Hujung minggu lalu, JomGaming telah dijemput oleh Konami Asia untuk ke ICC FAN ZONE yang berlangsung OCBC Square, Singapura. Bersama-sama dengan NEST Gaming, kami telah pergi ke sana untuk melihat apa yang menarik di sana.

Semasa di acara ini, kami turut sempat bertemu dengan Rizky Faidan, 16, pemain PES nombor satu Indonesia, seorang pemain yang ramai gelarkan sebagai ‘wonderkid’.

Bagi korang yang tidak mengenali Rizky, jom kami rangkumkan sedikit apa yang beliau telah capai pada usia yang cukup muda ini.

Mac lalu, Rizky telah berjaya memecahkan tembok gergasi Vietnam di Asia Tenggara apabila berjaya menjuarai PES SEA Finals 2019 yang berlangsung di Bangkok, Thailand. Sebelum ini, para pemain Vietnam telah menjuarainya untuk tiga tahun berturut-turut.

Kemudian, beliau telah layak ke PES League Asia Regional Finals 2019 yang diadakan di Tokyo, Jepun pada April lalu. Tidak cukup dengan sekadar layak buat kali pertama, beliau terus menjuarainya setelah menewaskan pemain Jepun, Mayageka di perlawanan akhir. Senang kata, beliau kini ialah pemain PES nombor satu Asia — sekaligus melayakkan diri PES League World Finals .

Sebaik sahaja bertemu Rizky Faidan, kami terus mengucapkan tahniah kepada beliau atas pencapaian yang cukup membanggakan bukan sahaja kepada Indonesia, malah kepada Asia Tenggara kerana berjaya lolos ke separuh akhir (top 4) di PES League World Finals (individu), serta menjadi salah seorang pemain dalam pasukan Indonesia ke perlawanan akhir (top 2) dalam kategori co-op (3v3) di kejohanan yang sama. Acara berprestij tahunan oleh Konami itu diadakan di Emirates Stadium, London.

Ikuti perbualan penuh kami bersama Rizky di bawah.

JomGaming: Apakah perasaan dan pengalaman yang boleh dikongsikan ketika bermain di PES League World Finals?

Rizky Faidan: Ia merupakan satu pengalaman baru yang cukup baik. Gameplaynya tidak seperti bermain tournament di Indonesia, yang mana di World Finals permainannya lebih fancy serta memiliki intensiti yang tinggi.

JG: Rizky sering dikenali sebagai seorang yang tenang, walaupun ketika menjuarai perlawanan-perlawanan besar. Namun, dalam salah satu perlawanan di World Finals menentang HenrykinhO, mengapa begitu ‘garang’ meraikannya? (Rizky ketinggalan 0-2, kemudiannya menyamakan kedudukan pada minit 86 dan 89)

RF: Dalam perlawanan di kejohanan yang setegang itu, kita perlukan sesuatu untuk membawa diri kita kembali tenang dan santai, jadi sebab itu diraikan seperti itu.

JG: Rizky juga merupakan juara Axis Asia Pacific League Season 1 untuk PES 2019. Hukkaw pula adalah juara untuk Season 2. Jadi apa persiapan untuk Grand Finals nanti?

RF: Semestinya saya akan sentiasa berlatih kerana pemain yang ada semuanya hebat. Seperti yang kita tahu, Hukkaw dalam Season 2 hanya kalah dua kali, menunjukkan beliau seorang pemain yang pastinya sukar, jadi saya harus bersiap sedia dengan lebih matang.

JG: Apa sasaran untuk PES 2020?

RF: Dapat masuk World Finals lagi.

JG: Apa rahsia kejayaan WANI (pasukan co-op Indonesia di World Finals)?

RF: Kami berlatih hampir setiap malam. Selagi semuanya ada masa, kami akan sentiasa berlatih pada setiap malam.

JG: Untuk PES 2020, masih kekal dengan WANI atau mahu cari rakan sepasukan lain?

RF: Itu belum tahu lagi (ketawa).

JG: Beberapa pasukan berlesen dalam PES 2020 sudahpun diumumkan. Apakah agaknya pasukan yang akan menjadi pilihan Rizky untuk musim depan?

RF: Kalau dalam dunia sebenar, saya meminati Manchester United, tetapi untuk PES 2020 nanti saya akan gunakan Juventus kerana ia satu pasukan yang lebih lengkap dari posisi bawah hinggalah ke posisi atas.

JG: Apa pendapat Rizky Faidan mengenai PES 2020 selepas mencubanya di sini (Singapura)?

Yang pasti lebih susah. Setakat apa yang saya cuba, membuat hantaran agak sukar, terutamanya untuk lakukan ‘backheel’. Saya cuba untuk buat backheel tadi, tapi semua pemain nampaknya akan memusingkan badan [sebelum membuat hantaran], jadi pergerakan itu menjadi lambat. PES 2019 rasa lebih ringan, manakala PES 2020 terasa lebih berat dan perlahan.

JG: Bagaimana dengan pandangan kamera baru dalam PES 2020?

RF: Jika dilihat, ia seperti menonton TV, tapi untuk bermain terasa kurang enak. Sukar untuk melihat garisan offside dan apa yang terjadi di ‘far post’.

NEST Gaming bersama Rizky Faidan.

JomBaca: JomGaming Di Singapura: Kami Dah Cuba PES 2020 – Apa Yang Menarik Dengan Gameplay?

Kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada Rizky Faidan kerana sudi berbual bersama JomGaming dan NEST Gaming di Singapura. Kami mendoakan agar Rizky mengecapi lebih banyak kejayaan yang membanggakan kerana di usia yang baru sahaja menginjak 16 tahun, pastinya satu karier yang panjang berpotensi menanti anda di hadapan!

JomKomen!