in , ,

Waktu Pelancaran Stray Ditunda – Game Pemain Jadi Kucing Dalam Bandar Futuristik Cyberpunk

Antara game indie yang kami tidak sabar menantikannya pada tahun ini adalah Stray — iaitu sebuah game pengembaraan yang menjadikan pemain seekor kucing berjalan-jalan di sebuah bandar bertemakan futuristik-cyberpunk.

Ketika pertama kali diumumkan pada Julai 2021, Stray dijadualkan akan dilancarkan pada awal tahun 2022. Namun, melalui satu tweet di akaun rasmi PlayStation, waktu pelancarannya telah dianjakkan sedikit ke belakang.

Stray kini dijadualkan akan dilancarkan pada musim panas 2022 (sekitar Jun hingga September). Tidaklah terlalu jauh penundaannya, maka janganlah terlalu sedih.

Stray merupakan sebuah game indie di mana pemain mengawal seekor kucing jalanan yang tersesat ke dalam sebuah bandar futuristik yang terbiar. Persekitaran bandar ini kelihatan cukup sunyi kerana tiada lagi kehadiran manusia, sebaliknya hanya robot yang seperti tidak berfungsi dengan sebaiknya.

Misi utama game ini adalah untuk kucing jalanan ini kembali bersatu dengan keluarganya seperti sebelum ia tersesat ke dalam bandar usang itu. Awalnya, kucing ini akan melompat ke sana ke sini di jalan-jalan yang sempit, memanjat tempat-tempat tinggi, menggunakan objek-objek di sekeliling untuk menyelamatkan diri (seperti puzzle) — sama seperti si comel yang sering kita nampak di jalanan.

Sampai satu tahap, kucing ini akan bertemu dengan satu dron, yang akhirnya akan menjadi peneman dan pembantu kepada kucing ini meneruskan perjalanan — bertembung pula dengan haiwan berbahaya aneh serta robot-robot yang baik dan jahat. Melalui dron penemannya itu, kucing ini mampu berkomunikasi dengan robot-robot lain.

Stray akan dilancarkan untuk PC (Steam), PS4 dan PS5.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Selepas Video Gameplay Tertiris, Ubisoft Mula Mengacah Sesuatu Untuk Skull & Bones

DevNow 2022: Kesemua Update Kepada 5 Game Cookie Run Dan 2 IP Terbaru Dari DevSisters