Korang sebagai anggota Strange Brigade pada era 30-an kena hapuskan makhluk mistik Mesir Purba dan lindungi dunia! Boleh Beli or Boleh Blah!? — kena baca sampai habis!
Strange Brigade merupakan sebuah game yang dibangunkan dan diterbitkan sendiri oleh Rebellion Developments, pembangun yang membawakan kepada kita siri game Sniper Elite.
Strange Brigade adalah game bergenre 3rd-person shooter yang mempunyai kedua-dua mode single-player dan co-op. Sekiranya korang tertanya, tidak, game ini tidak menawarkan splitscreen co-op, sebaliknya hanya menampilkan online co-op sahaja.
Apa Yang Ada?
Secara ringkasnya, mode yang menjadi fokus utama dalam game ini ialah Campaign. Mode ini korang boleh mainkan secara solo ataupun co-op bersama 3 orang pemain lain. Sebagai hos, korang boleh invite rakan-rakan atau boleh membuka mana-mana slot yang ada untuk membenarkan pemain luar masuk ke dalam lobi korang.
Campaign yang dimainkan itu, korang boleh teruskan pada bila-bila masa, bersama dengan mana-mana pemain yang korang co-op bersama.
Strange Brigade menampilkan sebuah pengalaman Campaign yang membawa kepada pertempuran dengan makhluk-makhluk mistik (fokus kepada mitos Mesir Purba), perangkap-perangkap berbahaya dan puzzle-puzzle yang menguji minda.
Premis Ceritanya
Apakah premis kisah yang dibawakan ke dalam Strange Brigade?
Kira-kira 4000 tahun yang lalu, Gurun Sahara yang terletak di Afrika telah diperintah oleh Seteki, seorang permaisuri yang sangat kejam dan tidak bertamadun. Rakyat yang tidak berpuas hati dengan pemerintahan Seteki telah menumbangkannya, dan kemudian telah mengebumikannya di dalam makam yang tidak dipahatkan sebarang nama.
Dijadikan cerita, pada tahun 1930, seorang arkeologis bernama Edgar Harbin telah menemui makam ini dan melepaskan roh permasuri ini. Sekumpulan ejen khas rahsia dari kerajaan kolonial British, digelar Strange Brigade, telah menyusup ke ekspedisi Edgar Harbin itu dalam usaha untuk menamatkan riwayat Seteki buat selama-lamanya.
Era 1930-an Yang Menarik
Game ini akan membawa korang menjadi sekumpulan pengembara yang menyelusuri pada zaman 1930-an di mana aktiviti-aktiviti mencari harta karun dan penemuan pelbagai objek mistik dilakukan.
Oleh itu, latar belakang, persekitaran, senjata, pakaian, dan lain-lain — semuanya mengikut zaman 30-an itu. Sesuatu yang agak jarang dibawakan oleh mana-mana game masakini. Sangat menarik!
Game Yang Ringkas
Perkataan pertama yang terlintas dalam fikiran apabila penulis ingin gambarkan Strange Brigade kepada korang ialan ringkas. Game ini merupakan sebuah game yang ringkas dari semua aspek yang ada dalam game ini.
Pertama sekali, sistem menembak dalam game ini sangat ringkas. Mudah untuk difahami, mudah untuk masuk ke dalam memori dengan apa senjata dan gajet yang ada. Mekanisme menembak juga adalah sangat mudah — makna kata, korang tidak perlu mengambil masa yang lama untuk memahirkan diri dengan senjata dan gajet yang ada kerana ia sangat mudah untuk dipelajari.
Slot Senjata Yang Kecil
Senjata, gajet dan abiliti yang dimiliki oleh setiap karakter hanya sedikit dan sememangnya ringkas. Setiap karakter akan mempunyai satu slot primary weapon (rifle, SMG, shotgun, dll), satu slot secondary weapon (pistol), dan satu slot grenade (dynamite, sticky grende, molotov, dll).
Selain itu, sepanjang perjalanan Campaign, pemain akan menemui satu kotak secara rawak yang di dalamnya ada ‘pickup weapon’ yang mana ia adalah senjata yang jauh lebih kuat berbanding primary weapon. Untuk membukanya, ia memerlukan 500 Coins, dan sekiranya diambil, satu lagi slot senjata akan ditambah ke dalam inventori, yang tidak mengganggu mana-mana slot senjata lain sedia ada.
Pickup Weapon ini juga tidak boleh ditambah pelurunya (ammo) dari mana-mana kotak peluru. Sekiranya peluru habis, pickup weapon ini akan hilang, dan pemain carilah pickup weapon yang lain.
Jalan Cerita Yang Juga… Ringkas
Seperti yang penulis katakan di atas tadi, Strange Brigade ialah sebuah game yang serba serbi ringkas. Dan jalan cerita yang dibawakan juga adalah agak ringkas.
Di awal permainan lagi, ia sudah terus masuk ke dalam jalan cerita utamanya tanpa melengahkan masa — iaitu mengarahkan pasukan Strange Brigade ini mencari ke mana hilangnya arkeologis yang bernama Edgar Harbin itu. Apakah benar roh Seteki telah dilepaskan? Jika benar, apakah kerosakan yang telah dilakukan? Jika benar juga, pasukan ini harus bertindak segera. Itulah kisahnya.
Sepanjang perjalanan cerita, korang akan bertemu dengan pelbagai musuh bermakhluk mistik, atau haiwan eksotik seperti kala jengking, perangkap-perangkap era Mesir Purba — yang mana semuanya menjadi halangan kepada pasukan Strange Brigade ini untuk menjejaki Edgar Harbin dan menghapuskan Seteki.
