Video game eksklusif keluaran Sony PlayStation yang berbekas di hati ramai peminat, The Last of Us akan diadaptasi ke siri TV oleh HBO, lapor The Hollywood Reporter.
Adaptasi game berlatarbelakangkan pasca-apokalips itu akan mendapat kerjasama antara Craig Mazin, penulis untuk siri mini Chernobyl di HBO, dan Neil Druckmann, orang penting dari Naughty Dog yang menjadi penulis utama untuk game asal The Last of Us serta sekuelnya yang akan dikeluarkan pada tahun ini.
Menurut laporan ini lagi, siri TV The Last of Us ini merupakan karya pertama daripada PlayStation Productions, sebuah kumpulan penerbitan filem dan TV di bawah Sony Interactive Entertainment.
Siri TV ini diumumkan sendiri oleh pihak HBO melalui satu tweet yang memaparkan video pendek simbol Fireflies, sebuah kumpulan bersifat ketenteraan dalam game The Last of Us.
Look for the light. @clmazin and @Neil_Druckmann to develop the series adaptation of #TheLastOfUs, coming soon to HBO: https://t.co/z9c2h86EYw pic.twitter.com/AkT6fET4Im
— HBO (@HBO) March 5, 2020
Mazin dan Druckmann merancang untuk menggunakan timeline atau peristiwa yang berlaku dalam game pertama The Last of Us ke dalam siri TV ini, namun terdapat kemungkinan bahawa akan ada beberapa kandungan tambahan yang akan diambil dari sekuelnya, The Last of Us Part II.
Menurut laporan IGN pula, penglibatan menerbitkan siri TV untuk HBO ini sekaligus telah menggantikan perancangan mereka sebelum ini untuk membikin adaptasi filem The Last of Us yang telah sekian lama tergendala.
Buat masa ini, pembikinan siri TV ini masih lagi di peringkat awal, dan tiada waktu pelancaran didedahkan.
Secara peribadi, mengetahui bahawa siri TV The Last of Us ini akan mendapat sentuhan pencipta Chernobyl, penulis merasakan sesuatu yang baik akan dapat dihasilkan. Chernobyl merupakan satu siri mini di HBO yang mendapat pujian ramai, dan penulis sendiri sukakannya. Apatah lagi, ia turut dikendalikan oleh Druckmann sendiri yang cukup sinonim dengan penceritaan game The Last of Us — siri TV ini berada di tangan orang-orang yang sepatutnya.
Apa pula kata korang? Teruja dengan pengumuman ini?
Comments
Loading…