Rainbow Six Siege boleh dikatakan sebagai game paling berjaya keluaran Ubisoft — baik dari segi kandungan tambahan yang ditampilkan, mahupun scene esports-nya yang cukup memberangsangkan.

Memasuki Year 4, pengarah esports, François-Xavier Dénièle mendedahkan serba sedikit apakah perancangan Ubisoft dalam memantapkan lagi ekosistem esports untuk game ini, dan antara fokus utama mereka ialah untuk membawakan Pro League Final ke rantau Asia pula, lapor GameReactor.

“Apa yang paling saya bangga ialah evolusi di rantau APAC (Asia Pasifik), kami memperkenalkan APAC setahun lalu dan sekarang saya sangat gembira melihat dua pasukan di suku akhir dan Nora Rengo di separuh akhir,” kata Dénièle.

“Sekarang kami mempunyai kehadiran yang kuat di Asia dan perkara paling menarik ialah tahun hadapan kami merancang untuk satu Pro League Final di Asia untuk kali pertama, jadi ia adalah mesej yang tepat untuk ekosistem esports bagi Rainbow Six.”

Pro League merupakan sebuah pertandingan berprestij, hasil kerjasama antara Ubisoft dan ESL, yang dianjurkan tiga kali setahun, sebelum Season 4 untuk tahun tersebut disimpulkan dengan Six Invitational. Ia merupakan pertandingan kedua terbesar selepas acara tahunan Six Invitational.

Pro League akan menjalani pusingan kelayakan di empat rantau secara online terlebih dahulu — iaitu di Amerika Utara, Amerika Latin, Eropah dan Asia Pasifik. Kemudian, untuk Pro League Final, ia akan diadakan pertandingan secara offline. Pro League Final sudah diadakan di negara Amerika Syarikat, Jerman, United Kingdom, Poland dan Brazil.

Menarik untuk kita tunggu, negara manakah yang bakal dipilih untuk mengadakan Pro League Final buat kali pertama di Asia Pasifik. Jangkaan korang?

JomKomen!