Sama ada ia memberi impak baik atau sebaliknya, ia merupakan minggu-minggu yang cukup sibuk untuk pembangunan The Last of Us Part II.
Dan terkini, Naughty Dog telah mengumumkan bahawa game sekuel yang sangat dinantikan itu telahpun siap sepenuhnya dan sudah bersedia untuk dilancarkan.
Lengkapnya pembangunan ini diumumkan oleh studio itu melalui satu video yang menampilkan pengarah dan penulis game tersebut, Neil Druckmann.
Mesej utama yang ingin disampaikan beliau melalui video ini ialah mengingatkan para peminat untuk terus yakin kepada The Last of Us Part II. Druckmann menegaskan apa sahaja yang telah kita dengar atau baca tentang spoiler yang telah tertiris, itu semua tidak mampu dibandingkan dengan apa yang kita akan alami semasa bermain game ini dari mula hingga tamat.
Korang boleh dengarkannya di bawah:
Ini pastinya salah satu damage control yang sedang dilakukan Naughty Dog bagi menenangkan keadaan sesetengah peminat yang kecewa dengan plot cerita game ini selepas membaca spoiler yang tertiris itu. Video yang menampilkan Druckmann ini juga mendapat dislike yang banyak di Youtube. Semasa artikel ini ditulis, nisbah video ini adalah sama, iaitu ia mendapat 11 ribu like dan 11 ribu dislike.
Bagi yang tidak tahu, spoiler besar The Last of Us Part II telah tertiris minggu lalu. Sony telah mengesahkan bahawa individu yang meniriskannya tiada kaitan rasmi dengan game, dan ada laporan mengatakan yang ia ditiriskan oleh penggodam.
The Last of Us Part II akan dilancarkan pada 19 Jun ini, eksklusif untuk PS4.
Comments
Loading…