Kapten Liverpool yang tiada galang gantinya.
Kami pasti peminat Liverpool pada pagi ini akan tersenyum lebar sepanjang hari. Kemenangan Liverpool dengan keputusan 0-5 ke atas FC Porto telah meletakkan The Reds sebelah kaki di suku akhir UEFA Champions League, sebelum bermain perlawanan timbal balik kedua di Anfield nanti.
Tapi, ada satu lagi cerita tentang Liverpool yang menarik untuk korang dengar, terutamanya mereka yang bermain PES 2018. Konami telah mengumumkan tarikh untuk beberapa pemain legenda Liverpool yang akan ditampilkan ke dalam game ini.
Michael Owen, Robbie Fowler, Ian Rush, Steven Gerrard, Steve McManaman, Kenny Daglish dan Kevin Keegan akan dibawakan ke dalam mode myClub, dan korang berpeluang untuk mendapatkannya dari 15 hingga 22 Februari ini.
Bersempena dengan pelancaran para pemain legenda ini, Konami telah mengeluarkan satu trailer khas memaparkan sedikit aksi mereka ini dalam game. Lebih menarik, ia turut menampilkan seorang lagi duta PES, iaitu Luis Suarez – bercakap tentang pengalaman beliau bermain bersama Steven Gerrard.
“Apa yang paling menyerlah tentang Steven Gerrard ialah hantaran jauhnya,” kata Suarez. “Hantaran-hantaran yang beliau lakukan memudahkan pemain penyerang. Kesefahaman di atas padang, melakukan gerakan satu-dua, adalah antara keupayaan yang beliau ada.”
“Kami memiliki kesefahaman yang baik dengan Gerrard, dalam gerakan yang beliau lakukan. Saya sangat bertuah dapat bermain bersamanya, dan saya sangat seronok dengan saat-saat yang kami pernah ada bersama.”
Luis Suarez kini bermain untuk FC Barcelona, selepas bermain bersama Liverpool dari 2011 hingga 2014 – melakukan 110 penampilan dan 69 jaringan.
PES 2018 boleh dimainkan di PC, PS4, Xbox One, PS3 dan Xbox 360. Game ini juga mempunyai versi iOS dan Android.
Comments
Loading…