in , , ,

The Witcher Netflix: Gandingan Mantap Geralt Dan Yennefer Yang Mengejutkan

Pada 20 Disember yang lepas, Netflix buat julung kalinya telah memulakan penstriman siri televisyen adaptasi yang dinantikan ramai pada tahun ini, iaitu The Witcher.

Seperti kita tahu, The Witcher merupakan sebuah fantasi-fiksyen di zaman pertengahan, berasal dari siri novel yang dicipta dan ditulis oleh Andrzej Sapkowski. Francais ini menjadi bertambah fenomena global melalui adaptasi video game yang dibangunkan oleh CD Projekt Red, terutamanya melalui The Witcher 3: Wild Hunt yang dilancarkan pada 2015 untuk PC, PS4 dan Xbox One. Pada tahun 2019, ia dilancarkan pula ke Nintendo Switch.

Untuk pengetahuan korang yang tidak tahu, adaptasi di Netflix ini bukanlah adapatasi dari video game, tetapi diadaptasi terus dari novelnya (juga terdapat sedikit perubahan di sana sini bagi menyesuaikan dengan jalan cerita siri televisyen).

Maka, jom kita tengok, apakah yang menarik dan kurang baik tentang siri adaptasi televisyen ini.

Pemilihan Pelakon

Secara keseluruhan, pemilihan pelakon (casting) untuk siri tv ini adalah sangat tepat. terutamanya kepada watak-watak utama seperti Geralt, Yennefer, Calanthe dan Renfri. Pelakon-pelakon ini mempersembahkan lakonan mereka dengan cukup mengagumkan.

Pemilihan Henry Cavill sebagai Geralt sememangnya tidak mendapat bantahan kerana umum mengetahui keupayaan lakonan beliau, ditambah dengan hakikat bahawa beliau sendiri merupakan peminat tegar novel dan video game The Witcher. Penyampaian dialog-dialog ikonik Geralt seperti “Hmm” sememangnya secukup rasa, tidak lebih, tidak kurang.

Bercakap tentang Henry sebagai Geralt, penulis cukup kagum dengan koreografi pertempuran jarak dekat yang dipamerkan, permainan pedang, terutamanya dalam episod pertama ketika Geralt beradu tenaga dengan Renfri. Koreografi yang sangat sedap mata memandang. Syabas kepada pasukan koreografi siri ini.

Apabila pendedahan pelakon diumumkan, ramai yang skeptikal kepada Anya Chalotra sebagai Yennefer pada mulanya. Dalam siri tv ini, Anya telah memberikan satu tamparan hebat kepada mereka yang runsing terhadap keupayaannya membawakan karakter Yen ini, seolah-olah Yen melancarkan satu magik mengejutkan kepada para penonton. Persembahan Anya cukup memukau, terutamanya dalam beberapa episod pertama semasa Yen masih lagi mengalami kecacatan fizikal.

Apabila Geralt dan Yen mula mengenali dan mula melakukan misi bersama, kita disajikan dengan satu gandingan mantap yang pastinya ramai tidak mampu jangkakan sebelum ini. Pemilihan Henry dan Anya sebagai Geralt dan Yen adalah sangat tepat.

Untuk Freya Allan yang membawakan watak Ciri pula, tidak banyak yang boleh kita ulas tentang persembahan beliau dalam musim pertama ini kerana walaupun memegang tunjang utama kepada jalan cerita dalam siri tv ini, Ciri tidak mempunyai screen time yang banyak jika dibandingkan dengan Geralt dan Yen. Persembahannya okay-okay sajalah, tapi penulis percaya Freya akan memperlihatkan potensi lakonan sebenarnya dalam musim kedua yang telah pun diumumkan.

Walau bagaimanapun, ada juga beberapa pemilihan pelakon yang tidak tepat, seperti Triss dan Fringilla yang sedikit merencatkan pemandangan penulis. Walaupun kehadiran karakter-karakter ini hanyalah sampingan, tapi ia tetap terasa kurang memuaskan.

Jalan Cerita

Secara keseluruhan, jalan cerita yang ditampilkan dalam musim pertama ini tidaklah terlalu “wow”, tapi ia cukup seimbang dalam memperkenalkan dunia The Witcher kepada penonton umum.

