Pedang dan senjata sudah tersedia, lagu heavy metal sudah kedengaran, raksasa sudah berada di hadapan. Apa lagi? Masa untuk beraksi!

Valfaris merupakan sebuah game plaformer aksi 2D yang menampilkan himpunan muzik heavy metal. Game ini dihasilkan oleh Steel Mantis dan diterbitkan oleh Big Sugar untuk platform PlayStation 4, Xbox One, PC dan Nintendo Switch. Apabila penulis bermain game ini, Valfaris banyak mengambil inspirasi dari dua buah game retro terkenal seperti Contra dan Super Metroid dari segi kombat dan persekitaran dalam dunia Valfaris.

Plot

Dalam Valfaris, pemain akan mengenali karakter protagonis, Therion, seorang pengembara di angkasa yang kembali ke tempat tinggalnya iaitu Valfaris, yang telah lama hilang dari lautan galaksi tiba-tiba menjelma. Valfaris, sebuah tempat yang dahulunya aman, kini ditakluki oleh raksasa kegelapan yang sangat ganas. Therion perlu mendepani musuhnya untuk membongkar kebenaran di sebalik kejadian yang menimpa Valfaris.

Valfaris menyediakan jalan cerita yang asas dan mudah difahami oleh pemain. Tidak ada subplot yang berat dan tidak ada karakter sampingan lain selain Hekata, sebuah AI yang akan sentiasa menemani pemain dan Therion akan banyak berhubung dengannya. Secara keseluruhan, plot Valfaris hanyalah muka buku yang nipis. Ini kerana kandungan dalam game ini lebih banyak tertumpu kepada gameplay.

Gameplay

Pemain akan mengawal karakter Therion, dia boleh lompat, tunduk dan boleh memanjat pada bahagian-bahagian platform tertentu yang disediakan. Selain menembak sambil berlari, dia juga boleh menembak pada empat arah iaitu atas, bawah, kiri dan kanan. Therion boleh membawa tiga buah senjata, satu senjata melee, senjata sidearm dan satu senjata two-handed.

Namun, Therion akan sentiasa menggunakan senjata melee dan senjata sidearm sekaligus sepanjang permainan. Ini membolehkan pemain melakukan tembakan dan melee secara serentak. Untuk senjata ketiga, pemain tidak boleh menggunakan senjata melee. Pada HUD permainan, terdapat dua bar yang dipaparkan iaitu bar nyawa dan bar energy.

Pemain akan menggunakan banyak bar energy di mana ia berfungsi sebagai ammo kepada senjata ketiga pemain dan juga ia turut berfungsi sebagai perisai yang boleh digunakan untuk menghalang serangan musuh. Perisai itu perlu diaktifkan dengan menekan butang tertentu, ini membolehkan pemain melakukan tembakan lapan arah tapi pergerakan pemain terhenti. Tapi, penulis lebih suka jika perisai itu tidak perlu diaktifkan secara manual, lebih baik jika ia sudah tersedia untuk digunakan.

Pemain boleh mengumpul semula bar energy dengan melakukan serangan melee ke atas musuh. Untuk bar nyawa pula, health drops akan dijatuhkan oleh musuh, tapi pihak musuh jarang menjatuhkan health drops. Di sini penulis lihat ada ketidakseimbangan di mana energy drops lebih banyak dijatuhkan oleh pihak musuh berbanding health drops.

Sepanjang permainan berlangsung, pemain boleh mengumpul Resurrection Idol di mana ia digunakan untuk unlock lokasi checkpoints yang didapati dalam dunia permainan. Jika pemain mempunyai lebihan Resurrection Idol, ia boleh digunakan untuk pulihkan nyawa pemain. Lokasi checkpoints itu pula akan menjadi tempat untuk memulihkan sepenuhnya nyawa dan energy pemain serta membenarkan pemain untuk menukar senjata dan upgrade senjata.

