Pada 30 Julai lalu, Konami telahpun mengeluarkan versi demo untuk eFootball PES 2020, dan boleh dimainkan kini di PC, PS4 dan Xbox One.

Versi demo ini membawakan 13 pasukan untuk dicuba, iaitu Barcelona, Arsenal, Manchester United, Bayern Munich, Juventus, Palmeiras, Flamengo, Corinthians, Vasco da Gama, Boca Juniors, River Plate, Universidad de Chile, dan Colo-Colo. Selain Kick-Off (offline), Quickmatch (online) serta Edit Mode (untuk mencuba memasukkan patch) dibawakan dalam versi demo ini.

Kami dahpun mencuba versi demo PES 2020, jadi jom baca apa pandangan pertama kami tentang versi ini.

Sudut Kamera Baru

Kalau kita menonton sahaja gameplay PES 2020 (belum cuba main), kita akan lihat bahawa perubahan paling ketara yang dibawakan ialah pandangan kamera semasa di atas padang, yang mana sudut kamera default untuk PES 2020 ialah ‘Stadium’ — satu pandangan kamera serba baharu. Seperti yang kami katakan sebelum ini semasa mencuba demo PES 2020 di Singapura, kelebihan sudut kamera ini adalah lebih mirip kepada perlawanan bola sepak sebenar yang selalu kita tonton di kaca televisyen.

Rata-rata pemain yang telah mencuba sudut baharu ini bersependapat kesukaran untuk membiasakan diri terutama ketika membuat perangkap offside dan bagi pemain yang menggunakan teknik sepakan advance, sukar untuk mendapatkan sudut yang jitu ketika percubaan ke arah gol.

Walau bagaimanapun, sudut kamera ini boleh diumpamakan seperti tak kenal maka tak cinta. 2, 3 perlawanan pertama sememangnya membuatkan kita ‘benci’ kepada pandangan baru ini, tetapi setelah meluangkan lebih masa bermain dengannya, kita akan mula sukakannya.

Ia merupakan satu pandangan kamera yang memberikan satu kelainan yang menyegarkan. Pada mulanya memang sukar, namun selepas sudah tahu bagaimana untuk mengarahkan gerakan dan sepakan, pastinya keseronokan itu akan mula muncul. Ia satu kelainan yang bagi penulis sesuatu yang perlu dalam memperbaharui pengalaman bermain game bola sepak yang mungkin semakin lama semakin ‘letih’ kerana dikeluarkan pada setiap tahun.

Menggelecek Dengan Lebih Selesa

Pada pendapat penulis, perkara paling pertama yang perlu dititikberatkan dalam siri game bola sepak yang dikeluarkan pada setia tahun ialah gameplay di atas padang. Kandungan-kandungan lain boleh jatuh nombor dua, tiga dan seterusnya. Dan semestinya, pada saban tahun, PES tidak pernah ketinggalan dalam menampilkan perbezaan terhadap gameplay di atas padang.

Gameplay yang paling terasa bezanya ialah menggelecek. Untuk PES 2020, tempo pergerakan menggelecek mungkin terasa lebih perlahan, namun pemain terasa lebih bebas melakukan gelecekan-gelecekan yang diigini kerana pergerakannya lebih lembut dan lebih sensitif.

Hantaran Bijak

Melakukan hantaran (passing) juga mempunyai sedikit perbezaan. Setiap tahun, Konami akan cuba untuk mengurangkan keupayaan untuk melakukan hantaran-hantaran ping-pong — dan ia semakin ditambahbaik dalam PES 2020. Pemain kini akan cuba memperlahankan tempo permainan yang sememangnya sudahpun perlahan, untuk membuat hantaran-hantaran yang lebih bijak dan licik berbanding hantaran pantas ping-pong.

Anchoring

Seperti yang telah kami sebutkan sebelum ini, untuk tatapan formasi, tidak banyak perubahan di edisi kali ini. Untuk Advance Instructions, satu penambahan pilihan untuk serangan iaitu Anchoring. Pilihan ini membolehkan seorang pemain dikunci supaya tidak lari dari posisi asal, terutama bagi yang memilih serangan secara Flexible.

Kesimpulan

Apa yang boleh disimpulkan, tidak banyak yang mampu kita ulas dalam versi demo. Secara kasarnya, kita hanya dapat mencuba gameplay di atas padang serba sedikit. Penulis cuma berharap agar Konami dapat menyajikan beberapa kejutan lain semasa pelancaran penuh game ini kelak, seperti lebih banyak kandungan tambahan, penambahbaikan gamemode, serta permainan online yang lebih stabil.

Maka, untuk mengetahui sama ada PES 2020 nanti Boleh Beli or Boleh Blah!?, kena tunggulah review penuh kami nanti.


[IKLAN]
Berminat nak dapatkan PES 2020? Korang boleh hubungi PES Malaysia untuk pre-order dengan letakkan deposit dulu sebanyak RM50. Paling penting, dapat servis yang mantap & semestinya PES 2020 versi R3 (Asia)!

JomKomen!