in , ,

The Last of Us Part I: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Apabila sebut saja tentang ‘remake’, apa perkara pertama yang terlintas dalam fikiran korang?

Kita tentunya akan terbayang tentang sebuah game yang membawakan grafik dan beberapa ciri moden lain, dalam masa sama mengekalkan perkara-perkara asas dari game asal seperti jalan ceritanya.

Maka, secara keseluruhan, itulah apa yang penulis boleh simpulkan dalam remake untuk The Last of Us ini. Tak lebih dan tak kurang.

Naughty Dog menyajikan bermacam ciri dan fungsi yang khas untuk PS5 ke dalam remake ini. Tapi, berbaloikah untuk mendapatkan game ini dengan harga sebegitu rupa, dalam situasi kita sudah pun bermain game asalnya?

Jom kita ikuti ulasan ini.

Remake Atau Remastered?

Pada Jun lalu, Sony dan Naughty Dog telah mengumumkan remake untuk game pertama The Last of Us yang dilancarkan pada 2013. Judul rasmi yang digunakan ialah The Last of Us Part I, menggunakan format yang sama dengan sekuelnya, The Last of Us Part II.

Sejak hari pertama pengumuman lagi, Naughty Dog menyatakan dengan begitu jelas bahawa game ini merupakan sebuah remake yang dibangunkan sepenuhnya dari kosong (ground-up). Secara tak langsung, game ini bukanlah versi remastered seperti yang mereka lakukan untuk versi PS4, yang dikenali sebagai The Last of Us Remastered.

Grafik Memukau

Naughty Dog benar-benar mengotakan janjinya dalam remake ini. Grafik yang disajikan sememangnya memukau.

Setiap wajah karakter, persekitaran sekeliling, pemandangan jauh ke hadapan, semuanya memberikan satu kepuasan terbaik yang pernah Naughty Dog berikan dalam universe The Last of Us.

Bermain dan masuk semula ke dalam dunia pasca-apokalips The Last of Us sememangnya memberikan satu perasaan nostalgia yang amat istimewa.

Penulis masih teringat bagaimana pertama kalinya menikmati game ini di zaman PS3 pada tahun 2013. Ketika itu, penulis cukup kagum dengan latar belakang dan visual yang ditampilkan. Dan dalam remake ini, Naughty Dog sekali lagi berjaya membangkitkan kekaguman itu.

Apa Ceritanya?

Jalan cerita The Last of Us Part I tentunya mempunyai jalan cerita yang seratus peratus sama dengan game asalnya. Tiada sebarang perubahan langsung.

Penulis pasti sebahagian besar pembaca JomGaming telah pun sekurang-kurangnya sekali menghabiskan The Last of Us. Tapi mungkin ada juga sesetengah pembaca yang masih belum pernah mencuba game ini.

Game ini dah pun berusia 9 tahun. Ramai yang menganggap The Last of Us sebagai antara game PlayStation terbaik pernah dihasilkan, bahkan mungkin antara game terbaik dalam sejarah. Kenapa korang masih tak pernah main?

Baiklah, untuk korang yang masih belum pernah main, ceritanya bermula begini.

Jalan cerita utama game ini bermula 20 tahun selepas dunia moden runtuh disebabkan pandemik. Wabak yang merebak ke seluruh dunia itu telah menukarkan manusia yang dijangkiti menjadi zombi, yang dipanggil Clicker.

Kita akan bermain sebagai Joel yang berusia sekitar akhir 40-an. Dalam satu situasi yang tidak dapat dielakkan, Joel telah ditugaskan untuk membawa satu ‘kargo’ ke satu destinasi. Tanpa diketahui, ‘kargo’ tersebut adalah seorang gadis remaja berusia 14 tahun bernama Ellie.

Dalam perjalanan itu, Joel dan Ellie pada mulanya tak sekepala, namun semakin lama mereka mengenali antara satu sama lain, hubungan mereka menjadi semakin rapat. Apakah sejarah hidup Joel? Siapakah Ellie? Mengapa begitu penting untuk dihantarkan ke satu destinasi dengan selamat?

Korang akan dibawa menelusuri satu perjalanan yang penuh dengan emosi dan debaran, dalam dunia pasca-apokalips Amerika yang penuh dengan zombi dan manusia-manusia kejam.

Fungsi DualSense

Penulis sudah pun bermain fungsi-fungsi controller DualSense, iaitu adaptive triggers dan haptic feedback, dalam beberapa game seperti Ghost of Tsushima Director’s Cut, Horizon Forbidden West, dan yang terbaharu The Last of Us Part I.

Bagi korang yang tidak tahu, adaptive triggers adalah fungsi di mana butang R2 dan L2 akan beradaptasi menjadi keras atau lembut untuk ditekan bergantung kepada situasi. Misalnya, dalam The Last of Us Part I ini, intensiti butang R2 akan berubah-ubah ketika memanah dan menembak bergantung kepada senjata api apa yang digunakan.

Haptic feedback pula adalah ciri gegaran (vibration) controller yang lebih terperinci. Contohnya, kalau terkena tembakan dari arah kanan, bahagian kanan controller sahaja yang akan bergegar.

Penulis berpendapat teknologi yang dibawakan ke dalam DualSense adalah sangat cool dan menakjubkan. Walau bagaimanapun, penulis secara peribadi bukanlah penggemar fungsi-fungsi ini.

