in , , ,

The Last of Us HBO Melengkapkan Lagi Kisah Dari Game Yang Sudahpun Sempurna

Apabila pertama kali aku mendengar yang game The Last of Us akan diadaptasi ke siri televisyen, soalan pertama yang terlintas dalam fikiran aku adalah:

“Bagaimana siri ini akan mampu menarik gamer untuk menontonnya sedangkan kisah yang disajikan dalam game The Last of Us sudahpun sempurna?”

Ternyata, kegusaran aku ini sudah terjawab apabila menonton episod pertama siri ini yang kini sudah boleh ditonton di HBO GO.

Pencipta dan penulis bersama siri ini, Craig Mazin dan Neil Druckmann nampaknya telah berjaya menyeimbangkan antara langkah untuk setia kepada sumber asal dan membawakan sesuatu lebih sesuai untuk tontonan televisyen.

Kita semua tahu, game dan siri televisyen merupakan dua medium yang berbeza apabila berbicara soal bagaimana sesebuah cerita itu ingin disampaikan. Siri televisyen memiliki resipinya tersendiri, manakala game juga mempunyai magisnya yang tersendiri.

Dan nampaknya, siri The Last of Us, berdasarkan episod pertama, telah berjaya mengamgumkan aku dengan adunan antara dua medium ini dengan begitu baik.

Sebagai peminat game yang dibangunkan Naughty Dog itu, aku cukup gembira apabila siri tv ini explore beberapa kisah yang tidak pernah disentuh dalam game. Mungkin purist tidak akan gemar dengan beberapa jalan cerita yang asing, namun melalui apa yang mereka tampilkan setakat ini, aku suka.

Ia membawakan beberapa plot kecil yang tiada dalam game, tetapi masih mampu membuatkan aku berkata “inilah kisah yang kita perlukan”. Maka disebabkan penambahan-penambahan butiran baharu inilah, aku berani katakan yang siri tv ini melengkapkan lagi kisah dari game asalnya yang sudahpun sempurna.

Penambahan butiran ini begitu ketara dalam babak pembukaan. Dalam tiga minit pertama, kita disajikan dengan satu perbualan yang aku tidak pernah terfikir ia dibincangkan dalam universe The Last of Us. Aku tidak mahu menyebutkannya lebih lanjut kerana spoiler, namun pada hemat aku, babak tersebut boleh dikembangkan lagi dalam siri ini untuk mengetahui asal usul fungus yang menyerang manusia itu.

Sebelum ini, pelakon watak Tommy, Gabriel Luna telah mendedahkan yang siri ini akan memberikan lebih banyak waktu kepada penonton untuk merasai kehidupan sebelum outbreak (serangan zombi). Setelah menontonnya, aku fikir penambahan ini juga lebih bermakna.

Kalau dalam game, kita hanya dapat melihat kehidupan Sarah dan Joel hanya pada separuh malam. Dalam siri tv ini pula, kita dapat saksikan kehidupan dua beranak itu dalam tempoh satu hari, dari pagi hingga ke malam. Secara tak langsung, para penonton dapat lebih mengenali Sarah dalam siri tv berbanding watak tersebut dalam game.

Bercakap soal dua pelakon utamanya, iaitu Pedro Pascal dan Bella Ramsey, aku juga merupakan antara individu yang kurang selesa dengan pemilihan mereka sebagai Joel dan Ellie. Hal ini kerana pada awalnya, aku merasakan wajah mereka ‘tidak cukup Joel dan Ellie’.

Walau bagaimanapun, perkara remeh itu telah berjaya dipadamkan melalui persembahan mereka yang cukup mantap. Pascal telah berjaya membuktikan yang beliau sememangnya pelakon tepat untuk menghidupkan watak Joel, dari kehidupan bersama Sarah, sehinggalah 20 tahun selepas itu. Ramsey pula, walaupun masih belum banyak screen time dalam episod pertama ini, namun sudah memperlihatkan beliau adalah pelakon sesuai untuk menghidupkan watak Ellie yang nakal dan suka mengusik orang itu.

Akhir kata, setakat episod pertama ini, segala kekuatan dan aura The Last of Us sememangnya dirasai dalam siri ini. Ditambah pula lagi dengan runut bunyi sama dari game, ciptaan Gustavo Santaolalla.

Walaupun setiap plot sudah aku tahu apa yang akan terjadi, ia membuatkan aku ingin menontonnya lagi dan lagi kerana sentuhan Craig Mazin dalam medium televisyen sememangnya tidak pernah mengecewakan.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

Leave a Reply
  1. Thanks for the feedback! That’s an interesting point. I suppose there are many reasons, internal and external, why we do not accomplish all that we might. Regardless, I am thankful for the Lord’s grace in that. Thanks again!

JomKomen!

Loading…

0
Hogwarts Legacy: Game Aksi RPG Dalam Dunia Harry Potter Era 1800-an

Ini Keperluan Spesifikasi PC Untuk Hogwarts Legacy, Sokongan Steam Deck Turut Hadir Pada Hari Pelancaran

Pembangun Black Myth: Wukong Akan 'Bersembunyi' Selepas Trailer Mendapat Perhatian Ramai

Black Myth: Wukong Didedahkan Akan Keluar Tahun 2024