in ,

Uncharted: Legacy of Thieves Collection: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Permulaan tahun 2022 ini Sony hadir dengan satu lagi remaster untuk salah satu siri eksklusif mereka iaitu Uncharted yang dibangunkan oleh studio Naughty Dog.

Remaster kali ini dilancarkan dengan nama Uncharted: Legacy Of Thieves Collection, menggabungkan dua game terbaharu dari siri Uncharted mereka, Uncharted 4: A Thief’s End dan Uncharted: The Lost Legacy manjadi satu koleksi remaster yang baharu.

Pelancaran game ini eksklusif hanya untuk konsol PlayStation 5 di mana ia memfokuskan penambahbaikan ciri-ciri gen alaf baru ke dalam game ini.

Persoalannya, apakah yang membuatkan Uncharted: Legacy Of Thieves Collection ini berbeza dengan siri asal game ini?

Sedikit info, 6 tahun lalu JomGaming juga pernah menulis review bagi kedua-dua game Uncharted 4: The Thief’s End serta Uncharted: The Lost Legacy, jadi review kali ini penulis tidak akan menyentuh secara menyeluruh mengenai jalan cerita game berkenaan.

Jika anda berminat membaca review menyeluruh mengenai dua game ini, anda boleh merujuk ke pautan di bawah:

Jadi tanpa melengahkan masa, ayuh kita teruskan ke review.

Cerita sama, grafik berbeza

Secara jujur, tidak banyak yang berlaku di dalam siri remaster kali ini. Perubahan yang nyata jelas adalah dari segi resolusi game ini serta kadar FPS yang boleh dimainkan.

Dengan adanya pilihan tetapan grafik Fidelity Mode serta Performance Mode, kedua-dua game Uncharted ini dapat dimainkan dengan lebih lancar dan jelas, bergantung kepada mode apa yang anda pilih ketika bermain.

Mode Fidelity memberikan pengalaman bermain dengan resolusi native 4K namun kadar FPS bagi mode ini terhad kepada 30FPS. Penulis merupakan peminat bagi mode Fidelity ini kerana ia memberikan suasana bermain dengan grafik yang lebih tajam dan kemas lebih-lebih lagi apabila anda bermain di TV berskrin besar.

Performance mode pula hadir dengan dua pilihan iaitu Performance & Performance Plus. Bagi mode Performance anda akan bermain dengan resolusi yang sedikit rendah berbanding mode Fidelity namun dengan kadar FPS yang lebih tinggi iaitu 60FPS manakala mode Performance Plus pula memberikan pilihan bermain dengan resolusi 1080p dengan kadar FPS sehingga 120FPS. Jika anda inginkan pengalaman bermain dengan lebih lancar tanpa menghiraukan persembahan grafik game ini, maka mode ini sangat sesuai untuk anda.

Walaupun penambahbaikan grafik ini nampak biasa bagi sebuah game remaster namun jika difikirkan semula kedua-dua game Uncharted ini sudah dilancarkan hampir 6 tahun yg lalu dan dengan pelancaran remaster ini sedikit sebanyak memberikan satu pengalaman baharu kepada peminat siri Uncharted jika dibandingkan dengan pengalaman bermain game yang sama 6 tahun yang lalu.

Fungsi next gen dan kemudahan lain

Selain grafik, remaster kali ini juga memanfaatkan fungsi Adaptive Trigger dan Haptic Feedback yang hadir bersama controller Dualsense.

Dengan adanya fungsi seperti ini, ia sedikit sebanyak memberi pengalaman berbeza apabila meneroka alam Uncharted yang serba pelbagai dan mencabar. Akan tetapi bagi mereka yang sudah biasa menggunakan Dualsense di game yang menyokong fungsi istimewa controller ini, pengalaman bermain Uncharted adalah lebih kurang sama seperti anda bermain game lain yang menyokong Adaptive Trigger dan Haptic Feedback.

Bagi penulis, tiada faktor yang membina keterujaan apabila fungsi ini sering digunakan dengan hasil yang sama bagi setiap game, atau mungkin penulis sudah tidak terlalu fokus kepada fungsi Dualsense ini kerana kesannya terlalu halus.

Selain itu, dengan bantuan SSD PS5 yang baharu, anda tidak perlu lagi menunggu lama untuk loading masuk ke dalam game bahkan tiada langsung loading screen dalam siri remaster kali ini.

Anda juga boleh memindahkan save game dari Uncharted versi PS4 anda kepada siri remaster ini, kemudahan ini sangat membantu bagi mereka sudah bermain siri Uncharted ini sebelum ini dan tidak mahu bermula semula dari awal dan hanya ingin memilih untuk bermain chapter yang tertentu sahaja.