Bercakap mengenai senjata, Valfaris menyediakan banyak pilihan senjata dari senjata melee, pistol, raifal, pelancar roket, shotgun dan beberapa senjata unik. Setiap daripadanya mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing. Senjata ini pula boleh di-upgrade untuk menaik taraf kekuatan senjata tersebut. Blood Metal ialah upgrade points yang boleh digunakan untuk menaik taraf senjata pemain dari Rank 1 sehingga ke Rank 5. Senjata baharu boleh dicari oleh pemain sepanjang permainan dan penulis suka apabila Therion memperoleh senjata baru kerana dia akan melakukan headbanging diikuti dengan rentak lagu metal.

Selain menaik taraf senjata pemain, nyawa dan energy pemain boleh ditingkatkan juga dengan mencari upgrade points tertentu dalam permainan. Selain menembak, pemain juga perlu berdepan dengan mini platform puzzle antaranya seperti perlu menembak suis tertentu untuk membuka pintu.

Musuh dalam Valfaris sangat ganas dan tidak akan beri muka kepada pemain, jadi trial and error dalam game ini adalah perkara biasa. Tidak kira sama ada saiz kecil atau besar, mereka mempunyai attack patterns yang tersendiri. Ada yang bergerak laju, ada juga perlahan tapi pertahanan mereka kebal. Malah, kadangkala satu serangan mereka ke atas pemain mampu menurun separuh nyawa pemain. Jadi, pemain perlu tangkas menghalang serangan musuh serta perlu memahami taktik serangan musuh yang berbeza.

Pada penghujung setiap seksyen, akan ada mini boss yang perlu dihadapi oleh pemain. Sesetengahnya memerlukan pemain untuk bijak menggunakan platform yang sedia ada untuk sama ada mengelak serang atau mengalihkan perhatian musuh.

Grafik dan teknikal

Valfaris menggunakan gaya grafik 2D pixel yang mempunyai nilai estetika tersendiri. Penulis suka akan persekitaran dalam dunia Valfaris yang pelbagai, dunianya sangat asing, cantik dan merbahaya. Pada satu tahap pemain akan dibawa ke lokasi bandar besi yang penuh dengan tentera humanoid dan turret sehinggalah ke lokasi hutan asid yang dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan ganas.

Pergerakan animasi pada karakter dan yang lain-lain bergerak dengan baik dan lancar tanpa sebarang masalah. Reka bentuk setiap raksasa juga menarik dan mempunyai personaliti tersendiri. Efek cahaya dari senjata atau dari serangan musuh juga cantik dan memberikan refleksi kepada persekitaran di sekelilingnya. Secara keseluruhan, grafik Valfaris cantik, unik dan menarik untuk dilihat.

Dari segi teknikal, untuk PC, game ini menyokong penggunaan gamepad. Keperluan sistem yang diperlukan untuk bermain game ini adalah rendah sahaja di PC, iaitu prosessor 1.5Ghz atau lebih laju, keperluan memori RAM adalah 1GB dan storan yang diperlukan adalah 500MB.

Di bahagian settings, game ini menyediakan CRT mode jika pemain mahu merasai pengalaman seperti tengah bermain game retro di skrin monitor lama. Selain daripada itu, ia juga menyediakan Vsync, screen shake dan particle quality. Di bahagian kawalan, pemain boleh mengubah suai kawalan pada papan kekunci, namun ada lebih baik jika game ini menyediakan sokongan penggunaan mouse.

Muzik dan efek bunyi

Headbanging dan bunyi gitar yang garang, itulah yang boleh penulis katakan mengenai muzik dalam Valfaris. Muziknya mengambil inspirasi dari band rock terkenal seperti Iron Maiden, Pantera dan banyak lagi. Muziknya pasti akan membuatkan tidak hilang fokus dan mahu meneruskan pemain tanpa henti. Efek bunyi seperti bunyi tembakan dan letupan juga bagus begitu juga dengan efek bunyi dari raksasa.

BOLEH BELI

+ Gameplay yang mencabar ketangkasan pemain
+ Grafik 2D yang cantik dan menarik terutama sekali persekitaran dunianya
+ Muzik heavy metal yang best

BOLEH BLAH

Ada ketidakseimbangan dalam pemberian health drops dan energy drops
Sistem perisai yang perlu diaktifkan secara manual

JomKomen!