Ketika The Last of Us dikeluarkan pada tahun 2013, Naughty Dog sudahpun mencipta nama yang gah melalui francais Uncharted. Namun, game pertama bergenre pasca-apokalips itu telah meletakkan studio tersebut ke satu tahap yang jauh lebih tinggi.

Setelah tujuh tahun selepas pelancaran The Last of Us, serta kira-kira empat tahun selepas pendedahan umum pertama sekuelnya, The Last of Us Part II akhirnya dilancarkan sepenuhnya.

JomGaming telah diberikan peluang untuk bermain lebih awal oleh pihak Sony untuk memberikan reviu kepada para pembaca JomGaming. Tanpa melengah masa, ini adalah reviu kami — jangan risau kerana tiada sebarang spoiler dalam artikel ini.

Bukan Yang Kita Inginkan

Kekuatan utama dalam game pertama The Last of Us adalah penceritaannya. Sebagai sekuel, Part II mempunyai tugas yang berat dari segi penceritaan setelah apa yang mereka sajikan dalam game pertama.

Penulis boleh simpulkan jalan cerita Part II sebagai sebuah kisah yang bukan seperti para pemain idam-idamkan, tetapi sebuah perjalanan realistik yang perlu ditempuhi oleh karakter-karakter ini dalam dunia pasca-apokalips.

Penulis boleh janji bahawa kebanyakan para peminat game pertama, apabila bermain sekuel ini, akan mengalami satu perasaan yang agak kecewa pada satu-satu ketika. Hal ini disebabkan mesej yang cuba disampaikan dalam game pertama dan sekuelnya adalah jauh berbeza. Penulis tidak berani untuk katakan yang ia akan memuaskan semua pemain, tetapi, ya, ia cukup berbeza.

Untuk game pertama, kita boleh simpulkan sebagai sebuah game yang menekankan hubungan Joel dan Ellie yang amat istimewa. Ellie boleh dikatakan penyeri kepada kehidupan sepi Joel yang telah kehilangan anak perempuannya, Sarah beberapa tahun lalu. Ellie memberikan sinar harapan kepada Joel untuk meneruskan kehidupan pasca-apokalips yang penuh kegelapan.

Bersama-sama dengan usia Ellie yang semakin membesar, mesej yang cuba disampaikan dalam Part II juga telah berkembang. Dalam sekuel ini, hubungan antara Joel dan Ellie masih lagi menjadi tiang utama kepada jalan ceritanya, tetapi diperkukuhkan lagi dengan tema baharu yang lebih matang dan realistik.

Dendam Tak Sudah

Part II membawakan tema penceritaan tentang apakah impaknya sekiranya terus menyuap hati dan nafsu kita dengan sifat dendam. Part II adalah sebuah kisah yang mengingatkan kita tentang betapa buruknya satu-satu sifat keji yang sentiasa mengaburi mata manusia, iaitu dendam.

Dendam tak sudah. Itulah apa yang penulis dapat simpulkan setelah habis bermain game ini. Rantaian dendam itu tidak akan putus sekiranya tiada manusia yang terlibat dalam rantaian itu sendiri yang menghentikannya. A berdendam dengan B, selepas A membalas dendam terhadap B, kawan B akan berdendam dengan A, kawan B membalas dendam terhadap A, kawan A akan membalas dendam terhadap kawan B — begitulah seterusnya sehingga dunia berakhir sekiranya tiada seorang pun yang membenamkan dendam itu daripada terus menguasai diri.

Keperitan Hidup

Naughty Dog cuba meletakkan diri pemain ke dalam perasaan Ellie. Ini mungkin satu frasa yang agak klise, tetapi Naughty Dog telah berjaya melakukannya dengan begitu bagus.

Dari awal sehingga ke saat akhir game ini, kita telah dimasukkan ke dalam emosi Ellie. Part II telah memaksa kita untuk merasa bagaimana seksa dan rumitnya untuk hidup dalam pasca-apokalips yang sungguh memeritkan ini.  Ellie, seorang manusia yang hanya hidup selepas dunia menjadi huru-hara dek “Outbreak” yang memusnahkan dunia, terpaksa melalui sebuah kehidupan yang sebenarnya beliau tidak mampu untuk tempuhi. Ellie, walaupun kelihatan seperti seorang yang cukup kuat, tetapi mempunyai emosi dan perasaannya juga seperti manusia lain.

