Timelie merupakan sebuah game indie bergenre strategi dan puzzle di mana pemain mengawal dan memanipulasi masa dengan boleh patah balik, hentikan dan gerakkan masa ke hadapan seperti pemain video.

Timelie dibangunkan oleh Urnique Studio, sebuah studio dari negara Thailand dan diterbitkan oleh Milk Bottle Studio untuk platform PC.

Alangkah bagusnya jika kita boleh patah balik atau gerakkan masa ke hadapan sesuka hati kita. Itulah yang terjadi dalam game Timelie.

PLOT

Timelie mengisahkan tentang seorang budak perempuan yang terperangkap dalam sebuah dunia misteri di mana dia mempunyai kuasa untuk mengawal masa. Bersama-sama dengan seekor kucing, dia mestilah mencari jalan keluar dari situ untuk kembali ke alam realiti dengan menyelesaikan pelbagai jenis puzzle dan menghadapi halangan dari sekumpulan robot pengawal yang tidak diketahui yang mahu memburu budak perempuan itu.

Walaupun game ini memaparkan sebuah dunia yang menarik, namun plot dalam game tidak mengetengahkan atau menjelaskan sedikit tentang apakah dunia yang budak perempuan itu sedang berada dan kenapa dia terperangkap? Siapakah robot-robot yang mahu memburu budak perempuan itu? Ada banyak persoalan yang tidak dijelaskan di sini. Mungkin itu hala tuju pembangun untuk menyediakan jalan cerita yang mudah, tapi ia agak menarik juga jika pembangun terokai lebih dalam kerana dunia yang mereka cipta ini menarik.

GAMEPLAY

Seperti yang telah disebutkan tadi, pemain akan mengawal karakter budak perempuan di mana dia boleh mengawal masa. Ada lima bab kesemuanya dan setiap bab ada lima atau enam levels. Pandangan kamera diletakkan pada perspektif isometrik. Pemain boleh mengawal karakter dengan menggerakkan karakter dari satu posisi ke satu posisi mengikut sistem grid dengan garisan perjalanan yang telah ditetapkan.

Setiap level akan mempunyai puzzle yang berbeza untuk diselesaikan, kebanyakannya melibatkan pemain untuk mencari keypad yang boleh membuka pintu dengan warna berbeza. Kadangkala, pemain juga perlu membaiki jambatan yang telah musnah dengan menggunakan kuasa rewind pemain. Tapi untuk membaiki struktur tersebut, pemain perlu mencari orb putih yang boleh dicari sekitar level. Adakalanya, orb ungu juga akan muncul, dengan mengambil orb ungu itu, ke semua struktur akan dibaiki tapi masa akan berpatah balik dan membawa pemain ke tempat asal.

Bukan hanya puzzle yang perlu dirisaukan oleh pemain, musuh yang berkeliaran juga perlu dititikberatkan. Robot-robot pengawal akan sentiasa bergerak dalam posisi mereka dan jika mereka ternampak pemain dalam pandangan mereka, robot itu akan mengejar pemain dengan pantas dan memukul pemain. Tapi jangan risau, dalam game ini tiada istilah ‘game over’, ‘mission failed’ atau ‘you died’ kerana setiap kesilapan boleh diperbetulkan dengan mengundurkan masa.

Pemain boleh gunakan slider seperti yang ada pada pemain video untuk mengawal jangka masa, sama ada untuk digerakkan ke belakang atau ke hadapan atau menggunakan butang ‘A’ dan ‘D’. Slider akan bergerak ke hadapan sehingga ke tempat terakhir pemain meletakkan karakter. Pemain akan banyak bermain dengan unduran masa kerana jika strategi asal pemain gagal, pemain perlu gunakan strategi baru dengan patah balik semula. Kadangkala ia memerlukan ketepatan masa yang tepat untuk pemain melepaskan robot-robot pengawal itu terutamanya dalam map yang sempit. Sangat sukar.

Semakin lama, robot-robot pengawal ini semakin banyak. Pemain tidak mampu melepasi mereka semua. Di sinilah fungsi kawan baik budak perempuan itu, seekor kucing yang banyak membantu pemain. Kucing itu mampu mengeluarkan bunyi ngiauan untuk menarik perhatian musuh, ini mampu memberikan masa kepada karakter untuk berlari ke tempat lain.

Pemain boleh menukar dari karakter budak perempuan ke kucing itu pada bila-bila masa. Ini kerana puzzle akan menjadi susah apabila melibatkan dua kunci berbeza yang perlu diaktifkan pada masa yang sama serta juga ada elemen puzzle baru akan muncul. Setiap kali pemain dapat melepasi satu-satu level, pemain boleh mainkan balik video gameplay dari level yang telah diselesaikan.

Bagi penulis, setiap level yang disediakan kepada pemain memerlukan daya pemikiran yang cerdas untuk menyelesaikan puzzle yang sedia ada. Dan dalam masa yang sama, ketajaman mata pemain juga perlu ada kerana pemain perlu pandai mengagak berapa jarak dan masa yang diperlukan untuk sampai ke lokasi tersebut terutamanya apabila melibatkan pintu yang terbuka dalam masa terhad atau robot-robot pengawal yang sangat annoying dan tidak berbelah-bahagi untuk mengejar dan menyerang pemain. Jadi pemain akan selalu bermain dan memanipulasi slider masa itu. Gameplay yang mencabar, cemas, kreatif dan unik.

GRAFIK

Timelie menggunakan grafik 3D dengan gaya seni yang menarik ala-ala seperti lukisan pensel warna. Setiap reka bentuk dari karakter budak perempuan sehingga ke robot pengawal direka bentuk dengan cantik dan menarik untuk dilihat. Setiap warna yang digunakan dalam game ini juga mempunyai gabungan warna lembut dan kasar yang disesuaikan dengan situasi semasa. Reka bentuk setiap level juga menarik dan kreatif. Pergerakan animasi pada setiap karakter juga lancar.

MUZIK DAN BUNYI

Timelie menggunakan muzik instrumental yang melodrama dan tenang tapi kadang-kadang dalam satu masa muzik boleh menjadi cemas dan serius. Muzik yang baik, tapi tidak begitu mudah diingati. Efek bunyi yang disediakan dalam game merangkumi bunyi seperti pintu terbuka/tertutup, ngiauan dari kucing dan juga bunyi apabila robot pengawal dapat mengesan pemain, itu sangat menakutkan. Secara keseluruhan baik.

Timelie: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Jika korang berminat dengan sebuah game yang menyediakan elemen mengawal masa dan konsep unik seperti elemen pemain video, korang boleh beli Timelie di Steam sekarang.

+ Gameplay dan puzzle yang menarik dengan konsep pemain video/kawal masa unik
+ Gaya seni grafik yang menarik dan cantik

– Story yang biasa dan tidak dijelaskan dengan baik
– Muzik yang biasa

JomKomen!