Take-Two Interactive, iaitu syarikat induk kepada Rockstar Games dan 2K, telah membatalkan sebuah game yang belum pernah diumumkan kepada umum.
Sesebuah syarikat membatalkan sesebuah game mungkin sesuatu yang biasa. Tetapi apa yang luar biasanya dalam kes ini adalah Take-Two telah melaburkan sekitar USD53 juta (~RM220 juta) terhadap projek tersebut.
Perkara ini didedahkan sendiri oleh syarikat itu dalam laporan kewangan terbaharu mereka. Walau bagaimanapun, laporan susulan dari Bloomberg telah mendedahkan beberapa butiran tambahan.
Menurut Bloomberg, projek itu menggunakan nama kod Volt, dan dikatakan dibangunkan oleh Hangar 13, iaitu studio yang membangunkan Mafia III.
Antara kesulitan yang dialami oleh projek ini adalah disebabkan banyak kali reboot, masalah teknologi dan pelbagai cabaran disebabkan oleh pandemik COVID-19.
Game yang dikhabarkan mula dibangunkan sejak 2017 itu merupakan sebuah game yang menampilkan ramai adiwira bertarung secara online. Ia juga dikatakan merupakan satu harta intelek (IP) baharu.
Faktor utama Take-Two dilaporkan membatalkannya adalah mereka tidak merasakan ia satu pelaburan yang berbaloi memandangkan masa yang diperlukan dalam pembangunan itu sebelum ia menjadi produk yang siap sepenuhnya.
Laporan ini turut menyatakan yang para pekerja untuk projek Volt ini tidak akan diberhentikan kerja, tetapi mereka akan dipindahkan ke projek-projek lain yang sedang dibangunkan 2K.
Comments
Loading…