in

This Is The Police 2: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Bunyi siren dari kereta-kereta polis tidak pernah lekang di bandar Sharpwood. Mereka perlu berdepan dengan pelbagai jenayah yang tidak kenal erti rehat. Namun, tugas seorang ketua balai polis bukan hanya perlu menangkap penjenayah, ia lebih daripada itu.

This Is The Police 2 dikeluarkan pada 31 Julai 2018 oleh pembangun Weappy Studio dan diterbitkan oleh THQ Nordic untuk platform PC, PS4, Xbox One dan Nintendo Switch. Ia merupakan sekuel kepada game pertama yang telah dikeluarkan pada tahun 2016. Game ini mengabungkan elemen strategi dan real-time management. Jadi, apa yang membuatkan game ini menarik? Korang kena baca lagi untuk ketahuinya.

Apa ceritanya kali ini?

Plot This Is The Police 2 menyambung kisah dari game pertama, tapi di bandar berbeza. Kali ini, pemain akan dibawa dari bandar Freeburg ke bandar Sharpwood. Sheriff Wells telah menerima panggilan misteri yang mendedahkan kepada mereka lokasi kumpulan Neckties yang menjalankan aktiviti pengedaran dadah.

Malangnya, apabila Sheriff Wells tiba di sana bersama dengan dua orang anggota polisnya, mereka terbunuh dalam operasi tersebut. Beberapa bulan kemudian, jawatan Sheriff Wells sebagai ketua balai polis Sharpwood telah digantikan oleh Sheriff Lilly Reed, namun dia menghadapi kesukaran untuk mengawal anggota-anggota bermasalah yang tidak mahu mendengar arahannya.

Semuanya berubah apabila Jack Boyd (protagonis dari game pertama) yang sedang menyembunyikan diri di bandar Sharpwood dari buruan pihak berkuasa dan musuhnya atas kesalahan yang dia tidak lakukan dengan rela hati membantu Sheriff Lilly untuk menguruskan balai polisnya. Jack Boyd bersedia membantu Sheriff Lilly dengan syarat, Llily tidak menghubungi agen persekutuan. Maka, bermulalah tugas Jack Boyd dalam mengendalikan balai polis Sharpwood “secara tidak rasmi”

Dari segi penceritaan, This Is The Police 2 terbahagi ke dua sisi plot di mana satu sisi memfokuskan kepada cerita Jack Boyd dan Sheriff Lilly dalam menghapuskan sindiket kumpulan pengedar dadah, Neckties. Manakala, satu lagi sisi memfokuskan kepada seorang agen persekutuan iaitu Lana dalam usahanya untuk menangkap Jack Boyd.

Bagi penulis, plotnya menarik dan membuatkan penulis tidak sabar untuk mengetahui apa yang akan berlaku seterusnya kerana setiap watak mempunyai motif mereka yang tersendiri untuk mencapai matlamat yang mereka mahukan. Ditambah pula dengan penulisan skrip yang memang membangkitkan rasa suspen, serius dan kelakar. Namun, kadang-kadang ada dialog dalam sesetengah babak yang mungkin terlalu panjang yang sengaja dibawa-bawa.

Tapi, apabila plotnya berada di pertengahan. Terdapat ketidakseimbangan berlaku apabila plotnya lebih menceritakan ke arah usaha Lana dalam menangkap Jack Boyd dan kisah hidup Jack Boyd daripada memfokuskan kepada kisah Neckties. Namun, apabila hampir tiba di penghujung, plotnya kembali kepada kisah Neckties, tapi cara ia di-execute-kan adalah agak lemah dan malas bagi pendapat penulis.

Best ke gameplay-nya?

Game ini menggabungkan elemen real-time management dan turn-based strategy serta sedikit elemen pemilihan dialog. Setiap hari, sebelum anggota-anggota polis mulakan tugasan, pemain yang bertindak sebagai ketua perlu menguruskan beberapa perkara terlebih dahulu seperti memilih berapa ramai anggota yang perlu ditugaskan pada hari itu dan memberikan kelengkapan seperti taser, shocker, pepper spray, baton dan lain-lain kepada mereka.

Setelah selesai, pemain akan dibawa ke bandar Sharpwood dari sudut pandangan isometric. Di sinilah tugasan bermula, pemain akan menerima panggilan kecemasan di sekitar bandar. Pemain perlu cepat menjawab panggilan tersebut kerana masa yang diberikan hanya 30 saat atau kurang untuk pemain menghantar anggota ke tempat kejadian. Pemain boleh menghantar enam orang anggota dan seorang sniper ke sana.

