Terapung di lautan galaksi dengan hanya berbekalkan satu tong gas untuk kapal angkasa dan satu butir peluru untuk sepucuk pistol. Pilihan manakah yang pemain akan buat? Mendarat di atas kapal yang dipenuhi dengan musuh demi mencari bekalan atau meneruskan perjalanan dengan menggunakan satu tong gas itu dan terdampar buat selama-lamanya?

Void Bastards ialah sebuah game menembak strategi dengan menggunakan perspektif first-person yang dibangunkan oleh Blue Manchu dan diterbitkan oleh Humble Bundle untuk Xbox One, Microsoft Windows dan MacOS. Diinspirasi dari game seperti System Shock 2 dan Bioshock, Void Bastards menggabungkan elemen seperti survival dan pengurusan sumber di samping menawarkan permainan menembak yang menyeronokan.

Plot

The Void Ark, kapal pengantar klien (atau boleh sahaja panggil banduan) milik syarikat WCG telah terdampar di lautan angkasa Sargasso Nebula kerana kehabisan tenaga untuk menghidupkan semula kapal pengantar tersebut. Jadi ia menjadi tugas pemain untuk keluar ke lautan angkasa dengan menggunakan kapal angkasa kecil S.T.E.V. untuk mencari bahan-bahan serta item yang diperlukan supaya kapal The Void Ark dapat dihidupkan semula dan kembali meneruskan perjalanannya ke ibu pejabat WCG.

Dalam Void Bastards, pemain tidak terikat dengan hanya satu karakter. Malah, jika pemain mati semasa melakukan misi, pemain akan diganti dengan karakter baru kerana pemain akan bermain sebagai watak-watak klien (banduan) yang mempunyai personaliti, kelebihan dan kekurangan masing-masing. Jadi game ini tidak terlalu menekankan pada jalan cerita.

Dari segi penulisan skrip, terdapat dialog-dialog yang diucapkan oleh beberapa jenis A.I. dan raksasa yang mempunyai humor dan personaliti mereka masih-masing. Terutamanya A.I dalam kapal The Void Ark mempunyai personaliti tenang tapi sinis. Kebanyakan dialog dituturkan oleh karakter dalam game ini menggunakan Bahasa Inggeris versi British, jadi pemain akan mendengar slanga-slanga British digunakan dalam game ini.

Gameplay

Pada awal permainan, pemain boleh memilih tahap difficulty sama ada easy peasy, easy, normal, hard atau hard bastard. Pemain juga boleh mengubah suai bahagian restriction sama ada mahu menyelesaikan game ini tanpa menggunakan pistol, bahan letupan, gajet atau tidak menggunakan apa-apa item. Pemain akan diberikan satu karakter (banduan) dan bahan-bahan bekalan sebelum memulakan perjalanan. Setiap karakter mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing seperti mempunyai nyawa sedikit, menggunakan sedikit oksigen, mata hanya boleh lihat hitam dan putih, badan terlalu tinggi atau terlalu rendah dan banyak lagi.

Selepas itu, pemain akan berlepas keluar dan pemain akan dipaparkan dengan satu antaramuka yang memaparkan pemilihan hala tuju laluan kapal pemain destinasi seterusnya. Di sini, pemain boleh memilih mana-mana kapal angkasa untuk mencari bekalan seperti tong gas, makanan dan bahan-bahan lain. Terdapat sesetengah kapal angkasa yang menyediakan item untuk misi utama.

Perlu diingatkan, perjalanan dari satu kapal ke kapal lain akan memakan satu tong gas dan satu sandwich (makanan) yang mana nyawa akan dipulihkan. Namun, sepanjang perjalanan tersebut, pemain mungkin akan mendapat item bonus seperti makanan, tong gas, ammo dan wormhole yang mana akan membawa pemain ke lokasi lain secara rawak. Memilih kapal angkasa untuk mendarat juga memerlukan strategi supaya pemain tidak tersilap langkah.

Pemain akan diberikan maklumat mengenai bahan atau item apa yang ada dalam kapal tersebut dan jenis raksasa apa yang ada. Jumlah raksasa tidak diberitahu dengan tepat, hanya menyatakan few, some dan many. Pemain perlu tahu sama ada kekuatan kelengkapan pemain sama taraf atau tidak dengan jenis musuh yang ada. Terdapat sesetengah kapal yang mempunyai persekitaran berbahaya (environmental hazards) seperti radiasi, banyak kotoran minyak yang mana boleh memberi kesan terhadap pergerakan pemain dan banyak sampah yang boleh menyebabkan ketepatan menembak berkurang jika pemain terhidu.