Menceritakan ketiga-tiga watak secara berasingan terlebih dahulu dalam musim pertama adalah satu penulisan yang pada pandangan penulis adalah sesuatu yang bijak. Siri ini membawakan sebuah jalan cerita yang memperkenalkan siapakah Geralt, Yen dan Ciri sebelum perjalanan hidup mereka bertemu antara satu sama lain.

Satu musim yang menceritakan backstory kepada ketiga-tiga watak ini merupakan satu batu asas yang cukup kuat untuk masuk ke musim yang lebih berat dalam musim kedua kelak. Dan penamat musim pertama membuatkan penonton sungguh tidak sabar menantikan apakah yang bakal terjadi kepada mereka ini kerana pengembaraan sebenar mereka hanya baru bermula.

Garis Masa

Daripada pemerhatian penulis terhadap reaksi para penonton terhadap cara penyampaian jalan cerita, para penonton berbelah bahagi. Ada yang mengatakan ia agak mengelirukan, ada pula yang memuji.

Dalam beberapa episod pertama, siri tv ini membahagikan garis masa (timeline) cerita kepada tiga — iaitu jalan cerita yang fokus kepada Ciri (masakini), Yen (garis masa lain) dan Geralt (satu garis masa lain lagi). Apa yang membuatkan sesetengah penonton ini terkeliru adalah disebabkan tiada sub-tajuk di skrin yang menyatakan secara jelas bilakah tahun-tahun yang sedang berlaku di setiap babak. Transisi antara satu garis masa dengan garis masa lain berselang-seli yang ringkas membuatkan seolah-olah kesemua watak ini berada dalam satu garis masa yang sama.

Pada hemat penulis, memecahkan jalan cerita kepada tiga garis masa tanpa memberitahukan kepada para penonton secara terang-terangan merupakan satu pendekatan yang agak unik, menarik dan mencabar, sekaligus membuatkan penonton akan merasa lebih tertanya-tanya semasa menonton. Ia akan membuat penonton berfikir, dan memberikan pandangan masing-masing dalam menjelaskan apakah sebenarnya yang tersurat dan tersirat.

Pada mulanya memang penulis sendiri merasakan sedikit terkeliru. Namun, setelah beberapa watak yang sama berlainan usia muncul dalam dua garis masa berbeza, maka itu sudah mula menjadi penangkap kepada apa yang siri ini cuba sampaikan.

Hanya dalam 2 episod terakhir, barulah ketiga-tiga watak ini bertembung dalam satu garis masa. Dan pada ketika dan saat inilah jalan ceritanya menjadi semakin hangat, seterusnya ia ditamatkan dengan babak tergantung yang cukup baik.

CGI

Kesan CGI yang ditampilkan dalam siri ini merupakan antara perkara besar yang sedikit merencatkan kesempurnaannya. Boleh dilihat dengan jelas bagaimana musim pertama ini, pihak produksi tidak diberikan bajet yang mencukupi untuk membikin CGI yang berkualiti, terutamanya apabila melihat babak kehadiran raksasa-raksasa mistik dan magik-magik yang digunakan oleh para Mage.

Walau bagaimanapun, penulis yakin, dalam musim-musim mendatang, apabila bilangan penonton semakin bertambah dan mendapat suntikan bajet yang lebih memberangsangkan, pastinya kualiti CGI akan ditambah baik.

Kesimpulan

Musim pertama The Witcher di Netflix boleh disimpulkan sebagai satu musim yang sungguh baik dalam memperkenalkan apakah itu dunia The Witcher kepada para penonton umum yang mungkin tidak pernah membaca bukunya atau bermain video game.

Masih banyak yang boleh diperbaiki, tetapi ia telah meletakkan satu asas yang cukup kuat kepada pengembaraan Geralt, Yen dan Ciri dalam musim-musim mendatang.

Written by Faiz Tobeng

Abang Youtuber ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES.

Comments

JomKomen!

Loading…

0
Knives Out: Game Battle Royale Mobile Ini Akan Ke PlayStation 5?

Knives Out: Game Battle Royale Mobile Ini Akan Ke PlayStation 5?

Game VR Dan AR Lebih Menarik Minat Olimpik Kerana Gunakan Lebih Pergerakan Fizikal