in , , ,

Uncharted 4: A Thief’s End: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Selepas ia ditunda sebanyak tiga kali, akhirnya Uncharted 4: A Thief’s End kini berada di pasaran. Persoalannya sekarang – Boleh Beli or Boleh Blah!?

uncharted
Pengembaraan penuh liku Nathan bersama Elena.

Naughty Dog telah sahkan bahawa Uncharted 4: A Thief’s End merupakan episod terakhir kepada siri Uncharted. Sekiranya terdapat Uncharted 5 sekalipun, ia tidak akan dibangunkan oleh mereka.

Jadi, bagaimanakah penamat kepada siri yang penuh dengan memorinya yang tersendiri ini? Adakah ia pengakhiran yang penuh bermakna atau menghampakan? Jom ikuti review kami ini.

JomBaca: Uncharted 4: A Thief’s End: Sudah Dilancarkan Di Malaysia!

Jalan Cerita Yang Disusun Cantik.

uncharted
Chapter 3: The Malaysian Job

Seperti kebiasaan, penceritaan yang dibawakan oleh Naughty Dog sentiasa membuatkan kita asyik dibuai dalam kisah yang penuh jiwa ini. Skrip, dialog, watak dan personaliti yang ditampilkan dalam game ini amat menarik dan sentiasa membuat para pemain jatuh terbuai ke dalam jalan cerita tersebut.

Uncharted 4 membawakan plot yang tidak linear. Dari satu chapter ke chapter yang lain, ia tidak semestinya mempunyai latar belakang yang sama dengan yang sebelumnya. Secara kasar, dalam game ini, ia menampilkan watak utamanya, Nathan Drake pada tiga umur yang berbeza – iaitu, ketika awal remaja, awal dewasa dan masa kini. Maka, flashback dan flash-foward akan sering berlaku dalam jangka masa umur-umur tersebut.

Secara peribadi, penulis amat sukakan plot yang “melompat-lompat” seperti ini. Ia memerlukan para pemain untuk lebih fokus dan tidak leka dalam menghayati setiap chapter yang dimainkan. Apa yang membuatkan plot ini lebih menarik, pada setiap pengakhiran chapter, pasti terdapat kaitan dengan permulaan chapter seterusnya – walaupun ia tidak berada pada susur masa umur yang sama.

uncharted
Nathan Drake di awal remaja.

Teknik flashback dan flash-forward ini sememangnya membuatkan kami tidak senang duduk dalam mendalami jalan ceritanya. Ia sering menimbulkan tanda tanya setiap kali sesebuah chapter itu habis. “Argh, kenapa pergi ke susur masa umur yang lain pulak?! Cerita tadi belum habis!”, ini adalah antara kata-kata kami semasa memainkan Uncharted 4.

Secara asasnya, Uncharted 4 “dimulakan” dengan Nathan dan isterinya, Elena yang menjalani kehidupan biasa mereka selepas telah bersara dari menjadi “pencari harta karun”. Namun segala-galanya berubah apabila kemunculan abang Nathan, iaitu Sam yang disangkanya telah mati 15 tahun dahulu.

Melalui plot yang “melompat-lompat” ini jugalah, kita dapat ketahui apakah nama keluarga asal Nathan dan Sam, bagaimana nama “Drake” itu muncul dan serba sedikit mengenai ibu mereka yang juga seorang sejarawan yang hebat!

Takkan kami nak cerita lebih lanjut pula, kan? Tak seronoklah nanti!

Pembukaan Meletop!

uncharted

Naughty Dog sebelum ini telah menyatakan bahawa pembukaan Uncharted 4 adalah babak permulaan terbaik pernah mereka bikin. Ternyata, ia seperti yang mereka janjikan.