Untuk menghantar anggota ke lokasi kejadian itu pula, pemain memerlukan “Professionalism points” dari setiap anggota bagi memenuhi jumlah points yang ditetapkan untuk panggilan kecemasan itu. Dan setiap anggota mempunyai Professionalism points yang berbeza, points yang tinggi datang dari anggota yang berdisiplin dan points yang rendah datang dari anggota bermasalah. Lebih tinggi points, lebih kurang untuk pemain menghantar ramai anggota ke tempat kejadian. Ini sangat membantu jika pada hari itu pemain menerima banyak panggilan kecemasan.

Tiba di lokasi kejadian, pemain diberikan kenyataan mengenai tindakan yang dilakukan oleh penjenayah dan pemain perlu memilih tiga tindakan berbeza yang mana akan dilaksanakan oleh anggota polis yang dipilih. Jika pemain berjaya menyelesaikannya, professionalism points akan dinaikkan kepada anggota yang terlibat di lokasi dan juga upgrade points yang mana pemain boleh upgrade enam kebolehan yang ada pada setiap anggota polis iaitu Strength, Intelligence, Speed, Stealth, Shooting dan Negotiation. Pemain hanya boleh upgrade salah satu daripada enam ini untuk setiap points yang diberikan. Perks juga akan diberikan setiap kali salah satu dari enam kebolehan ini di-upgrade.

Terdapat juga side missions disediakan seperti Investigation cases di mana pemain perlu menggunakan skill detektif untuk menyelesaikan kes tersebut. Tiga orang anggota dengan skill Intelligence tinggi boleh dihantar pada setiap hari untuk mencari petunjuk-petunjuk baru berkaitan kes yang dijalankan.

Satu lagi side missions yang disediakan adalah membantu menyelesaikan masalah penduduk tempatan, ini banyak melibatkan kerja-kerja di luar “bidang polis”. Jika pemain berjaya menyelesaikan masalah mereka, pemain akan menerima ganjaran seperti wang, items dan lebih baik menjalinkan hubungan baik dengan orang-orang di situ. Mereka akan lebih terbuka untuk menjual items penting kepada pemain dan menyediakan perkhidmatan kepada anggota polis. Misi ini dapat diselesaikan jika pemain mempunyai anggota polis dengan tahap ‘loyalty’ yang tinggi kepada pemain.

Wang sangat penting dalam game ini kerana setiap minggu pada hari Sabtu, pemain perlu membayar wang sebanyak $20,000 kepada seorang individu untuk mengelakkan pemain daripada ditangkap oleh agen persekutuan. Gagal bayar, game over.

Tapi jangan risau, korang boleh load semula game sehari atau seminggu awal dari tarikh pembayaran sehingga korang dapat cukup $20,000 kerana walaupun Jack Boyd membantu menguruskan balai polis Sharpwood, dia tidak dibayar dengan wang. Dia dibayar dengan pembuka tin minuman? Pelik. Jumlah pembuka tin minuman akan diberikan berdasarkan kepada berapa banyak kes yang dapat diselesaikan pada hari itu. Gagal menyelesaikan beberapa kes akan ditolak markah. Pembuka tin minuman itu boleh digunakan untuk membeli kelengkapan polis dan mengambil anggota polis baru.

Tactical mission ialah kes berprofil tinggi yang melibatkan situasi berkaitan terrorist, hostage rescue dan bomb defuse yang mana pemain diberikan masa selama tiga atau empat hari untuk merancang strategi, mengumpulkan maklumat dari saksi-saksi di tempat kejadian dan memilih anggota-anggota polis yang sesuai dengan situasi taktikal. Di sini, gameplay akan berubah seperti gameplay dari game X-COM: Enemy Unknown. Perks memainkan peranan yang penting dalam misi ini, terdapat lebih dari 24 perks disediakan seperti kebolehan untuk mengelak tembakan, membuka kunci pintu secara senyap dan banyak lagi.

Apa yang membuatkan game ini mencabar adalah sikap sesetengah anggota polis yang bermasalah yang memang menguji tahap kesabaran pemain. Sebagai contoh, pemain telah memilih beberapa anggota polis yang akan ditugaskan pada esok hari. Namun, pada hari tersebut, empat orang anggota tidak hadir bertugas tanpa ada sebab, lantas ia menyebabkan pemain perlu membuat perubahan drastik dari segi strategi pengurusan kerana kekurangan anggota untuk menyelesaikan kes-kes jenayah.

Kadang-kadang semasa sedang bertugas juga, sesetengah anggota enggan untuk menjalankan tugas atas sebab alasan malas, degil dan macam-macam lagi. Anggota-anggota polis tidak boleh bekerja sepanjang hari, pemain perlu memberikan mereka cuti, namun akan ada di antara mereka yang bercuti lebih dari hari yang ditetapkan.

