Pengumuman perubahan tarikh tayangan filem Uncharted seolah-olah acara bulanan pula. Walau bagaimanapun, perubahan kali ini ada sedikit kelainan kerana bukannya ditunda tetapi dipercepatkan.

Sony Pictures baru sahaja mengumumkan tarikh tayangan baharu untuk beberapa filem keluaran mereka akan datang. Untuk filem Uncharted, ia kini dijadualkan untuk keluar pada 16 Julai 2021, yang mana sebelum ini diletakkan pada 8 Oktober 2021, lapor Collider.

Sony mempercepatkan tarikh tayangan Uncharted ini dalam waktu yang sama mereka menundakan beberapa filem besar mereka. Antara filem yang ditunda ialah Spider-Man 3 (5 November 2021), sekuel Spider-Man: Into the Spider-Verse (7 October 2022), dan Doctor Strange and the Multiverse of Madness (25 Mac 2022).

Filem Uncharted ini akan diarahkan oleh Ruben Fleischer. Antara arahan yang mengangkat nama Fleischer ialah filem Zombieland dan Venom. Ia akan dibintangi oleh Tom Holland sebagai Nathan Drake dan Mark Wahlberg sebagai Sully, selain turut menampilkan Antonio Banderas, Sophia Ali dan Tati Gabrielle.

JomKomen!