in , , , , , , ,

Trilogi GTA Remastered Dilaporkan Akan Dilancarkan Oktober Ini Untuk PC, PlayStation, Xbox, Switch, Mobile

Beberapa hari lalu, syarikat penerbitan gergasi, Take-Two Interactive telah mengesahkan terdapat tiga game klasik yang bakal dihidupkan semula, yang masih belum diumumkan, bakal dilancarkan pada tahun fiskal ini (April 2021 hingga Mac 2022).

Apabila berita itu mendapat perhatian, ramai sudah mula meneka-neka apakah tiga game tersebut. Koleksi game yang pernah diterbitkan Take-Two sememangnya cukup luas — antaranya Grand Theft Auto, BioShock, Red Dead, Bully, Borderlands, Civilization, Mafia, Max Payne, XCOM — maka sukar untuk kita jangkakan apakah tiga game tersebut.

Terkini, satu khabar angin kuat telah bertiup kencang mengatakan bahawa tiga game tersebut adalah trilogi GTA — iaitu Grand Theft Auto III, Grand Theft Auto Vice City, dan Grand Theft Auto San Andreas.

Laporan ini muncul daripada Kotaku, di mana laman itu mengatakan berita ini disampaikan dari tiga punca sumber berbeza yang cukup rapat dengan Rockstar Games, pembangun francais GTA.

Pembangunan ketiga-tiga game remastered GTA ini dikatakan telah memasuki fasa-fasa akhir, dan dijadualkan akan dilancarkan pada penghujung Oktober atau awal November tahun ini.

Apa yang paling menarik adalah bilangan platform pelancaran yang begitu menyeluruh. Kotaku menyatakan yang trilogi remastered ini akan keluar untuk PS4, PS5, Xbox One, Xbox Series X/S, Switch, PC, Stadia, dan peranti mobile.

Trilogi ini pada asalnya dikhabarkan akan dipakejkan sekali ke dalam pembelian GTA V untuk konsol generasi terkini (PS5, Xbox Series) yang akan dilancarkan pada September ini, namun disebabkan kerja-kerja yang perlahan kerana penularan wabak COVID-19, maka versi remastered ini terpaksa ditunda dan dijual secara berasingan.

Ketiga-tiga game ini dilaporkan dibangunkan dalam Unreal Engine, dan ia dikatakan akan menyulamkan grafik yang lama dengan baharu. Misalnya, UI akan dikemaskini namun masih tetap mengekalkan aura zaman PS2.

Ura-ura tentang versi remastered untuk game-game GTA era PS2 sememangnya sudah sekian lama berlegar, lebih-lebih lagi apabila baru-baru ini Take-Two telah mengarahkan untuk menutup mod-mod yang berkaitan game-game klasik GTA yang dicipta oleh peminat.

Lebih menarik, laporan ini turut menyatakan yang Rockstar ada merancang untuk membikin versi remastered untuk game pertama Red Dead Redemption, namun semuanya bergantung kepada sambutan dan jualan trilogi remastered GTA ini.

Apa-apa pun, seperti biasa, selagi berita seumpama ini belum disahkan secara rasmi, jangan terlalu berharap. Sama-sama kita nantikan sebarang pengumuman daripada Rockstar.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Ragnarok X: Next Generation: Kemaskini Pet System Kini Dilancarkan – Tangkap Dan Jaga Haiwan Comel

Battlefield 2042: Mode Hazard Zone Mungkin Banyak Persamaan Dengan Escape from Tarkov