Uncharted 4 dimulakan dengan babak penuh aksi yang mendebarkan. Di tengah-tengah lautan bergelora dan ribut petir, Nathan dan abangnya, Sam terpaksa menggagahkan diri untuk sampai ke suatu pulau di hadapan. Tidak cukup dengan itu, bot yang mereka naiki dikejar pula dengan bot-bot musuh yang lengkap dengan kelengkapan senjata api.

Maka, di tengah-tengah samudera itu, Uncharted 4 dimulakan dengan aksi rancak kejar-mengejar serta tembak menembak di antara satu bot dengan bot yang lain. Laut bergelora dan musuh yang mengganas, ia menambah kesukaran kepada babak ini. Sungguh mencemaskan!

uncharted
Babak pembukaan Uncharted 4.

Gameplay Mengasyikkan.

Apabila bercakap tentang gameplay siri Uncharted, ia sentiasa menyajikan sebuah gameplay yang mengagumkan. Untuk Uncharted 4 pula, ia telah melonjak ke satu tahap gameplay yang berdiri di atas kelasnya yang tersendiri.

Jika ingin diterangkan dengan mudah, Naughty Dog telah menggabungkan segala keseronokan yang pernah disajikan dalam Uncharted 1, 2 dan 3 ke dalam satu game yang penuh epik, Uncharted 4. Gerakan-gerakan ikonik seperti memanjat di tebing bukit, beraksi dan berlawan di atas kenderaan-kenderaan yang bergerak serta melompat melepasi gaung membuatkan kami berkata, “inilah Uncharted yang kita rindui”.

Video di bawah mungkin terdapat spoiler!

Sama ada kita sedar ataupun tidak, Naughty Dog telah mendefinisikan gameplay “Uncharted” itu sendiri. Apabila kita bermain, kita akan rasakan terdapat perbezaan antara game Uncharted dengan game action adventure yang lain.

Tali, Meluncur & Paku.

uncharted
Baik-baik bergayut tu, Nate!

Apa yang kami lihat, terdapat tiga perkara yang diketengahkan dalam game ini yang menjadikan gameplay Uncharted 4 berbeza dengan siri-siri Uncharted sebelum ini iaitu; penggunaan tali, gerakan meluncur dan penggunaan piton semasa memanjat.

Penggunaan tali merupakan satu gajet yang sangat signifikan dalam Uncharted 4. Dengan menekan butang L1, ia bukan sahaja digunakan untuk berayun dari satu tempat ke satu tempat yang lain, malah ia juga digunakan untuk melakukan serangan hendap dari udara ke atas musuh. Dan percayalah, gerakan ini akan membuat pemain berasa sungguh badass!

Di samping itu, tali ini juga berguna untuk membantu Nathan Drake untuk meneruskan permainan seperti menarik kotak dari air yang deras, mengikat kereta dengan pokok, menarik roda dan banyak lagi.

uncharted
Abang Nathan yang kacak bergaya.

Gerakan meluncur dari satu tempat tinggi melalui permukaan yang licin juga merupakan satu perkara yang baru dalam siri ini. Ia adalah gerakan yang sungguh mendebarkan, namun sangat menghiburkan.

Gabungan gerakan meluncur disusuli dengan sambungan gerakan penghayunan tali adalah kombinasi gerakan yang paling kami suka dalam Uncharted 4. Kombo ini memerlukan pemain untuk fokus dan membuat keputusan yang tepat dalam mengawal gerakan semasa meluncur, kemudian ketepatan waktu melompat serta menekan butang L1 untuk tali adalah kombinasi yang amat seronok untuk dilakukan!

Piton pula adalah sebuah alat untuk membantu ketika memanjat. Nathan Drake memperoleh piton ini daripada mayat seorang lanun yang tergantung di dalam hutan.

Piton ini juga mengubah sedikit gameplay memanjat dalam Uncharted 4. Piton ini boleh dipakukan di permukaan memanjat yang sedikit lembut. Ini membuatkan gerakan memanjat bukan sahaja menekan butang arah dan X, malah ia memerlukan pemain untuk menekan butang segi-empat dalam meneruskan objektif memanjat itu – seterusnya ia terasa lebih mencabar!