Terdapat dua benda yang perlu dielakkan sepanjang perjalanan iaitu whales dan pirate. Whales ialah raksasa gergasi yang memakan apa sahaja di laluannya. Bagi pirate pula, jika kapal pemain dikesan oleh kapal pirate, mereka akan terus mengikut kapal pemain ke mana-mana, melainkan jika pemain mempunyai torpedo, pemain boleh musnahkan kapal mereka. Jika tiada, pemain perlu hapuskan mereka secara manual, iaitu mendarat di mana-mana kapal dan hapuskan mereka dari dalam kerana mereka juga akan menghantar orang-orang mereka untuk hapuskan pemain.

Pemain boleh membawa tiga kategori items sebelum mendarat, firearm, indirect dan device. Void Bastards menyediakan 11 buah senjata dan 5 jenis letupan seperti Legislator, Head Stapler, Riveter, Stable Kitty, Bouncer dan banyak lagi. Setiap senjata dan bahan letupan mempunyai kekuatan dan kelemahan terhadap sesetengah jenis musuh. Pemain perlu mengawal penggunaan jumlah peluru supaya tidak kehabisan peluru.

Di dalam kapal, pemain boleh berlari, lompat dan tunduk. Di HUD pemain akan dipaparkan senjata yang sedang digunakan, jumlah nyawa, objektif utama, mini map dan jumlah oksigen. Pemain perlu sentiasa memeriksa oksigen yang ada dari semasa ke semasa. Walau bagaimanapun, ada sesetengah kapal angkasa yang menyediakan stesen untuk memulihkan nyawa, stesen mengisi tangki oksigen dan stesen menghilangkan kesan radiasi pada badan. Pemain juga boleh memuat turun map di bahagian kokpit kapal yang mana akan memudahkan pemain untuk mencari loot dengan melihat pada map layout.

Terdapat beberapa jenis raksasa yang akan pemain hadapi seperti Janitor, Spook, Screw, Zec, Juve, Scribe, Patient, Friendly Tourist dan juga jenis raksasa yang sama tapi mempunyai serangan yang lebih kuat. Setiap dari mereka mempunyai corak serangan yang berbeza sebagai contoh Spook akan menyerang pemain kemudian akan menghilangkan diri, manakala Patient akan serentak menyerang pemain dengan jumlah yang banyak.

Selain berhadapan dengan raksasa, pemain juga perlu berhadapan dengan sistem sekuriti yang ada dalam kapal angkasa seperti kamera, turret dan robot. Tetapi sistem sekuriti boleh dimatikan dalam masa beberapa minit di bilik security.

Objektif utama selalunya memerlukan pemain untuk mencari item tertentu yang berkait dengan misi utama. Untuk mencari item loot di dalam game ini sangat mudah dan senang difahami kerana item loot akan dipaparkan dengan ikon bintang pada mini map. Setiap objek yang mempunyai item loot akan ditandakan dengan lampu berwarna hijau bagi memudahkan pemain mencari barang.

Namun ada sesetengah item loot yang dikunci dan memerlukan pemain untuk menggunakan Merits, mata wang dalam Void Bastards untuk membukanya. Merits boleh digunakan untuk membeli items di kedai, menggodam sistem sekuriti dan membuka pintu berkunci. Cuma, apabila items berada di atas lantai, ia agak sukar dan remeh untuk mengambil setiap item satu per satu. Adalah lebih baik jika Void Bastards mengimplementasikan mekanisme mengambil items seperti Borderlands 2 di mana jika pemain menekan butang ‘E’, sekaligus ke semua items dapat diambil.

Selesai dengan objektif utama, pemain akan kembali ke kapal asal. Apabila pemain keluar dari kapal angkasa yang telah dilawati, pemain tidak boleh kembali lagi, jadi pastikan objektif dapat diselesaikan sebelum keluar. Laporan akhir akan dikeluarkan untuk menunjukkan berapa banyak items dan bekalan yang diperolehi oleh pemain.

Item-item itu pula akan dikitar semula untuk dijadikan satu item khas yang mana boleh digunakan untuk upgrade senjata, bahan letupan, gajet dan sut pemain. Bagi item untuk misi utama, ia memerlukan lebih dari satu item khas untuk digabungkan menjadi satu. Apabila pemain berjaya mencapai objektif utama, pemain boleh kembali ke kapal Void Ark dan memulakan bab seterusnya.

Senjata dan bahan letupan yang di-upgrade akan menambah kekuatan serangan, ketepatan, kapasiti peluru dan banyak lagi. Bagi gajet pula, ia akan mempercepatkan pemain untuk membuka pintu berkunci, memudahkan pemain untuk menggodam sistem sekuriti dan mengambil lebih banyak item loot. Menaik taraf sut pemain boleh menambah nyawa pemain, menyimpan lebih banyak oksigen, mengurangkan kesan radiasi dan banyak lagi. Kesemua upgrade ini sangat penting kerana pemain akan berhadapan dengan raksasa yang lebih veteran dan kuat.

