The Game Awards yang berlangsung minggu lalu sememangnya meletakkan satu tanda aras baru kepada industri gaming secara global. Selain menghargai para pembangun video game dengan memberikan pelbagai pengiktirafan, acara itu juga mengumumkan pelbagai game baru yang pertama kalinya diumumkan kepada umum.
Bercakap kepada Variety tentang kejayaan acara ini, penerbitnya Geoff Keighley mendedahkan yang ia berjaya menarik penonton seramai 26.2 juta. Jumlah penonton ini merangkumi kesemua livestream dari seluruh dunia yang boleh disaksikan di Facebook, Youtube, Twitch, Twitter dan laman web rasminya.
Sebagai perbandingan yang menarik, jumlah penonton TGA 2018 sebenarnya setanding dengan majlis anugerah terkemuka Hollywood, iaitu The Oscars — yang berjaya mengumpulkan 26.5 juta penonton pada tahun ini. Walau bagaimanapun, jumlah ini mungkin tidak adil untuk dibandingkan kerana ia hanya mengira jumlah penonton di Amerika Utara, manakala jumlah penonton TGA 2018 merangkumi seluruh dunia.
Apa-apa pun, ia tetap satu pencapaian yang boleh dibanggakan untuk semua gamers. Tidak sabar untuk kita ketahui berapakah pula jumlah penonton yang mampu dicapai untuk TGA 2019 pada tahun hadapan.
Comments
Loading…