Grafik Memukau.

uncharted
Pemandangan yang cukup indah.

Grafik yang dipaparkan dalam Uncharted 4 adalah sukar untuk kami terjemahkan dalam kata-kata. Grafiknya adalah sangat memukau.

Dari Uncharted 1, Uncharted 2, Uncharted 3 dan seterusnya The Last of Us, Naughty Dog sentiasa membawakan grafik yang tidak pernah terfikir cantiknya di setiap pelancaran game-game ini. Ia sentiasa berada di hadapan berbanding game-game lain dari segi grafik semasa game-game ini dikeluarkan.

Perkara sama juga telah berlaku kepada Uncharted 4. Melalui resolusi 1080p 30fps, tidak keterlaluan untuk kami katakan, grafik game ini adalah paling cantik yang pernah dibangunkan di PlayStation 4 sehingga kini. Setiap titik peluh, luka, garisan, lumpur di baju dan ekspresi muka yang penuh emosi kelihatan jelas seperti dunia sebenar.

Tambahan lagi dengan pemandangan yang cukup sedap mata memandang, perincian di bangunan-bangunan dan tepi jalan, suasana dan persekitaran di era abad ke-17 dan banyak lagi! Ah! Sungguh sukar untuk digambarkan betapa indahnya game ini.

Apa yang membuat pengalaman memainkan game ini sangat puas adalah apabila cinematic scene dan gameplay scene bersambung terus antara satu sama lain. Tiada loading mahupun blank screen antara keduanya. Syabas Naughty Dog!

Uncharted 4 & The Last of Us.

uncharted
Elena yang cantik berseri.

Seperti yang telah mereka nyatakan sebelum ini, terdapat banyak perkara positif yang diambil daripada game Naughty Dog sebelumnya, The Last of Us (TLOU) dan diterapkan ke dalam Uncharted 4. Dan setelah menghabiskan game ini, kami cukup berpuas hati dengan pendekatan mereka ini.

Jika kami ditanya, apa yang membuatkan TLOU sungguh melekat dalam jiwa pemain? Pasti kami akan mengatakan ia adalah kerana pembangunan watak yang dibina antara watak utama dengan watak-watak lain. Dan kami gembira mereka telah membawakan perhubungan antara watak yang kukuh ke dalam Uncharted 4 juga.

Mungkin ia tidaklah sebaik yang mereka telah garapkan dalam TLOU. Namun, perhubungan watak dalam Uncharted 4 ini dirasai lebih kuat berbanding siri-siri sebelum ini. Para pemain lebih selesa dalam mendalami watak-watak dalam game ini, terutamanya perhubungan antara Nathan dan Elena.

uncharted
Hidupkan api pula sebab lampu suluh dah kehabisan bateri!

Selain itu, antara pendekatan dalam TLOU yang digunakan dalam Uncharted 4 untuk mengukuhkan lagi perhubungan watak, mereka telah memberi peluang untuk bermain sebagai selain dari watak utama. Jika dalam TLOU, pemain perlu bermain sebagai Ellie, manakala dalam Uncharted 4, pemain perlu bermain sebagai Sam.

Melalui teknik ini, pemain akan merasai lebih dekat dengan watak-watak lain kerana pemain bukan sahaja bermain sebagai watak utama, malah turut mendalami watak lain – walaupun ia hanya dimainkan sekejap sahaja.

uncharted
Adik-beradik Drake.

Bukan itu sahaja. Kerjasama antara Nathan dan watak-watak lain juga difokuskan, sama seperti yang dapat kita lihat antara Joel dan Ellie. Membantu memanjat serta semasa berlawan dengan musuh, Nathan dan watak-watak lain sentiasa menolong antara satu sama lain.