Pada awal permainan, pemain akan menghadapi sedikit kesukaran dalam berhadapan dengan musuh, mencari item dan bekalan. Tapi apabila pemain sudah mendapat kesemua senjata, gajet, bahan letupan dan sudah menaik taraf sut. Di sini penulis dapat melihat kekurangannya, replay value.

Tidak ada side missions yang disediakan untuk menarik minat pemain supaya kembali bermain sebagai contoh setiap kapal mempunyai kisahnya yang tersendiri dan pemain perlu menyelesaikan masalah tersebut. Tapi sebaliknya, misi hanya tertumpu kepada mencari items berulang-ulang kali. Walaupun setiap kapal angkasa mempunyai map layout yang berbeza, tapi lama-kelamaan ia menjadi repetitive. Game ini juga tidak ada ADS (Aim Down Sight), sebaliknya ia menggunakan auto-aim yang mana agak janggal dan kadangkala tembakan ke arah musuh tidak mengena.

Grafik

Salah satu kekuatan dan keunikan pada game adalah pada seni gaya grafiknya. Void Bastards menggunakan seni gaya grafik buku komik yang mana setiap cut scenes dibentuk dalam ruangan kolum-kolum seperti komik. Dengan illustrasinya yang menggunakan 2D pada cut scenes dan 3D dalam gameplay namun masih mengekalkan ciri-ciri komik.

Malah, penggunaan font Comic Sans juga tidak terhenti pada babak-babak dialog, ia turut digunakan dalam gameplay di mana bunyi tapak “Tap! Tap! Tap!”, bunyi letupan “BOOM!!!” dan bunyi pintu dibuka “whooshh!” akan dipaparkan pada skrin. Untuk game yang menggunakan seni gaya komik, ia mempunyai efek pencahayaan yang baik terutamanya pada bahagian objek papan tanda, letupan dan tembakan.

Penggunaan tekstur dan warna pada dinding dan objek-objek lain serta detail pada setiap karakter, reka bentuk senjata dan lain-lain juga menarik untuk dilihat. Jika dilihat semula kesemua aspek grafik pada game ini, ia banyak menyerupai game seperti XIII yang pernah dikeluarkan pada tahun 2003 untuk PS2 dan platform lain.

Spesifikasi yang diperlukan untuk game ini adalah:

Minimum:

  • CPU: Quad Core, 1.8GHz
  • RAM: 8 GB RAM
  • GPU: GTX 660 2GB, AMD Radeon 7850 2GB
  • OS: Windows 7/8/10 (64-bit versions)
  • Storan: 6 GB

Yang Direkomen

  • CPU: Intel i7-2600K, AMD FX-8350
  • RAM: 16 GB RAM
  • GPU: GTX 970 4GB, AMD R9 290 4GB
  • OS: Windows 7/8/10 (64-bit versions)
  • Storan: 6 GB

Walaupun spesifikasi yang ditulis di atas adalah tinggi, tapi sebenarnya penulis bermain menggunakan Intel Core i5, 12 GB RAM dan kad grafik Nvidia GeForce 820M. Penulis dapat bermain dengan baik, walaupun penulis hanya pernah berhadapan dengan dua kali game crash, tapi selepas itu tidak ada sebarang masalah. Dari segi glitch atau bugs dalam game ini, sedikit sahaja yang ada tapi tidak menjejaskan permainan.

Bunyi, Lakonan suara dan Muzik

Game ini mempunyai efek bunyi yang agak baik walaupun kadangkala bunyi tembakan tidak selaras dengan pergerakan animasi pada pistol. Namun, ia mempunyai efek bunyi letupan yang baik. Manakala, untuk lakonan suara, bagi penulis ia agak okay tapi boleh diterima untuk tujuan plot. Tapi oleh kerana plotnya ringan sahaja, ia mudah dilupakan.

Dari segi muzik, terdapat instrumen seperti elektronik dan rock yang digunakan dalam game. Tapi ia hanya dimainkan apabila pemain berdepan dengan pihak musuh. Muziknya juga biasa sahaja.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

BOLEH BELI

Jika korang memang minat style grafik macam game Borderlands dan XIII. Gameplay yang ada sedikit elemen strategi, survival dan pengurusan sumber. Korang patut main game ini.

BOLEH BLAH

Kalau korang mengharapkan plot yang menarik dan ada replay value, jangan main kerana game ini boleh dihabiskan dalam masa tujuh atau lapan jam atau lebih jika korang mahu upgrade kesemua kelengkapan. Kekuatan pada game ini fokus kepada gameplay dan grafik.

+ Gameplay yang menarik
+ Style grafik komik yang unik
+ Paparan objek yang ditandakan lampu hijau untuk item loot dan mini map yang senang untuk diikuti semasa mencari items
+ Pelbagai jenis raksasa yang mencabar

Plot yang biasa
Tiada replay value seperti side missions
Repetitive terutamanya pada bahagian map layout untuk setiap kapal angkasa
Muzik dan lakonan suara yang biasa

JomKomen!