Hitam dan Putih

Part II bukan sebuah game yang akan membuatkan korang selesa sambil tersenyum apabila bermain. Ia bukan sebuah kisah dongeng yang sering kita impi-impikan — dalam erti kata lain, kalau korang benar-benar hidup dalam dunia The Last of Us yang tidak menentu, inilah yang korang akan lalui.

Game ini bukan sahaja akan menyeksa karakter-karakter yang ada dalamnya, tetapi akan turut “menyeksa” para pemain dengan naratif penceritaan yang sangat kompleks lagi merumitkan.

Naughty Dog akan memerahkan otak para pemain berfikir tentang apa sebenarnya yang didefinisikan sebagai sesuatu yang bermoral atau tidak bermoral. Dalam sekuel ini, tiada perbuatan yang dimaksudkan dengan baik atau jahat, apa itu garis “hitam” atau garis “putih” — yang ada hanyalah garis “kelabu” yang berada di tengah-tengah antaranya — kerana setiap keputusan yang diambil dalam game ini mempunyai sebab dan naratifnya yang tersendiri.

Part II akan membuka mata para pemain, menyedarkan kita semua bagaimana sesebuah tindakan itu pasti ada kisahnya yang jauh lebih mendalam daripada apa yang kita lihat dari luaran sahaja. 5, 10 atau 20 tahun akan datang, para pemain akan tetapi berdiskusi tentang setiap langkah yang diambil Ellie — betul atau salah?

Segalanya Lebih Besar

Jika dibandingkan dengan game pertama, segala aspek dalam Part II adalah lebih besar. Selain jalan ceritanya yang lebih panjang dan mendalam, gameplay pertarungan, customization, keluasan level design, kesukaran puzzle, jenis-jenis zombi, bilangan Factions — semuanya diperkemas dan dikembang-luaskan lagi.

Sekiranya korang sukakan gameplay yang ada dalam game pertama, sekuel ini akan menjadikan korang lebih “ketagih”. Gameplay pertarungan menjadi semakin mendalam dan lebih banyak perlu dipelajari.

Part II tidak lagi seperti game pertama yang hanya perlu spam satu butang sahaja apabila bertarung secara jarak dekat (melee). Kini, musuh, sama ada manusia dari bermacam Factions atau zombi, semuanya semakin “bijak”.

Satu mekanisme baharu yang penting telah dibawa masuk, iaitu butang mengelak (dodge). Mekanisme ini membuatkan pemain perlu memikirkan apakah jenis musuh yang sedang ditempur kerana setiap musuh mempunyai pattern yang berlainan ketika bertarung. Pemain perlu menekan butang dodge mengikut timing serangan musuh, dan sekiranya tersalah langkah, padah menanti.

Itu belum lagi variasi senjata api, bom, dan perangkap yang lebih banyak dalam game ini. Semuanya menjadikan gameplay pertarungannya, sama ada jarak dekat atau jarak jauh, bertambah unik bergantung kepada cara masing-masing untuk menumbangkan musuh.

Customization Pilihan Sendiri

Part II menyajikan customization terhadap Ellie dengan lebih mendalam. Pemain diberikan lebih banyak pilihan untuk “mengubahsuai” Ellie yang bagaimana mengikut citarasa gameplay masing-masing.

Sekiranya gemarkan pertarungan yang huru-hara dan kekacauan, pemain boleh tingkatkan damage senjata api, kestabilan ketika aiming, kekuatan ketika bertarung jarak dekat dan lain-lain. Seandainya ingin menggunakan cara yang lebih senyap atau stealth, pemain boleh tingkatkan keupayaan dalam Listen Mode, memperkemas pergerakan semasa menunduk dan macam-macam lagi.

Lebih Brutal, Lebih Seram

Kalaulah korang sudah “terkucil” ketika bermain game pertama, bersedialah untuk merasainya di tahap yang lebih tinggi dalam game ini. Ia semakin bersifat peribadi.

Seperti yang penulis katakan tadi, Naughty Dog cuba membawakan mesej tentang bagaimana terseksanya manusia yang hidup dalam dunia pasca-apokalips yang cacamarba ini. Ia bukan diperlihatkan dalam cutscene sinematiknya sahaja, malah turut dizahirkan dalam gameplaynya.

Setiap tikaman yang ditusukkan ke musuh akan mengeluarkan darah yang memancut. Setiap perjalanan yang dilalui di dalam bangunan yang penuh zombi membenamkan pemain ke dalam dunia yang seram. Bersedia untuk momen-momen “jumpscare”. Semua ini memaparkan bagaimana rumitnya untuk meneruskan kehidupan dalam dunia ini. Ya semua ini ada dalam game pertama, tetapi ia diperkemaskan lagi dengan kekejaman dan keseraman yang jauh lebih tinggi.

