Sejak PUBG dan Fortnite menjadi fenomena dunia, banyak game shooter lain yang membawakan gaya mereka tersendiri dalam genre battle royale.

Call of Duty dengan kehadiran Blackout, dunia Titanfall dengan Apex Legends, dan kini giliran siri Battlefield pula membawakan Firestorm. Jadi, apa yang menarik tentang Firestorm? Apa kelainan yang dibawakan berbanding game battle royale lain?

Battlefield + Battle Royale

Secara keseluruhan, DICE dan Criterion membawakan satu pengalaman battle royale yang agak baik. Menggabungkan gameplay dan mekanisme ikonik dari siri Battlefield dan curahkannya ke dalam genre battle royale sememangnya sesuatu yang menghiburkan.

Membawakan kenderaan-kenderaan seperti kereta kebal, helikopter dan bot/jip amfibia telah menambahkan satu rencah yang tidak pernah ada dalam mana-mana game battle royale sebelum ini. Apa yang mengagumkan penulis ialah bagaimana mereka menyeimbangkan gameplay kenderaan-kenderaan ini.

Sebagai contoh, kereta kebal — jika kita fikir sekilas, pastinya kita akan merasakan yang ia akan merosakkan pengalaman battle royale melalui kehadiran kereta kebal. Kita akan fikir bahawa kereta kebal akan menjadi terlalu kuat (overpowered) serta sukar untuk dimusnahkan. Tapi ianya tidak berlaku kerana pelbagai halangan diperkenalkan untuk mengelakkan kereta kebal menjadi overpowered.

Kereta kebal hanya boleh diakses di dalam bunker, yang mana bilik kebal ini hanya boleh dibuka dengan memutarkan dua pemutarnya (oleh dua pemain) di bahagian luar. Kemudian, apabila sedang diputar, ia akan mengeluarkan bunyi yang sangat kuat, memberitahu musuh berdekatan bahawa ada skuad yang sedang cuba untuk mendapatkan kereta kebal itu.

Selain itu, senjata dan gajet yang diperlukan untuk memusnahkan kereta kebal (dan helikopter) juga mudah untuk didapati — seperti Panzerfaust, periuk api (mine) dan dinamit. Kadang-kala, apa yang melucukan apabila kami sudah bersusah payah untuk mendapatkan kereta kebal, kemudian bulatan api pun tiba tanpa sedar, dan disebabkan pergerakan kereta kebal itu yang cukup perlahan, kami terpaksa meninggalkan kereta kebal dan kemudian lari terus berjalan kaki untuk menyelamatkan diri daripada dijilat api.

Api Yang Menggerunkan

Bercakap tentang api, bulatan yang diletakkan ke dalam mode ini, iaitu Firestorm, merupakan bulatan yang paling menggerunkan dalam mana-mana game battle royale yang pernah dikeluarkan.

Kalau dalam game battle royale lain, kita akan ada keyakinan untuk berada dalam zon bahaya luar bulatan, mencari loot-loot yang lebih menarik — tetapi dalam Firestorm, tiada satu saat pun dalam permainan penulis untuk melepak-lepak dalam zon ini kerana api yang dicipta adalah sangat menggerunkan. Kita boleh merasai kehangatannya, dan jika termasuk sebentar, kita akan terasa kelam kabut untuk keluar dari zon ini. Malah, belum lagi masuk dalam api tersebut, berada berdekatan sahaja sudah terasa bahangnya dan kita sama sekali tidak mahu menghampirinya.

Permainan menjadi lebih hangat apabila dua skuad sedang bertarung di bulatan yang terakhir — di mana kiri, kanan, depan dan belakang ditutupi dengan api memanas dan kita pastinya mahu mencari musuh terakhir itu secepat mungkin kerana tidak mahu diselimuti dengan api ini terlalu lama.

Terlalu Lewat Dilancarkan

Penulis sebenarnya tidak suka membandingkan Firestorm dengan game-game lain, namun disebabkan game ini terlalu bagus, kita sememangnya terpaksa membandingkan mana-mana game battle royale dengan Apex Legends.

Pada era pasca Apex Legends, semua game yang ingin membawakan battle royale seharusnya menjadikan Apex Legends sebagai penanda aras kerana game ini telah meletakkan satu standard yang cukup tinggi. Pelbagai fungsi dan mekanisme yang kita tidak pernah terfikir pun ia perlu untuk sesebuah game battle royale, telah diperkenalkan buat pertama kali oleh Apex Legends.

Sistem respawn, sistem ping yang bijak, dan sistem looting yang memudahkan adalah antara fungsi mengejutkan yang dibawakan Apex Legends, dan ianya tiada dalam Firestorm. Mungkin akan ada yang mempertikaikan dengan berkata, “kenapa perlu tiru Apex Legends?”. Tetapi, bagi penulis setelah bermain Apex Legends selama hampir dua bulan, dan kemudian bermain Firestorm dengan ketiadaan fungsi-fungsi baru ini, terasa seperti battle royale itu kurang menyengat dan sedikit membosankan.

Looting Satu Malapetaka

Secara keseluruhan, Firestorm tidak mempunyai isu yang terlalu membimbangkan, kecuali satu — sistem looting yang sangat menyusahkan. Pertamanya, apabila dapat menghapuskan musuh, loot-loot yang dimiliki mereka akan berselerak di atas lantai (atau tanah). Tiada beg atau kotak yang mempunyai UI tambahan yang memudahkan pemain untuk memilih loot yang diingini.

Keduanya, apabila sudah berselerak itu, kesemua loot-loot ini akan bertindan antara satu sama lain — membuatkan pemain sangat sukar untuk mengambil loot yang mahu dimasukkan ke dalam inventori. Ditambah pula dengan teks yang sangat kecil apabila melihat loot-loot ini. Penulis perlu memerhati dengan lama kerana sukar untuk mengenal pasti apakah loot yang benar-benar berada di atas lantai itu.

Sistem looting yang merepek ini sekaligus merencatkan terus pengalaman battle royale itu sendiri, terutamanya apabila pusingan sudah memasuki bulatan-bulatan terakhir. Pemain akan mengambil masa yang terlalu lama untuk looting kerana kesukaran untuk memilih dan mengambil. Disebabkan looting yang terlalu terdedah kepada bahaya ini, kebanyakan pemain akan meninggalkan terus loot-loot tersebut kerana tidak mahu ditembak musuh.

Ia akhirnya mengakibatkan para pemain akan menggunakan senjata yang sama dari awal hingga akhir pusingan, serta sering kali akan kehabisan peluru kerana tidak sempat untuk mengambil peluru musuh yang bertebaran di lantai.

Sekiranya DICE dan Criterion dapat memperbaiki sistem looting ini, ia pastinya akan membuatkan Firestorm jauh lebih seronok berbanding apa yang kita rasai pada waktu ini.

Kesimpulan

Firestorm akan menjadi battle royale kegemaran penulis kalau dilancarkan sebelum Apex Legends. Firestorm mempunyai formula yang betul untuk menjadi battle royale yang baik, namun ia dikeluarkan pada waktu yang salah.

Sekiranya Firestorm ingin sekurang-kurangnya menarik lebih ramai pemain, penulis merasakan yang fungs-fungsi yang ada dalam Apex Legends seperti yang disebut di atas perlu diperkenalkan.

+ Gabungan Battlefield dan battle royale yang baik
+ Gameplay kenderaan yang seimbang
+ Bulatan api yang menggerunkan

Sistem looting yang menyusahkan
Dilancarkan pada waktu yang salah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.