat untuk menjualnya semula dengan harga yang melambung.

Sebagai pengguna yang ingin melihat niat busuk scalper ini tidak dilayan, usaha paling kecil yang boleh kita lakukan adalah jangan beli unit-unit yang dijual oleh mereka ini.

Semoga pandemik global ini nyah daripada dunia, dengan harapan stok untuk barangan gaming (dan elektronik lain) semakin meningkat, seterusnya harga kembali seperti yang sepatutnya.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Leave a Reply

Exit mobile version