Sambil menyelam minum air

Seperti mana yang diumumkan Sony sebelum ini, filem adaptasi siri game Uncharted ini akan ditayangkan secara rasmi pada 18 Februari 2022. Dalam meraikan tayangan filem ini, pihak Sony juga mengambil peluang ini untuk melancarkan remaster Uncharted: Legacy of Thieves Collection.

Bukan itu sahaja, pihak Sony juga mengumumkan dalam laman blog rasmi mereka bahawa bagi mereka yang membuat pra tempahan Uncharted: Legacy of Thieves Collection di PS5 melalui PlayStation Store akan menerima satu tiket untuk menonton filem Uncharted yang akan ditayangkan kelak. Namun tawaran ini hanya untuk mereka yang menetap di Australia, New Zealand, UK, atau US. Satu langkah promosi yang agak menarik dan pastinya rata-rata peminat Uncharted di seluruh dunia menantikan tayangan filem ini.

Untuk mereka yang masih tertanya-tanya, Uncharted: Legacy of Thieves Collection ini dijual pada tanda harga RM209 di PlayStation Store sahaja dan bagi mereka yang mempunyai game Uncharted 4, Uncharted: The Lost Legacy, atau Uncharted 4: A Thief’s End & Uncharted: The Lost Legacy Digital Bundle secara belian, sama ada secara digital atau fizikal, anda juga boleh menaik taraf kepada siri Legacy Of Thieves Collection ini dengan tanda harga RM40++.

Walau bagaimanapun bagi mereka yang pernah menebus game Uncharted 4: A Thief’s End menggunakan PlayStation Plus, anda tidak layak untuk menerima naik taraf ini.

Keputusan – Boleh Beli or Boleh Blah!?

Tuntasnya, Uncharted Legacy Of Thieves Collection membawa formula yang sama seperti siri game yang mempunyai remaster bagi konsol PS5 sebelum ini.

Pembaharuan yang dibawa dalam siri remaster ini agak minimal dan tidak terlalu signifikan. Tidak dinafikan bahawa kedua-dua game di dalam koleksi remaster ini merupakan game yang hebat, namun penulis merasakan ianya dapat dibuat dengan lebih baik, mungkin secara pengisian boleh ditambah dengan sesuatu yang sedikit baharu.

Namun begitu, pujian harus diberikan atas usaha untuk menghidupkan semula game yang telah dilancarkan lebih kurang 6 tahun yang lalu. Peminat tegar Uncharted sudah semestinya mengambil peluang ini untuk bermain semula game ini untuk mengimbau kembali sebuah kenangan bersama Nathan Drake tetapi kali ini dalam resolusi 4K.

Dengan grafik, fps dan resolustion yang ditambah baik, sudah semestinya pengalaman bermain semula remaster ini memberikan satu dimensi yang berbeza. Tambahan pula, dengan filem Uncharted yang bakal ditayangkan kelak, remaster ini boleh menjadi pemanas badan sebelum peminat Uncharted menyerbu panggung wayang terdekat untuk menonton filem tersebut (harapnya).

Konklusinya, Uncharted Legacy Of Thieves Collection, boleh beli atau boleh blah? Boleh beli jika anda peminat tegar Uncharted dan tidak kisah membazirkan wang anda untuk naik taraf ke siri remaster ini. Boleh beli juga jika anda tidak pernah main Uncharted 4 dan The Lost Legacy dan mempunyai keinginan untuk membuat pra tempah game ini.

Jika sebelum ini anda pernah bermain kedua-dua siri game Uncharted ini dan anda masih berpendapat koleksi remaster ini tidak mencapai piawaian yang anda inginkan, maka game ini boleh blah untuk anda.

+ Pilihan mode penambahbaikan grafik
+ FPS yang tinggi dan stabil
+ Loading game pantas
+ Nathan Drake tetap kacak

– Penambahbaikan yang minimal
– Tiada pengisian baharu
– Masih mahal

Written by Kamil Geekz

Maznah ke tu?

Casual gamer yang selalu berpakaian smart casual.

Comments

JomKomen!

Loading…

0
Ini Bonus Eksklusif Yang Pelanggan PlayStation Plus Dapat Dalam Call of Duty: Warzone

3 Game Call of Duty Lagi Dilaporkan Akan Dilancarkan Ke PlayStation

Game Percuma PlayStation Plus Februari 2022 – UFC 4, Dragon’s Crown Pro, Planet Coaster, Tiny Tina’s Assault