Genre Battle Royale dalam game Fortnite – adakah ianya menghiburkan?

Fortnite: Battle Royale

Fortnite pada mulanya membawakan sebuah gameplay co-op menentang zombi-zombi, dalam mode yang digelar Save The World. Dalam mode ini mekanisme utama yang menjadi fokus utama adalah membina kubu-kubu untuk menghalang zombi-zombi daripada menyerang pemain, dalam masa yang sama memiliki senjata api dan tajam untuk membunuhnya.

Kemudian, Epic Games memperkenalkan sebuah lagi mode baru dalam game ini yang agak kontroversi. Sekiranya korang mengikuti perkembangan gaming masakini, pastinya genre battle royale tidak asing dalam pengetahuan korang. Game yang paling menyerlah dalam genre ini pastinya adalah PlayerUnknown’s Battlegrounds, pemegang rekod di Steam kini sebagai game paling ramai dimainkan pada satu-satu masa.

Genre Battle Royale? Apa Itu?

Mungkin ada antara korang yang tidak pernah dengar tentang genre battle royale ini. Mode terbaru yang ditampilkan ke dalam Fortnite boleh dikatakan sebijik macam apa yang korang boleh jangkakan dalam genre ini.

100 pemain akan diletakkan dalam satu server. Permainan dimulakan dengan kesemua 100 pemain ini akan dilepaskan dari battle bus di udara. Pemain akan diberikan tempoh waktu yang singkat untuk memilih bilakah waktu yang mereka ingin lompat dari battle bus ini, bergantung kepada lokasi yang ingin mereka pergi dan strategi masing-masing.

Apabila pemain telah terjun ke darat, pemain hanya disediakan dengan cangkul sahaja untuk mengumpulkan kayu, batu atau besi. Apakah kegunaan bahan-bahan ini? Akan penulis ceritakan di bawah.

Sesampainya sahaja pemain ke darat, ia umpama perlumbaan untuk mendapatkan senjata-senjata dan kelengkapan-kelengkapan lain. Sesiapa yang berjaya mendapatkan senjata dengan lebih awal, ia memberikan kelebihan yang amat besar berbanding pemain lain yang masih hanya membawa cangkul.

Apabila segala kelangkapan dan senjata dikumpulkan, di sinilah bermulanya permainan sebenar. Selang beberapa minit, sebuah bulatan besar akan terbentuk. Pemain perlu masuk ke dalam bulatan ini dalam tempoh waktu tertentu. Jika pemain tidak berjaya masuk ke dalam bulatan ini, berada di luar bulatan akan mengurangkan nyawa sedikit demi sedikit.

Permainan seterusnya bertambah tegang apabila bulatan tersebut semakin lama semakin mengecil. Dan pada saat-saat akhir permainan, para pemain terakhir akan bertemu sesama sendiri dalam bulatan yang sangat kecil, pertempuran jarak dekat dan mendebarkan akan berlangsung, memutuskan siapakah pemain terakhir yang akan dinobatkan sebagai juara.

Apa Beza Dengan Game Lain?

Apa yang membuatkan Fortnite: Battle Royale berbeza dengan game-game lain yang menggunakan genre yang sama adalah mekanisme membina kubunya. Kegunaan cangkul yang dimiliki pemain adalah untuk mengetuk dan mengumpulkan bahan-bahan binaan, yang mana terdapat tiga jenis bahan iaitu kayu, batu dan besi.

Setiap bahan ini ada ciri-cirinya yang tersendiri. Misalnya kayu boleh dibina dengan pantas, tetapi tidak terlalu kukuh untuk dijadikan pertahanan, manakala besi mengambil masa yang lebih lama untuk dibina, tetapi lebih kukuh untuk dijadikan pertahanan.

Pembinaan kubu yang membuatkan gameplay battle royale dalam Fortnite sedikit berbeza daripada game lain. Pemain boleh membina jambatan atau jejantas untuk mengakses satu lokasi yang tidak boleh dicapai sebelum itu. Lokasi-lokasi ‘tersorok’ inilah yang kadang-kala ada peti yang boleh dibuka, mengeluarkan kelengkapan-kelengkapan yang lebih unik.

Mekanisme pembinaan kubu juga boleh memberikan kelainan dalam memenangi sesebuah perlawanan. Pemain boleh membina kubu untuk melindungi mereka daripada serangan musuh. Namun, harus diingat, kubu yang tidak berada dalam bulatan adalah sia-sia. Jadi, setiap gerakan dalam game ini adalah penting, kesilapan sedikit sahaja boleh membawa padah.

Gameplay Yang Sangat Menghiburkan

Sebagai sebuah game yang free-to-play, Fortnite: Battle Royale menjanjikan sebuah gameplay yang sangat menghiburkan, boleh dikatakan agak ketagih. Bagi korang yang sedang berkira-kira untuk membeli mana-mana game yang bergenre battle royale, Fortnite: Battle Royale adalah game yang sesuai jika ingin mengetahui bagaimana rasanya pengalaman genre ini.

Ia adalah sebuah game yang ringan atau kasual, tetapi tetap seronok dan menghiburkan, yang mana ia tetap menjanjikan suasana genre battle royale yang sangat tegang dan mendebarkan.

Masa Depan Yang Cerah

Fortnite: Battle Royale bagi penulis mempunyai masa depan yang cerah sekiranya ia disokong dengan cara yang betul. Ia memiliki genre yang trending pada masakini, dalam masa yang sama, mempunyai gameplay tersendiri yang lain daripada yang lain, iaitu mekanisme membina kubunya.

Apatah lagi, dalam minggu-minggu akan datang, Epic Games akan menambah lebih banyak kandungan dan kemaskini, dalam usaha mereka untuk membawakan kepada para pemain pengalaman yang lebih “battle royale”. Dalam keadaan game yang masih lagi “kosong”, ia sudah menampilkan satu gameplay yang sangat seronok, maka dengan penambahan kandungan dalam masa terdekat ini, ia pastinya bakal menarik lebih ramai pemain.

Fortnite: Battle Royale kini berada dalam fasa Early Access. Korang boleh mencubanya di PC, PS4 dan Xbox One secara percuma. Ia dijadualkan akan dilancarkan sepenuhnya pada tahun hadapan sebagai sebuah game free-to-play.

JomBaca: 24 Jam Pertama, Fortnite: Battle Royale Berjaya Kumpulkan 1 Juta Pemain

JomKomen!