in , , ,

Stray: Boleh Beli or Boleh Blah!?

Walaupun latar belakang bandar cyberpunk yang disajikan dalam Stray boleh dikatakan masih sukar untuk kita bayangkan dalam logik akal, tetapi perangai dan gameplay seekor kucing yang dihidupkan merupakan satu pengalaman yang cukup mudah untuk kita kaitkan dalam kehidupan seharian.

Stray membawakan sebuah gameplay kucing yang sebenar. Mungkin sebuah game yang ‘terpaling kucing’ pernah dihasilkan.

Stray memberikan satu nikmat emosi kepada para pencinta kucing.

Jom kita ikuti review untuk game yang dibangunkan oleh BlueTwelve Studio dan diterbitkan oleh Annapurna Interactive ini — Boleh Beli or Boleh Blah!?

Sesat Di Kuala Lumpur Kota Cyberpunk

Plot yang disusun dalam Stray boleh dikatakan amat ringkas. Namun, premis cerita yang diangkat dalam game ini adalah amat berat.

Kisahnya bermula apabila sekumpulan kucing jalanan sedang berjalan-jalan di satu kawasan perpaipan yang usang. Malang menimpa apabila seekor kucing ini (yang dikawal pemain), telah tersilap langkah dan terjatuh ke lubuk bawah kawasan tersebut.

Selepas beberapa minit cuba untuk bangkit dan kembali mencari jalan pulang untuk kembali bersatu dengan rakan-rakan (atau keluarga?) kucingnya tadi, barulah kita sedar bahawa kawasan yang kita terperangkap itu adalah sebuah bandar cyberpunk.

Bandar ini dipenuhi, dikawal, diselia dan didiami oleh robot-robot yang juga kelihatan sudah usang, sama seperti bandarnya. Semakin lama kita masuk ke dalam dunia ini dalam cubaan untuk mencari jalan keluar, semakin banyak maklumat misteri yang berjaya dirungkai.

Misalnya, kita kemudiannya mengetahui bahawa latar masa yang digunakan adalah jauh di masa hadapan, sama ada ratusan atau ribuan tahun selepas kepupusan manusia. Mengapa dan apa yang terjadi kepada manusia? Itu semua adalah kisah yang perlu korang cari sendiri dalam game ini nanti.

Teman Tapi Mesra

Pada awal permainan, kucing yang kita kawal, yang kita tidak tahu pun apa namanya, akan bertemu dengan sebuah robot kecil bernama B-12. Kucing ini menemui B-12 di tepi jalanan, dan setelah dikuis-kuis dengan kakinya, robot ini pun hidup.

B-12 telah mendedahkan yang ia telah dimatikan untuk sekian waktu yang agak panjang. Sebagai tanda terima kasih kepada si comel ini, B-12 ingin membantunya untuk kembali bersatu dengan rakan-rakan kucingnya.

Dari sinilah bermulanya pengembaraan si comot, menyelami ke dalam dunia pasca-apokalips yang cukup aneh. Pelbagai halangan ditemui dalam proses mencari jalan pulang, dan halangan-halangan ini menjadi misi untuk pemain selesaikan.

Kucing Yang Sebenar

Seperti yang penulis katakan tadi, Stray benar-benar menjadikan kita sebagai seekor kucing.

Memanjat dan melompat ke sana sini, mencakar sofa dan karpet, buat sepah dan selerak di semua tempat, jatuhkan baldi, pecahkan pasu, terbalikkan kerusi, bersembunyi di dalam kotak, jilat takungan-takungan air di jalanan, dan banyak lagi aktiviti yang hanya pencinta kucing faham.

Menambah hiburan kepada pencinta kucing lagi, Stray juga membenarkan kita tidurkan kucing itu dan mengiau (meow) pada bila-bila masa (ya ada butang khas untuk mengeluarkan bunyi meow sahaja).

Bahkan, siap ada Trophy/Achievement khas untuk tidur (biarkan tidur satu jam) dan meow (tekan butang meow 100 kali). Mengawan je tiada dalam game ini.

Setiap misi dan puzzle yang dihadapi, kita bukan sahaja mengawal seekor kucing, tetapi kita harus berfikir seperti seekor kucing. “Kalau aku kucing, macam mana aku akan dapat masuk ke dalam bangunan itu? Macam mana aku nak panjat pagar itu?”

Dengan skrin dan UI yang bersih, tiada dialog sepatah pun, tiada objektif yang begitu jelas — kita benar-benar dibawa masuk ke dalam pemikiran seekor kucing.

Gameplay Ringkas, Dunia Cantik

Disebabkan Stray merupakan sebuah game ekplorasi dengan menjadikan kita benar-benar seekor kucing, tiada gameplay sukar yang ditampilkan dalam game ini. Iyalah, kalau kita fikirkan, di dalam dunia sebenar pun, apa je seekor kucing boleh buat. Setakat berlari dan melompat-lompat sajalah.

