Sesebuah game ditunda tarikh pelancaran pastinya sudah biasa kita dengar. Tetapi sebab mengapa game ini ditunda mungkin tidak pernah kita dengar sebelum ini.
Mytona dan Fntastic telah mengumumkan yang mereka telah menangguhkan tarikh pelancaran The Day Before yang sepatutnya dilancarkan pada 1 Mac 2023 kepada 10 November 2023.
Punca kepada penangguhan ini adalah disebabkan ada individu yang mendakwa bahawa beliau merupakan pemilik kepada nama “The Day Before”.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Fntastic mendedahkan yang beberapa minggu sebelum pelancaran, Steam telah memadamkan laman game itu disebabkan judul game tersebut.
Ketika mereka mengumumkan game itu pada Januari 2021, tanda dagang untuk “The Day Before” masih belum dimiliki sesiapa. Walau bagaimanapun, menurut Fntastic, selepas pengumuman game itu dibuat, individu tersebut telah mengfailkan permohonan tanda dagang itu sebelum Fntastic melakukannya.
Lebih membingungkan (juga melucukan), Fntastic hanya maklum tentang perkara ini hanya 19 Januari 2023 apabila mereka menerima aduan dan diminta untuk menghubungi individu tersebut.
Kalau korang masih ingat, minggu lalu Fntastic telah berjanji untuk mengeluarkan video gameplay baharu pada bulan ini. Namun, disebabkan tuntutan ini, video tersebut juga terpaksa ditunda dan mereka sedang mendapatkan nasihat daripada para peguam mereka mengenainya.
Pendedahan ini sememangnya mengejutkan ramai. Antara hujah penting yang ditimbulkan ramai adalah bagaimana sesebuah game diumumkan tanpa diusul periksa terlebih dulu tanda dagang judul tersebut.
Apa-apa pun sama-samalah kita nantikan perkembangan tuntutan ini.