Bertambah Menyirap

Bayangkanlah, kita akan masuk ke dalam bangunan yang gelap gelita, penuh dengan zombi. Dan tidak semena-mena, lampu suluh Ellie akan berkelip-kelip dan akhirnya terpadam. Apa yang perlu dilakukan pemain adalah menggoncang dan mengetuk controller DualShock 4 untuk menghidupkannya semula. Menggelupur kita dibuatnya.

Paling menakutkan pada pandangan penulis ialah satu jenis zombi ini yang digelar Stalker. Perbezaan ketara Stalker ini dengan zombi-zombi lain ialah pemain tidak akan dapat kesan di mana Stalker ini berada walaupun dalam Listen Mode. Stalker ini lincah berlari pantas dan secara tiba-tiba akan menyelinap di belakang Ellie dan melakukan serangan mengejut.

Lebih memanaskan hati apabila Stalker ini hanya mencakar atau menggigit secara sedikit-sedikit. Dia cakar sekali dua, dan apabila kita dah bersedia nak mengeluarkan senapang atau parang untuk menyerang balas, dia pun masuk semula dalam kegelapan dan menghilangkan diri tanpa dapat dikesan. Begitulah diulang-ulang sehingga kita lebih pantas untuk membunuhnya sebelum dia kembali bersembunyi.

Itu belum dikira lagi zombi bersaiz besar yang keganasannya seumpama makhluk dalam siri televisyen Stranger Things. Memang menyumpah-nyumpah apabila ingin menewaskannya.

Agenda LGBT

Naughty Dog cukup dikenali sebagai sebuah studio yang begitu lantang memperjuangkan agenda LGBT. Malah mereka cukup berani memperlihatkan elemen ini dalam trailer lagi.

Sekiranya korang hanya bermain game pertama tanpa menyambung DLC Left Behind, mungkin korang tidak akan tahu Ellie merupakan seorang yang cenderung kepada hubungan sejenis. Dalam sekuel ini, elemen itu telah digunakan dengan lebih mendalam. Malah bukan Ellie sahaja, ada juga beberapa karakter sampingan lain yang condong ke arah LGBT turut diangkat dengan begitu tinggi.

Sebagai sebuah naskhah barat yang menyokong budaya-budaya songsang seperti ini, semestinya ia bukan satu elemen yang mengejutkan. Penulis sendiri pernah menonton beberapa filem dan siri TV dari barat yang mempunyai agenda seperti ini, namun pada pandangan penulis agenda dalam The Last of Us Part II tidak terlalu kuat seperti naskhah-naskhah lain.

Bukan ingin menghalalkan apa yang Naughty Dog cuba selitkan dalam sekuel ini, cuma penulis ingin menyatakan bahawa tema agenda LGBT dalam game ini masih tidak mengatasi dua tema utamanya — iaitu tema hubungan Joel-Ellie dan tema dendam.

Sedikit Meleret

Naughty Dog ada menyatakan yang Part II merupakan game paling bercita-cita tinggi mereka (most ambitious), dan ya setelah menghabiskannya, penulis akui bahawa game ini sangat panjang. Penulis memerlukan kira-kira 30 jam untuk menghabiskan game ini dalam difficulty “Moderate” (tahap ketiga daripada lima difficulty yang ada).

Penulis mengalami banyak momen di mana penulis berkata, “Oh ini dah endgame, macam ini game ini habis rupanya, okay boleh sambung Part 3 pula…”. Tapi tidak, game ini belum habis dan sambung, dan sambung lagi dengan lebih panjang.

Walau bagaimanapun, ada beberapa babak yang penulis rasakan sedikit meleret atau “draggy” yang penulis rasakan penulis tidak mahu tahu tentang kisah ini, tetapi Naughty Dog tetap menyuapkan kisah sampingan ini, lebih-lebih lagi ia sebenarnya adalah agenda untuk menormalisasikan dan memurnikan sesuatu tindakan LGBT seterusnya berhajat untuk mewujudkan simpati kepada golongan ini.

Muzik Kurang Sengat

Entah kenapa, Part II menyajikan soundtrack dan skor muzik yang kurang menyegat berbanding game pertama walaupun menggunakan komposer yang sama, iaitu Gustavo Santaolalla. Ini sesuatu yang mengejutkan kepada penulis.