Antara yang kelihatan jelas adalah apabila bertumbuk melawan musuh, Nathan dan watak-watak lain akan sama-sama “membedal” musuh secara serentak dan sekiranya salah seorang digenggam musuh, salah seorang akan bantu untuk melepaskannya. Kadang-kala gerakan-gerakan seolah-olah tag-team WWE dilakukan!

Ini secara langsung memperlihatkan watak-watak ini lebih “sayang” dan ambil peduli antara satu sama lain.

Di samping itu, gerakan stealth turut diperkenalkan dalam Uncharted 4, dan gameplay yang digunakan juga banyak diambil dari TLOU. Kini, pemain boleh memilih sama ada ingin menyerang musuh secara senyap dan hapuskan mereka satu per satu atau menyerang dengan penuh gaya dan aksi – letup sana letup sini!

Efek Bunyi Yang Mantap.

uncharted
Meninjau pemandangan dari lif abad ke-17.

Uncharted 4 tidak ketinggalan dalam menyajikan efek bunyi yang sangat memuaskan. Apabila efek bunyi disempurnakan dengan grafik dan destructions yang mantap – satu pengalaman bermain yang sangat puas dirasai.

Sesi kejar-mengejar, tembak-menembak, letupan kuat dan aksi bertumbuk adalah sangat memuaskan apabila ia disulami dengan efek bunyi yang padu. Ia umpama kita benar-benar berada dalam dunia Uncharted itu sendiri.

Nostalgia & Easter Egg.

uncharted
Layan game klasik dulu!

Dalam Uncharted 4, Naughty Dog telah menyelitkan pelbagai nostalgia dan easter egg. Banyak perkara yang mereka tampilkan mampu membuat kami tersenyum.

Di Chapter 4, kita seperti dibawa untuk “melawat” rumah Nathan. Di bahagian atas sekali rumah ini, terdapat banyak barang-barang lama kepunyaan Nathan. Artifak-artifak dan gajet-gajet penting dari Uncharted 1, 2 dan 3 dapat dilihat semula. Semuanya menggamit kenangan kepada siri-siri sebelum ini.

Kemudian di ruang tamu rumah tersebut, kita disajikan dengan nostalgia dan easter egg yang lebih mengusik jiwa. Terdapat PlayStation Original dan kita sendiri boleh memainkan game yang sangat popular di konsol itu keluaran Naughty Dog sendiri, Crash Bandicoot.

Apakah yang Naughty Dog ingin sampaikan melalui easter egg Crash Bandicoot ini? Lebih menarik, bukan babak ini sahaja boleh kita mainkannya, malah di Chapter Epilogue juga ia sekali lagi boleh dimainkan.

Selain itu, seperti yang telah kami laporkan sebelum ini, TLOU 2 juga mendapat “poster khas” dalam Uncharted 4.

JomBaca: The Last Of Us 2: Mungkinkah Ellie Mengandung Dalam Episod Kedua Nanti?
uncharted
Easter egg The Last of Us 2.

Jip & Fizik.

Jip merupakan kenderaan terpenting dalam Uncharted 4. Dengan kawasan permainan yang lebih terbuka dan luas, penggunaan jip memainkan peranan yang besar dalam meneruskan jalan cerita, terutamanya ketika berada di Madagascar.

uncharted
Landskap yang sangat memukau.

Fizik pemanduan jip serta tanah, lumpur dan air yang diredahi bersamanya adalah sangat baik. Setiap permukaan yang berlainan boleh dirasai perbezaannya. Lain permukaan, lain teknik pemanduannya.

Puzzle & Teka-Teki.

Apabila melakukan pencarian harta karun, semestinya kita tidak dapat lari daripada permainan puzzle dan teka-teki. Dan pastinya, Uncharted 4 disediakan dengan pelbagai puzzle untuk membongkar setiap klu yang tersurat dan tersirat.

uncharted
Hiasan dalaman abad ke-17

Puzzle yang ditampilkan adalah dalam skala kesukaran sederhana. Ia tidak terlalu mudah, tidak juga terlalu sukar. Setiap puzzle adalah unik dan seronok untuk diselesaikan.