Maka disebabkan gameplay yang ringkas ini, penulis merasakan yang game ini amat sesuai dimainkan oleh sesiapa sahaja pencinta kucing, sama ada gamer mahupun bukan gamer.

Penulis dapat rasakan yang Stray juga boleh menjadi eskapisme kepada ramai pencinta kucing di luar sana yang tentunya ingin lari daripada tekanan kehidupan seharian dan bertukar menjadi kucing — membuat onar yang tiada siapa yang akan marah.

Bukan setakat gameplay ringkas, malah latar belakang yang disajikan dalam dunianya adalah sangat cantik. ‘Cantik’ di sini bukanlah bermakna ia menampilkan kehijauan rimba mengagumkan atau pantai dengan air biru yang menawan. Tetapi ‘cantik’ dari segi rekaan dan visual yang disajikan.

Bandar cyberpunk yang usang, jalanan-jalanan yang kotor, lorong-lorong sunyi, sampah sarap yang menjijikkan — semunya kelihatan cukup hidup. Dunia yang dicipta dalam Stray mengingatkan penulis kepada siri animasi Arcane dan game The Ascent.

Penulis boleh katakan kerja seni visual yang dipaparkan dalam Stray tidak kelihatan seperti ‘malas’, tidak seperti sesetengah game lain yang terasa seperti ‘tak siap’.

Pujian harus diberikan kepada pembangun di BlueTwelve. Sebagai sebuah game indie yang kredit nama di akhir permainan juga tidak ramai, Stray menyajikan grafik yang amat memuaskan.

Tiada Dialog, Ada Emosi

Stray sememangnya sebuah game yang aneh — baik dari segi gameplay dan dunianya, mahupun emosi yang berjaya disampaikan melalui ceritanya.

Selain dialog-dialog bahasa asing yang tidak difahami yang dituturkan oleh robot-robot, tiada satu pun suara dialog yang disampaikan dalam game ini. Semua dialog disampaikan dalam bentuk teks.

Walau bagaimanapun, Stray berjaya memberikan beberapa lapisan emosi kepada pemain. Bayangkanlah, karakter utamanya adalah seekor kucing, dikelilingi pula oleh robot-robot yang sudah tidak bercakap bahasa manusia, dialog pula hanya disampaikan dalam bentuk teks. Tiada satu pun interaksi kemanusiaan.

Sejak awal permainan lagi, Stray sudah bermain-main dengan emosi kita. Ia ditambah lagi apabila semakin jauh kita bermain, dan kemuncaknya adalah ketika sampai ke penamat game ini.

Bukan setakat emosi seperti sedih dan gembira, bahkan komunikasi antara kucing dan robot-robot juga kebanyakannya melucukan.

Keseluruhan jalan cerita Stray membuatkan penulis rasa yang ia amat sesuai kalau dimasukkan ke dalam siri antologi Love, Death and Robots di Netflix.

Tiada Photo Mode

Satu sahaja kekecewaan yang timbul ketika bermain Stray — iaitu ketiadaan Photo Mode.

Konsep game dah menarik. Kucingnya comel. Persekitarannya pula cantik. Tapi sayang, kita tidak dapat merakam dunianya melalui Photo Mode.

Setiap sudut, lorong, bilik, bangunan, dan jalan yang dilalui, penulis sentiasa berimaginasi sekiranya ia dapat ditangkap melalui perspektif seekor kucing.

Untuk game yang sepelik dan seindah ini, ia sepatutnya membawakan Photo Mode sebagai salah satu nilai tambah. Dalam trend gaming masa kini, Photo Mode boleh dikategorikan sebagai antara medan promosi yang sungguh berkesan.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Pencinta kucing? Jangan fikir dua kali. Stray sememangnya BOLEH BELI. Korang akan masuk ke dalam sebuah alam yang selama ini korang idam-idamkan — menjadi seekor kucing dan menyelami apakah perasaannya melakukan segala aktiviti kucing. Bukan pencinta kucing juga boleh cuba game ini untuk menikmati keindahan cyberpunk yang disajikan.

Stray mungkin game yang BOLEH BLAH untuk korang yang kurang gemar dengan game yang lebih memfokuskan kepada eksplorasi. Ya, Stray ada membawakan beberapa aksi seperti berlari daripada makhluk asing kecil dan gameplay stealth. Tetapi tidak banyak. Ia lebih kepada berjalan-jalan sebagai seekor kucing yang mungkin akan membuatkan korang mengantuk.

+ Konsep game aneh
+ Kita jadi kucing
+ Dunia cyberpunk cantik
+ Bermain dengan emosi
+ Premis cerita mendalam
+ Gameplay ringkas

– Tiada Photo Mode
– Sesetengah babak mengantuk

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Game Bulanan PlayStation Plus Ogos 2022 – Yakuza, Tony Hawk, Little Nightmares, Unrailed

Sony Tak Nak Komen Sama Ada Harga PS5 Akan Naik, Jualan Kini Cecah 21.7 Juta