Vietnam masih gah menguasai rantau ini.

Pasukan Vietnam terus mengekalkan penguasaan mereka dalam persada Pro Evolution Soccer (PES) rantau ini apabila sekali lagi memenangi Kejohanan Final PES Asia Tenggara (PES SEA Finals) 2018.

Perlawanan akhir, Le Tam (Vietnam) menentang Paudie (Indonesia). Kredit gambar: PES Malaysia.

Yang membezakan juara kejohanan tahun ini berbanding dua kejohanan sebelum ini ialah untuk tahun ini, Le Tam pula menjuarainya, selepas dua tahun dimenangi rakan senegaranya, Lay Dum. Le Tam menumpaskan wakil Indonesia, Paudie dalam perlawanan akhir.

Perlawanan separuh akhir, Keron (Malaysia) menentang Le Tam (Vietnam). Kredit gambar: PES Malaysia.

Sebagai tuan rumah, ini merupakan pencapaian terbaik skuad Malaysia apabila Muhamad “Keron” Khairul berjaya meloloskan diri sehingga ke separuh akhir — sesuatu yang boleh dibanggakan memandangkan amat sukar untuk menembusi tembok kekuatan para pemain dari Vietnam dan Indonesia.

Keputusan peringkat kalah mati. Keputusan penuh boleh dilihat di sini.

Keron bertindak cemerlang semasa peringkat kumpulan, di mana beliau berada di kedudukan teratas Group A. Detik yang pasti akan diingati sesiapa yang hadir ke kejohanan semalam adalah apabila Keron berjaya menyamakan kedudukan 2-2 pada minit ke-93 menentang Dennis Zhao, antara pemain terbaik Singapura.

Apa yang membuatkan suasana menjadi gamat apabila Keron mendapat sepakan sudut di saat-saat akhir dan kesemua 11 pemainnya, termasuk penjaga gol, naik ke kotak penalti lawan. Habis bergegar Quill City Mall, Kuala Lumpur dengan sorakan penyokong tempatan apabila Keron melepaskan tandukan yang padu menerjah gawang.

Korang boleh saksikan detik ini dalam video di bawah, kredit kepada Facebook Sekaiichi, caster yang sangat menghiburkan semalam:

Pemenang Malaysian Wild Card Tournament dan pemain PES senior negara Tengku Erwan turut mempamerkan prestasi yang baik, namun terpaksa berpuas hati di peringkat suku akhir apabila kemaraannya telah disekat oleh juara bertahan, Lay Dum.

Perlawanan separuh akhir, Paudie (Indonesia) menentang Lam Duy (Vietnam). Kredit gambar: PES Malaysia.

Nasib tidak menyebelahi 2 pemain negara yang lain, Karl Iskandar dan Noramin “Chenko” Mohd Nor, apabila terkandas awal di peringkat kumpulan.

Bercakap kepada JomGaming, Keron menyatakan yang beliau tidak percaya yang beliau mampu melangkah sejauh ini, namun berkat sokongan padu rakyat Malaysia, Keron berjaya buktikan yang negara ini mampu setanding dengan negara-negara Asia Tenggara lain.

“Pencapaian Keron pada tahun pertama bermain PES [secara kompetitif] ini memang sesuatu yang cukup membanggakan diri Keron sendiri,” kata beliau.

Musim 2017/2018 ini, Keron sememangnya cukup garang dalam kejohanan-kejohanan PES tempatan. Sebagai pemain no.1 negara untuk musim ini, JomGaming menanyakan kepada Keron apakah persediaannya untuk musim depan, ini jawapan beliau:

“Persediaan itu 50/50 sahaja. Tak letak harapan terlalu tinggi sebab satgi kalau letak harapan tinggi-tinggi takut tersungkur menyujud bumi pula. Harapan Keron, dengan pencapaian Keron di PES SEA Finals ini, media-media dan semua pihak akan buka mata kepada komuniti PES ini, supaya PES pun boleh bersaing dengan FIFA, dan selepas ini harap-harap akan ada kerap tournament PES di serata negara supaya orang pun tahu PES akan berkembang dengan maju.”

