Sebuah game yang dinantikan ramai gamer Malaysia, No Straight Roads akhirnya telah mendapat tarikh pelancaran.
Metronomik telah mengumumkan bahawa No Straight Roads akan dilancarkan pada 30 Jun 2020 untuk PC dan PS4. Untuk platform PC, 12 bulan pertama hanya akan hadir di Epic Games Store secara eksklusif, sebelum ia akan dikeluarkan pula ke Steam.
Bersama-sama dengan pengumuman tarikh pelancaran ini, Metronomik turut mendedahkan Collector’s Edition. Berikut ialah apa yang akan ditampilkan dalam edisi tersebut:
- Vinyl LP eksklusif menampilkan muzik-muzik daripada OST dalam game
- ‘The Art of NSR’ Artbook yang mempunyai 64 muka surat
- Kayu dram rasmi NSR
- Disertakan kotak luaran yang funky
Di channel Youtube Metronomik, sebuah video terbaharu juga dimuat-naik, berkongsikan kepada para peminat salah satu muzik yang bakal dihidupkan dalam game ini. Boleh dengarkannya di bawah:
Pada November lalu, mereka telah mendedahkan bahawa salah satu elemen tempatan yang akan dibawa masuk ke dalam game ini ialah elemen dikir barat.
No Straight Roads akan membawa pemain sebagai seorang ahli dalam kugiran rock, mempunyai misi untuk menentang empayar EDM. Genre yang akan diketengahkan ialah game aksi yang memfokuskan kepada muzik, namun ia bukanlah game bergenrekan rhythm.
Metronomik merupakan studio pembangun game yang berpangkalan di Malaysia, yang diketuai oleh Wan Hazmer, anak tempatan Malaysia, bekas pembangun di Square Enix yang menjadi lead game designer untuk Final Fantasy XV; serta Daim Dziauddin, concept artist untuk Street Fighter V.