Photo Mode.

Secara peribadi, penulis sedikit kecewa dengan Photo Mode. Jangan salah sangka. Photo Mode yang ditampilkan adalah sangat baik. Ia tidak terlalu kompleks, banyak fungsi menarik dan mudah untuk difahami. Dan secara jujur, penulis memang seronok apabila menggunakannya ketika mengambil gambar dari pemandangan-pemandangan yang indah lagi memukau.

Dan seperti yang telah kita lihat di luar sana, apabila pemain-pemain kreatif menggunakan Photo Mode ini, gambar-gambar yang cantik telah dapat dirakam. Sungguh indah tangkapan mereka.

Berikut adalah beberapa screenshot yang berjaya kami ambil dari Photo Mode ini:

uncharted uncharted uncharted uncharted uncharted

Namun, apa yang membuat penulis sedikit kecewa adalah secara asasnya, Photo Mode ini adalah Photo Mode yang sama digunakan dalam The Last of Us Remastered. Tiada apa-apa perbezaan dan penambahan yang diletakkan dalam Uncharted 4, kecuali ia boleh digunakan semasa cinematic scene (namun tidak boleh ditukar camera angle).

Selepas beberapa tahun Photo Mode ini dikeluarkan di TLOU Remastered dan kenyataan Naughty Dog sebelum ini yang mengatakan terdapat fungsi menarik dalam Photo Mode kelak, penulis menjangkakan penambahan fungsi yang ketara. Namun, nampaknya jangkaan penulis meleset.

JomBaca: Uncharted 4: Jom Tonton Fan-Made Trailer Yang Mengusik Jiwa Ini!

Dialog. 

uncharted
Pasar malam di Madagaskar.

Untuk dialog semasa cinematic scene, ia tiada cacat celanya. Namun, kami sedikit tidak senang dengan dialog yang digunakan semasa gameplay.

Untuk menghindari suasana dan gameplay yang membosankan, pasti ia akan disulami dengan dialog antara watak. Dialog yang digunakan pada waktu ini kadang-kala sangat bersifat repetitif. Terdapat beberapa ayat yang mungkin telah kami hafal kerana ia diulang beberapa kali.

Yang Pendek Dipanjangkan.

uncharted
Pengembaraan terakhir.

Terdapat beberapa ketika di mana jangka masa sesebuah chapter itu seperti sengaja dipanjang-panjangkan sedangkan ia boleh dipendekkan untuk mengelakkan gameplay yang bosan.

Sebagai contoh, untuk sampai ke satu kawasan pergunungan yang tinggi, jalan yang dibawakan seperti sengaja dibelok-belok jauh bagi memanjangkan perjalanan. Ya, benar, ia untuk memastikan game menjadi lebih mencabar dan tidak terlalu linear. Namun, ia terlalu meleret-leret sehinggakan gameplay memanjat, misalnya, ditampilkan dalam jumlah yang terlalu banyak.

Ia membuatkan pemain sedikit bosan dan mengantuk.

Multiplayer Pula Bagaimana?

Apabila bercakap mengenai Uncharted, tidak ramai yang terlintas mengenai Multiplayer-nya terlebih dahulu. Namun, ia tidak menghalang daripada Naughty Dog untuk menampilkan Multiplayer yang baik.

Secara keseluruhan, Multiplayer memberikan pemain untuk “sambung beraksi” dalam dunia Uncharted selepas menghabiskan story-nya. Segala gerakan, gajet dan senjata yang terdapat dalam story dibawa ke dalam Multiplayer dengan baik.

JomBaca: Uncharted 4 Multiplayer: Perancangan Selama Setahun, Semua Map & Mode Diberi Percuma!

