Selepas empat watak utama siri televisyen The Last of Us terbitan HBO diumumkan, pelakon kelima untuk satu watak yang cukup penting pula telah didedahkan.
Nico Parker telah diumumkan sebagai pelakon yang akan menghidupkan watak Sarah, iaitu anak perempuan kepada Joel, lapor Deadline.
Antara lakonan yang pernah beliau terlibat adalah dalam Dumbo (2019), The Third Day (2020) dan Reminiscence (2021).
Dua bintang Game of Thrones, Pedro Pascal dan Bella Ramsey akan kembali bersatu sekali lagi dalam siri televisyen terbitan HBO, sebagai duo yang cukup ikonik dalam The Last of Us, Joel dan Ellie. Gabriel Luna pula bakal membawakan watak Tommy, manakala pelakon Marlene dari game, Merle Dandridge akan menghidupkan watak yang sama.
Kerusi pengarah untuk episod pertama telah diisi oleh Kantemir Balagov, pembikin filem berasal dari Rusia yang cukup terkenal melalui kerjanya untuk drama yang telah memenangi banyak anugerah, Beanpole.
Penerbitan siri TV adapatasi The Last of Us ini diketuai oleh Craig Mazin — insan yang bertanggungjawab menulis dan menerbitkan siri TV Chernobyl di HBO yang mendapat pujian ramai. Beliau akan menulis jalan ceritanya bersama-sama dengan orang kuat dari Naughty Dog sendiri, Neil Druckmann.
Ia merupakan siri TV hasil kerjasama HBO dengan Sony Pictures.
Comments
Loading…