Jalan ceritanya mudah, pendek, tiada plot twist, tiada lore yang mendalam — sangat kasual untuk korang yang mahukan game-game yang santai.
Santai & Kasual
Gameplay yang ringkas ini bukanlah bermakna game ini terasa bosan. Ia tetap menghiburkan, dan mampu untuk menarik sesetengah pemain yang tidak gemar bermain game yang terlalu kompleks.
Strange Brigade sesuai untuk mereka yang mahukan game shooter yang santai dan kasual. Game ini tidak memerlukan korang pening untuk fikir nak guna senjata apa, abiliti apa, atau karakter apa kerana pilihan yang diberikan tidak banyak. Korang hanya perlu masuk ke dalam game dan terus rasai aksi menentang makhluk-makhluk ini.
Horde Lebih Menarik
Selain mode Campaign yang penulis ceritakan di atas, satu lagi mode yang ada ialah Horde. Dan mode Horde ini bagi penulis, lebih seronok untuk dimainkan berbanding Campaign.
Penulis rasakan yang Horde adalah mode yang lebih sesuai untuk menggambarkan bagaimana seronoknya bermain game ini, terutamanya untuk terus belajar tentang senjata, abiliti, gajet dan jenis musuh yang ada.
Mode Campaign mempunyai ‘pace’ yang lebih perlahan. Maksudnya, pemain perlu perlahan-lahan meneruskan perjalanan cerita, menyelesaikan puzzle, dan aktiviti-aktiviti lain sebelum pemain sampai untuk meng-unlock semua senjata, gajet, abiliti serta sebelum mengenali kesemua makhluk lawan yang ada dalam game ini.
Tetapi untuk mode Horde, iaitu mode dengan style ‘wave’, lebih menghiburkan untuk dimainkan disebabkan gameplay-nya yang lebih pantas. Dalam wave-wave yang awal, pemain akan berlawan dengan musuh-musuh yang lebih mudah. Dan semestinya, semakin tinggi wave yang berjaya dilepasi, semakin sukar musuh yang perlu ditempur.
Makna kata, dalam masa beberapa minit sahaja, kita bakal bertemu dengan segala jenis makhluk mistik yang ada dalam game ini, tanpa perlu memainkan Campaign yang agak lambat memperkenalkan setiap makhluk itu.
Bercakap tentang makhluk-makhluk ini, Strange Brigade menampilkan musuh yang bermacam, sama seperti game-game zombi yang kebanyakan ada di pasaran, tetapi menukarkan rekabentuknya atau ‘twist’ dengan tema Mesir Purba. Ada Mummy yang bergerak perlahan, yang memuntahkan cecair beracun, yang berlari pantas, yang berbadan besar dan menghempas, serta yang memanah dari jauh.
Satu kekurangan yang penulis rasakan semasa bermain mode Horde ini adalah kekurangan map yang ada. Buat masa sekarang, hanya satu map sahaja yang diberikan dalam Horde, jadi sekiranya bermain beberapa pusingan dalam Horde, korang mungkin akan sudah mula menghafal rekabentuk map, dan lebih cepat untuk bosan.
Selepas pelancaran, mungkin pihak Rebellion boleh menambah beberapa map lagi bagi menaikkan lagi minat pemain kepada mode ini.
Seperti Menonton Rancangan TV 30-an
Salah satu ‘art direction’ yang menarik dalam game ini ialah pelakon suara yang menceritakan naratif, iaitu suara yang menemani pemain sepanjang game ini berjalan. Tema dan style penyampaian naratif ini sangat berbeza kerana ia cuba membawa kita kepada era 30-an, dan kadang-kala seolah-olah terasa seperti menonton rancangan ketika zaman tersebut.
Ada juga bahagian di mana naratif ini agak melucukan. Misalnya, jika kita meninggalkan sahaja game tersebut tanpa menggerakkan apa-apa (away from keyboard – AFK), naratif ini akan secara berseloroh untuk kita menekan butang ‘pause’. “Tahukah korang, korang boleh tekan butang pause?”, seolah-olah begitu.
Kemudian, apabila kita menekan pause pula, naratif ini akan berkata, “oh ada orang datang ketuk pintu ke?” atau “oh nak pergi buka pintu ya?” atau “ya betul, dapatkan teh secawan pada waktu ini memang best”. Memang lucu untuk difikirkan sekiranya ia benar-benar apa yang sebenarnya kita sedang lakukan.
Kesimpulan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?
Bagi korang mencari game yang membawakan pilihan senjata, abiliti, gajet dan inventori yang tidak kompleks, dalam masa sama menawarkan aksi-aksi cemas dikejar Mummy-Mummy yang bermacam jenis, ini adalah game BOLEH BELI untuk korang. Ditambah dengan kehadiran co-op, pasti seronok bermain melawan makhluk mistik ini bersama rakan-rakan.
Namun, sekiranya korang mahukan gameplay yang lebih mencabar, pilihan senjata dan abiliti yang kompleks, jalan cerita yang panjang serta lore ceritanya yang mendalam, ini adalah game BOLEH BLAH untuk korang.
Strange Brigade kini telah dilancarkan pada hari ini untuk PC, PS4 dan Xbox One.
+ Gameplay yang ringkas dan santai
+ Gabungan 2 era, Mesir Purba dan 1930-an yang baik
+ Horde yang menghiburkan
+ Twist makhluk Mummy yang bermacam
+ Naratif yang mempunyai unsur lucu
– Jalan cerita yang tidak mendalam
– Gameplay kurang mencabar
– Map dalam Horde yang tidak banyak
Comments
Loading…