Perkara paling menarik mengenai Multiplayer ini adalah watak-watak dalam siri-siri Uncharted sebelum ini dibawa ke dalamnya – watak baik dan juga watak jahat. Antaranya adalah Samuel, Harry Flynn dan Zoran Lazrevic. Melalui ini, kita dapat melihat watak-watak ini “dibangkitkan semula” dalam grafik dan teknologi PlayStation 4 yang lebih cantik.

Apabila bermain Multiplayer, ia boleh dikatakan terasa lebih dekat kepada Uncharted 2. Lebih-lebih lagi apabila banyak items dan watak-watak dalam Uncharted 2 digunakan dalam Uncharted 4 Multiplayer ini.

Uncharted 4 Multiplayer memberikan 4 game mode sahaja, iaitu Team Deathmatch, Plunder, Command dan Ranked Deathmatch. Pada pendapat kami, game mode yang disediakan adalah sangat sedikit. Selepas bermain dan mencuba kesemua game mode beberapa jam, kami merasakan ia sungguh repetitif dan bosan.

Tiada alasan yang membuat kami untuk terus melekat bermain Multiplayer. Atau kata lain, tiada replayability dan longevity.

Keputusan: Boleh Beli or Boleh Blah!?

uncharted
Selamat tinggal Uncharted.

Kesimpulannya, Uncharted 4: A Thief’s End merupakan sebuah game yang sangat berbaloi untuk dimiliki terutamanya kepada para pemain yang pernah memainkan siri-siri Uncharted sebelum ini.

Ia merupakan penamat yang sempurna kepada episod penuh epik dan memori siri Uncharted. Untuk episod keempat ini, ia bukanlah lagi sebuah pengembaraan mencari harta karun dan menjadi kaya. Ia sebuah perjalanan menuju “destinasi” dalam mencari erti sebenar makna kekeluargaan.

Ia bukan lagi misi mencari jutaan emas untuk dibawa pulang, ia adalah sebuah pengembaraan mencari lambang sebuah kebebasan. Ia bukan lagi pencarian harta untuk hidup senang, ia adalah perjalanan menilai erti sebuah kehidupan bersama orang tersayang.

Sekiranya game aksi penuh kejutan, destructions yang mantap, efek bunyi yang baik, grafik memukau dan nilai kekeluargaan mendalam yang anda cari, Uncharted 4: A Thief’s End pastinya adalah game BOLEH BELI untuk anda!

Namun, sekiranya anda tidak pernah memainkan mana-mana Uncharted sebelum ini, kami katakan game ini adalah BOLEH BLAH untuk anda. Memainkan game ini memerlukan pemain untuk bermain siri-siri sebelum ini kerana terlalu banyak jalan ceritanya berkait dengan Uncharted 4. Pasti tidak seronok menikmati game yang jalan ceritanya tidak difahami.

+ Jalan cerita disusun cantik
+ Teknik flashback, flash-forward yang menarik
+ Pembukaan meletop
+ Gameplay mengasyikkan
+ Gabungan keseronokan dari UC1, 2 & 3
+ Kombinasi gerakan meluncur dan berayun
+ Grafik yang sangat memukau
+ Banyak perkara positif diambil dari TLOU
+ Hubungan watak yang kukuh
+ Efek bunyi yang mantap
+ Ester egg yang menarik
+ Membawa watak-watak lama ke dalam Multiplayer

Photo Mode yang sama seperti TLOU
Dialog semasa gameplay yang repetitif
Perjalanan antara aksi cerita yang terlalu panjang
Multiplayer yang repetitif dan cepat bosan

JomBaca: Kempen Pemasaran Uncharted 4 Adalah Yang Terbesar Dalam Sejarah PlayStation!

Written by Faiz Tobeng

Abang Youtuber ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES.

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Persona 5: Lebih Perincian Mengenai Persona Bakal Waifu Korang!

Watak Disebalik Logo Kojima Productions Akhirnya Terbongkar!