Berita yang paling hangat dibualkan oleh manusia seluruh dunia pada minggu ini adalah mengenai Terusaz Suez. Sebuah kapal gergasi telah terkandas di terusan yang terletak Mesir itu, menyebabkan perdangangan-perkapalan antara Asia dan Eropah terjejas.
Tersekatnya kapal ini telah memberi kesan kepada bermacam industri global, dan kelancaran pengedaran stok PS5 mungkin juga tidak terlepas daripadanya, lapor Business Insider (via Push Square).
Sebelum ini, Sony telahpun terkesan dengan kekurangan semikonduktor bagi meningkatkan produksi PS5. Walaupun semikonduktor lazimnya diangkut melalui penerbangan udara, Sony nampaknya akan turut terkesan dengan apa yang sedang berlaku di Terusan Suez.
Hal ini kerana kilang-kilang utama produksi PS5 terletak di Asia. Proses penghantaran konsol-konsol yang sudah siap ini akan melalui jalan laut dari Asia ke Eropah, dan sekiranya krisis ini berlarutan ia akan mengambil masa berbulan untuk stok-stok baharu PS5 untuk sampai ke pasaran Eropah.
Penulis tidaklah mempunyai ilmu tentang sistem logistik global malah jauh sekali pakar untuk mengulas proses produksi dan penghantaran PS5. Namun, daripada pemikiran logik penulis yang cetek ini, mungkin ini satu berita baik untuk peminat tegar PlayStation yang sekian lama menantikan PS5?
Proses penghantaran PS5 yang sudah siap hanya akan terjejas untuk pasaran Eropah kerana penghantaran dari Asia tidak dapat melalui Terusan Suez. Adakah ini bermakna proses penghantaran PS5 ke pasaran Asia tidak terjejas, malah mungkin akan lebih lancar kerana lambakan stok PS5 yang tidak dapat dihantar ke Eropah?
Ini hanyalah ulasan palatao penulis. Mungkin ada pembaca JomGaming yang lebih arif dalam perkara ini, boleh tinggalkan komen di bawah untuk memberikan sedikit gambaran tentang apakah kemungkinan yang boleh berlaku daripada krisis Terusan Suez ini.
Comments
Loading…