Bulan lalu, CD Projekt Red telah menunda pelancaran The Witcher 3: Wild Hunt versi konsol generasi terkini yang pada asalnya dijadualkan dilancarkan pada suku kedua 2022 ke suatu tarikh yang masih belum mereka putuskan.
Terkini, mereka telah mengumumkan yang The Witcher 3 versi sebenar PS5 dan Xbox Series akan dilancarkan pada suku keempat tahun 2022. Walaupun tiada lagi tarikh tepat, namun sekurang-kurangnya waktu pelancaran itu telah dikecilkan.
Bersama-sama dengan pengumuman ini, Pengurus Komuniti Global CDPR, Marcin Momot telah mendedahkan senarai kandungan yang bakal ditampilkan dalam versi akan datang itu: kedua-dua expansion (Hearts of Stone dan Blood and Wine), kesemua DLC dan kemaskini percuma lain, serta sebuah DLC yang diinspirasikan daripada siri The Witcher terbitan Netflix.
Untuk pemilik sedia ada The Witcher 3 di PS4 dan Xbox One, mereka akan mendapat naiktaraf percuma kepada versi PS5 dan Xbox Series.
Bulan lalu, CDPR mendedahkan mereka telah mengambil kembali tugas pembangunan versi terbaharu itu. Maksudnya, baki pembangunan, yang sebelum ini ditugaskan kepada Saber Interactive, akan diteruskan oleh pasukan pembangun dalaman CDPR sendiri.
Walau bagaimanapun, CDPR tidak menyatakan apakah sebab mereka menghentikan tugasan yang dipikul Saber Interactive itu. Sebelum ini, Saber Interactive juga merupakan studio yang ditugaskan untuk membawa The Witcher 3 ke platform Nintendo Switch.
Comments
Loading…