Sumber gambar: HRH Crown Prince of Johor.

DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) kini merupakan Penasihat Diraja untuk Persatuan Esukan Malaysia (Esports Malaysia – ESM).

Dalam satu post yang dinaikkan di laman Facebook rasmi baginda, Tunku Ismail menerima mengadap Jufitri Joha dan Muhammad Fadzli Hasan, Presiden dan Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia serta Sallehen Mohamad, Presiden Majlis Belia Negeri Johor di Johor Bahru, Johor semalam.

Turut menyertai pertemuan tersebut ialah perwakilan dari ESM yang diketuai oleh Setiausaha ESM, Hisham Darus. Dalam pertemuan ini, Tunku Ismail berkenan menerima perlantikan selaku Penasihat Diraja untuk ESM.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh ESM pula, mereka mendedahkan bahawa baginda akan menasihati dan memberikan buah fikiran yang akan mengangkat industri esports di Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi di masa akan datang. ESM turut berharap penggiat esports tanah air akan terus memberikan sokongan kepada persatuan ini agar penstrukturan, penyelarasan dan pembangunan sukan elektronik ini dapat digerakkan ke peringkat akar umbi.

Pelantikan ini semestinya satu lembaran baru dalam industri esports tempatan, memandangkan ini merupakan kali pertama mana-mana keluarga diraja terlibat secara langsung dalam bidang ini. Pastinya idea-idea bernas baginda ditagih bagi membantu memajukan lagi arena yang cukup berpotensi besar ini.

JomKomen!