Ketagihan alkohol dan dadah dalam kalangan anggota polis juga mendatangkan masalah besar kepada pemain. Mereka lebih cenderung untuk tercedera semasa bertugas, jika tercedera, mereka akan terlantar di hospital selama lebih dari satu hari. Lebih teruk, jika mereka mati semasa bertugas, pemain perlu memberikan wang untuk upacara pengebumian. Keluarga si mati juga kadangkala akan meminta wang pampasan daripada pemain. Oh ya nak lagi best, korang kena cari anggota baru untuk gantikan tempatnya.

Pendapat penulis, gameplay-nya menarik pada permulaan, namun apabila berada di pertengahan gameplay-nya mula menjadi agak repetitive dan kurangnya Tactical missions kerana bahagian itu yang membuatkan game ini menyerlah. Korang akan habiskan lebih banyak masa menyelesaikan kes-kes dari panggilan kecemasan setiap hari.

Professionalism points yang diberikan kepada anggota polis juga agak sedikit dan tidak seimbang dengan jumlah points yang diperlukan untuk satu panggilan kecemasan kerana semakin lama korang bermain, jumlah points yang diperlukan untuk satu kes akan meningkat sehingga boleh mencapai lebih daripada 2000 Professionalism points.

Muzik, efek bunyi dan lakonan suara

Muzik This Is The Police 2 banyak menggabungkan genre seperti Jazz, Synthwave, Rock, Instrumental dan banyak lagi. Setiap satu darinya dapat memenuhi ruang persekitaran di bandar Sharpwood terutama sekali bagi muzik Jazz yang dapat membangkitkan noir feeling dari game ini. Muzik kegemaran penulis dalam game ini sememangnya apa sahaja yang berkaitan dengan Jazz dan juga muzik dari Tactical mission, runut bunyinya dapat melahirkan perasaan antara hidup dan mati seperti ia memberikan amaran kepada penulis agar berwaspada kepada keadaan sekeliling.

Efek bunyi seperti bunyi siren dan panggilan radio sememangnya spot on seakan-akan pemain memang berada di bandar itu menyaksikan kereta polis bergegas ke lokasi kejadian. Bunyi-bunyi lain seperti tembakan dan lain-lain berfungsi dengan baik dan tiada cacat cela.

Oleh sebab game ini kurang (atau tidak) menggunakan animasi ekspresi muka, ia sangat bergantung kepada penggunaan lakonan suara. Dan penyampaian suara dari setiap pelakon suara sememangnya tidak mengecewakan terutama sekali bagi watak Jack Boyd yang disuarakan oleh Jon St. John (Duke Nukem). Pelakon suara yang lain juga tidak menghampakan dan turut memberikan persembahan mereka dengan baik. Sampai sekarang suara Charlie tu sangat menjengkelkan kepada penulis.

Animasi dan grafik

Game ini menggunakan cut scenes komik ala-ala seperti Max Payne, tapi dengan gaya dan seni tersendiri. Kebanyakan cut scenes bergerak dalam animasi 2D. Terdapat dua atau tiga sahaja cut scenes yang menggunakan animasi 3D dengan pergerakan penuh tapi masih mengekalkan style yang sama iaitu lukisan 2D.

Artstyle dari game ini sememangnya menarik perhatian penulis, ia bagaikan lukisan dari berus yang dihasilkan dengan cantik. Setiap karakter yang tidak berwajah menambahkan lagi misteri. Oleh sebab itu, pemain perlu bergantung kepada pendengaran untuk mendengar nada atau ton suara yang keluar dari bibir karakter untuk mengetahui dia sedang marah, sedih dan sebagainya.

This Is The Police 2 BOLEH BELI or BOLEH BLAH

This Is The Police 2 adalah sebuah game yang mengajar pemain tentang bagaimana cara untuk menguruskan sebuah balai polis dan tugasnya bukan mudah. Banyak tugasan yang perlu dilakukan yang mana pemain bukan sahaja perlu menangkap penjenayah, tetapi juga perlu menjaga hubungan antara para pekerja dan penduduk tempatan dengan pemain. Ia akan dapat membantu Jack Boyd daripada ditangkap oleh agen persekutuan. Kalau korang memang minat game yang berkaitan dengan real-time management dan turn-based strategy game, korang boleh main game ini.

+ Lakonan suara yang bagus
+ Soundtrack yang menarik
+ Artsyle yang cantik
+ Tactical missions yang best

 Gameplay yang agak repetitive terutama sekali bagi tugasan harian
 Plot yang kuat di permulaan, hampir hilang konsisten di pertengahan dan penghujung

Written by Danial DaxZuher

Seorang penulis yang suka bermain game menembak, membaca novel aksi, mendengar lagu OST video games dan movies serta mencipta cerita pendek.

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Assassin’s Creed Baru Tidak Akan Dikeluarkan Pada Tahun 2019, Ubisoft Sahkan

“Kami Tak Janjikan Pingat Emas, Tapi Janji Akan Bermain Seperti Yang Inginkannya” – Pemain Esports Malaysia Ke Sukan Asia Indonesia