4 pemain wakil Malaysia di PES SEA Finals 2018. Dari kiri: Keron, Karl, Erwan, dan Chenko.

Buku pencapaian esports PES Keron untuk musim ini masih belum ditutup. Pada 1 September ini, Keron akan beradu tenaga sekali lagi di Jakarta, Indonesia dalam pertandingan demonstrasi esports Sukan Asia 2018. Keron akan berpasangan bersama Mohd Haikal dalam pertandingan berformatkan co-op.

JomGaming turut sempat berbual bersama Pengarah PES Malaysia, Ahmad Yazid Abd Rahman dan menyentuh bagaimana Malaysia pertama kali menjadi tuan rumah dalam kejohanan PES SEA Finals pada tahun ini.

Pertama sekali, beliau dan pasukan penganjurannya dalam PES Malaysia memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, berjaya menjalankan kejohanan tahunan PES SEA ini dengan jayanya.

“Kami ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang bertanggungjawab menjadikan kejohanan ini gilang-gemilang. Terima kasih kepada komuniti PES Malaysia yang turun padang untuk memberi sokongan penuh kepada wakil negara. Untuk peserta dari luar negara, kami juga ingin mengucapkan terima kasih dan memohon maaf, sekiranya terdapat sebarang kekurangan dan kekhilafan dari pihak kami sepanjang penganjuran ini.”

Yazid turut bersetuju bahawa tahun ini merupakan prestasi terbaik pasukan dari negara tercinta kita. Lebih membanggakan apabila beliau terkenang dalam kedua-dua kejohanan sebelum ini, para pemain dari Malaysia tidak pernah berjaya meloloskan diri dari peringkat kumpulan.

“Alhamdulillah, pada tahun ini, pasukan kami berjaya sampai ke peringkat separuh akhir! Ini merupakan satu pencapaian baru yang membanggakan. Pada kami, semua ini adalah berkat usaha, doa dan tawakal semua pihak. Para pemain kami bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk berada di tahap sekarang. PES Malaysia bangga dan seronok melihat perkembangan mereka ini. Kami hanya membuka “pintu” untuk mereka, tetapi kejayaan ini adalah hasil penat lelah dan usaha mereka sendiri.”

Selain itu, Yazid mengesahkan yang mereka telah dimaklumkan oleh pihak PES South East Asia (SEA) yang pada tahun 2019, ianya akan dianjurkan oleh PES Thailand.

Suasana sekitar PES SEA Finals 2018 yang diadakan di ibu negara semalam, 19 Ogos 2018. Kredit gambar: PES Malaysia.

PES SEA Finals merupakan kejohanan yang dianjurkan bersama oleh komuniti-komuniti PES di Asia Tenggara. Ia pertama kali diadakan di Hanoi, Vietnam dan pada tahun lalu ia diadakan di Bandung, Indonesia. Tahun ini, giliran Malaysia pula menjadi tuan rumah.

Bagaimana setiap negara memilih 4 pemain terbaik PES mereka adalah bergantung kepada format negara masing-masing. Untuk Malaysia, ia dikendalikan oleh komuniti PES Malaysia.

Kedua-dua kejohanan sebelum dimenangi oleh Lam Duy dari Vietnam. Impiannya untuk memahat nama sebagai pemenang hattrick pada tahun ini telah digagalkan oleh Paudie dari Indonesia.


[IKLAN]

PRE-ORDER PRO EVOLUTION SOCCER 2019

Deposit RM50 SAHAJA

FREE exclusive T-SHIRT PES2019 — Pre-order terus ke Facebook YC Games Station (Kuala Lumpur) & Kuppy Station (Terengganu)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.