in

Take-Two Interactive Bakal Ambil-Alih Zynga Dengan Nilai Lebih RM53 Billion, Tertinggi Dalam Sejarah Gaming

Lupakan pengambil-alihan Supercell oleh Tencent, lupakan pengambil-alihan Bethesda oleh Microsoft kerana rekod terbaharu dalam sejarah gaming baru sahaja dipecahkan.

Take-Two Interactive, syarikat induk kepada beberapa studio pembangun game gergasi seperti Rockstar Games dan 2K Games, telah mengumumkan yang mereka bakal mengambil-alih syarikat yang cukup terkenal dengan mobile game, Zynga.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Take-Two mendedahkan nilai pengambil-alihan ini adalah bernilai USD12.7 billion (~RM53.26 billion). Transaksi dijangka akan dilengkapkan sekitar separuh tahun pertama 2022.

Pengambil-alihan yang cukup mengejutkan ramai ini telah menjadikan ia kini merupakan pengambil-alihan tertinggi dalam sejarah industri video game.

Berita ini sekaligus menjadikan game-game milik Zynga seperti FarmVille, Words With Friends, CSR Racing, Harry Potter: Puzzles & Spells, dan banyak lagi kini berada di bawah satu bumbung syarikat yang sama dengan game-game sedia ada milik Take-Two seperti Grand Theft Auto, Borderlands, NBA 2K, BioShock, Civlization dan lain-lain.

Bagi merumuskan segala kenyataan Take-Two, tujuan pengambil-alihan ini adalah untuk membawakan francais-francais besar mereka ke platform mobile, menggunakan kepakaran yang dimiliki oleh Zynga.

Take-Two juga menyatakan yang pengambil-alihan ini akan memberikan mereka pulangan sebanyak USD100 juta (~RM419 juta) setiap tahun dalam tempoh dua tahun pertama, dan mampu mencecah USD500 juta (~RM2.1 billion) pada tahun-tahun seterusnya.

Berita ini sememangnya satu kejutan yang cukup besar, terutamanya terhadap nilai pengambil-alihan yang sanggup ditabur oleh Take-Two — juga membuktikan betapa seriusnya Take-Two untuk menerjah ke arena mobile.

Sebagai perbandingan, tweet di bawah menyenaraikan beberapa pengambil-alihan dengan nilai tertinggi yang pernah dilakukan dalam industri gaming.

Game yang sedang Zynga bangunkan kini adalah Star Wars: Hunters, sebuah game bergenre arena shooter, mempertemukan perlawanan 4-lawan-4 yang menggunakan pandangan third-person, diinspirasikan daripada bermacam latar belakang karakter Star Wars.

Latar masa yang digunakan pula adalah selepas kejatuhan Galactic Empire, iaitu sekitar selepas Return of the Jedi.

Star Wars: Hunters digambarkan sebagai sebuah game kombat arena kompetitif yang memfokuskan kepada kerjasama berpasukan secara online. Ia akan turut membawakan fungsi cross-play antara Switch, Android dan iOS.

Buat masa ini, mereka hanya menyatakan Star Wars: Hunters akan dilancarkan pada tahun 2022 secara percuma untuk Nintendo Switch, iOS dan Android.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0
PlayStation State of Play Akan Diadakan Pada Jumaat Pagi Ini, Tiada Berita PS5

Acara Besar PlayStation Dikhabarkan Berlangsung Februari Ini, Mungkin Ada Berita Hogwarts Legacy

Deep Rock Galactic Adalah Cinta Pertama Aku Untuk Tahun 2022, Dan Cinta Ini Harus Dikongsi Bersama