Setelah mencuba teknologi ini dalam beberapa game, termasuk game remake ini, penulis selalunya akan menghidupkannya dalam beberapa minit awal untuk mencuba-cuba sahaja. Penulis mulanya akan rasa kagum dan kemudian, penulis akan mematikannya kerana kurang selesa.

Kekerasan butang R2/L2 yang bertukar-tukar terasa menyusahkan untuk ditekan. Gegaran yang kadangkala terlalu kuat pula membuatkan penulis tak selesa ketika menggenggamnya, lebih-lebih lagi dalam situasi yang memerlukan fokus sepenuhnya seperti melawan Clicker.

Berbaloikah Dengan Harganya?

Sebagai sebuah projek remake, The Last of Us Part I tentunya sebuah game yang berjaya. Apatah lagi, ia merupakan remake kepada salah satu game yang terbaik yang pernah dihasilkan.

Namun, berbaloikah untuk kita bermain semula, bersama ciri-ciri baharu, dengan harga semahal RM299? Itu baru harga Standard Edition. Belum lagi harga Deluxe Edition iaitu RM339.

Apa pun ciri baharu Naughty Dog cuba angkat dalam promosinya, The Last of Us Part I secara asasnya tetaplah game yang sama dengan game yang mereka pertama kali lancarkan pada 2013 itu.

Secara peribadi, penulis tidak akan menghabiskan RM299 untuk menikmatinya semula hanya kerana grafik yang lebih baik serta fungsi DualSense (yang penulis tak gunakan pun). The Last of Us Remastered (PS4), bahkan The Last of Us (PS3) sudah pun memiliki magis grafiknya yang tersendiri.

Walaupun secara teknikalnya, visual yang disajikan dalam remake ini jauh lebih baik, biarlah memori bermain The Last of Us dengan grafik yang asal itu menjadi kenangan yang tiada galang ganti.

Pengalaman ini samalah seperti menonton filem-filem P. Ramlee. Walau ia hanya dalam visual hitam putih, pengalaman menonton gambar yang kadangkala tidak berapa jelas itulah merupakan sebahagian daripada nikmat tontonan itu.

Tujuan Sebenar

Ketika Sony mengumumkan remake ini, soalan pertama yang terus terlintas dalam fikiran adalah: The Last of Us baru sahaja berusia 9 tahun, mengapa dah nak remake? Game-game lain selalunya mengambil sekurang-kurangnya 15 atau 20 tahun untuk di-remake.

Sony telah mengumumkan yang The Last of Us Part I ini akan dilancarkan ke PS5 pada 2 September ini, manakala ia akan turut dilancarkan ke PC pada suatu tarikh yang masih belum diumumkan.

Penulis berpendapat yang inilah tujuan sebenar mereka membangunkan The Last of Us Part I ini dari ground-up — iaitu untuk melancarkan The Last of Us buat julung kalinya ke platform PC.

Seperti yang kita semua tahu, beberapa tahun belakangan ini Sony begitu rancak melancarkan game-game mereka ke PC. Dan sudah tentu mereka merancang untuk membawakan antara game terbaik mereka ke platform tersebut.

Oleh itu, sebelum melancarkan remake ini ke PC, mereka mahu para pemain PlayStation ‘merasa’ terlebih dulu. Penulis menjangkakan impak pelancaran remake ini di PS5 tidaklah terlalu besar kerana kebanyakan daripada peminat tegar PlayStation tentunya pernah bermain game pertamanya dan pastinya akan berfikir dua kali untuk membelinya sekali lagi.

Sasaran sebenar Sony tentunya untuk menghadiahkan game ini kepada para pemain PC, dan impaknya tentu jauh lebih besar kelak.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Game ini pastinya adalah BOLEH BELI untuk pemain yang pertama kali ingin bermain The Last of Us. Tiada versi yang lebih baik untuk merasai salah satu game terbaik sepanjang zaman ini selain bermain dalam versi remake PS5 ini. Apatah lagi, DLC Left Behind turut disertakan sekali.

Peminat tegar PlayStation yang membuat koleksi dari game pertama The Last of Us (PS3) dan The Last of Us Remastered (PS4) juga semestinya tidak mahu ketinggalan untuk mengumpulkan The Last of Us Part I di PS5. Game ini tentunya BOLEH BELI untuk pemain yang sudah menjadikan tradisi bermain setiap versi The Last of Us kerana pengalaman grafik yang akan disajikan dalam remake akan memberi satu kelainan yang cukup besar.

Namun, kepada pemain kasual yang sudah pernah bermain mana-mana versi The Last of Us sebelum ini, berfikirlah panjang dulu sebelum membuat keputusan. Game ini mungkin BOLEH BLAH kerana RM299 bukanlah satu nilai yang kecil untuk sebuah game yang secara asasnya adalah sama.

+ Grafik memukau
+ Fungsi DualSense
+ Jalan cerita tetap sama
+ Ada DLC Left Behind

– Harga terlalu mahal
– Terlalu awal untuk remake

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

Leave a Reply
  1. I am a website designer. Recently, I am designing a website template about gate.io. The boss’s requirements are very strange, which makes me very difficult. I have consulted many websites, and later I discovered your blog, which is the style I hope to need. thank you very much. Would you allow me to use your blog style as a reference? thank you!

JomKomen!

Loading…

0

Pesaing FIFA Dan eFootball, UFL Ditunda Ke Tahun 2023

PlayStation Plus Umumkan Serentak Game-Game Percuma Bulanan, Game Catalogue Untuk September 2022