Sehingga hari ini, penulis sekali-sekala akan memainkan OST-OST dari game pertama The Last of Us di Spotify kerana muziknya cukup memberikan kesan mendalam. Namun, tidak dalam Part II.

Ya, dalam sekuel ini, Joel dan Ellie ada menyanyikan lagu ‘Future Days’ nyanyian asal Pearl Jam, tapi itu sajalah muzik yang boleh diingati dalam game ini. Tiada yang benar-benar tersemat dalam memori.

Malah, nyanyian Ellie untuk lagu ‘Through The Valley’ ketika trailer pendedahan pertama The Last of Us Part II pada 2016 itu juga tidak ditampilkan dalam game ini. Bermakna, persembahan itu hanya digunakan untuk promosi dalam trailer sahaja bagi memberitahu tema dendam yang bakal ada dalam game ini.

The Last of Us Part II – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Bermain Part II adalah seperti menaiki roller coaster yang lengkap dengan pelbagai rencah yang sangat baik untuk sesebuah game AAA masakini. Ia mampu membuatkan pemain sebak, bermain dengan turun naiknya emosi, merasa marah dan tidak selesa, puas dengan gameplay, babak penuh aksi mendebarkan, grafik yang memukau serta seribu satu lagi rasa yang ada dalam game ini.

Jalan cerita yang disajikan dalam Part II, pada pandangan penulis, tidaklah sebagus apa yang dibawakan dalam game pertama, namun ia juga tidaklah seteruk seperti yang ditiriskan dalam spoiler itu. Part II tetap mempunyai kekuataan melalui naratif dan mesejnya tersendiri.

Ya, penulis pasti game ini bakal mewujudkan dua kem peminat yang berpecah belah, sama seperti yang Naughty Dog pernah katakan. Namun, penulis tidak nafikan yang sekuel ini mempunyai mesejnya cukup kuat bagi menceritakan situasi sebenar sekiranya pasca-apokalips benar-benar berlaku.

Penulis seboleh-boleh tidak mahu membincangkan dalam artikel ini mengenai spoiler yang telah tertiris sebelum ini. Namun, apabila Naughty Dog sendiri telah mendedahkan info tertiris itu tidak menyebut langsung penamat (ending) sebenar Part II, penulis yang sudah menghabiskan game ini boleh mengesahkan perkara itu.

Penulis sendiri tidak dapat elak untuk membaca spoiler itu sebelum ini kerana ingin tahu benar mengapa mereka yang sudah membacanya begitu marah. Ketika telah membacanya (dan belum menghabiskan game ini lagi), penulis juga menjadi marah dan skeptikal terhadap Naughty Dog. Namun, percayalah, penamatnya indah atau lebih kepada ‘bittersweet’ berbanding spoiler yang telah tertiris itu, sekurang-kurangnya indah di mata penulis.

Ini bukan soal menghalalkan agenda LGBT studio tersebut, tetapi seperti yang penulis katakan di atas, tema hubungan istimewa Joel dan Ellie serta pengajaran dan trauma yang terpaksa dilalui daripada sifat dendam yang tidak berkesudahan itu jauh lebih mengatasi daripada tema agenda songsang mereka itu. Makna kata, sekiranya agenda LGBT itu tidak diselitkan dalam sekuel ini, jalan cerita Part II tetap akan berdiri kukuh dengan sendirinya kerana jalan cerita utamanya masih lagi tentang betapa sayangnya Ellie kepada Joel.

Ia semestinya sebuah game yang BOLEH BELI untuk mereka yang telah bermain game pertama kerana walaupun ia tidak sesempurna mana, tetapi satu kisah yang matang dan realistik dalam dunia pasca-apokalips ini.

Namun, sekiranya korang tidak mampu untuk menghadam sedikit pun agenda LGBT yang mereka cuba selitkan, maka game ini BOLEH BLAH untuk korang, maka tinggalkanlah.

+ Penceritaan yang matang dan realistik
+ Pengajaran soal dendam tak sudah
+ Memperlihatkan kekuatan Ellie meneruskan hidup
+ Mencipta “garis kelabu” dalam dunia pasca-apokalips
+ “Menyeksa” pemain dengan cara berbeza
+ Lebih luas dan mendalam dari segala aspek
+ Lebih brutal, lebih seram
+ Gameplay yang puas
+ Customization lebih mendalam
+ Penuh aksi mendebarkan
+ Grafik memukau

Agenda LGBT yang kuat
Beberapa babak sedikit meleret
OST dan skor muzik kurang sengat

JomKomen!