in , , ,

Starfield Eksklusif Xbox Agar Game Lebih Kemas, Wakil Bethesda Mohon Maaf Kepada Pemain PlayStation

Antara berita terbesar, tetapi tidak mengejutkan, dalam minggu E3 2021 adalah pengumuman Starfield sebagai eksklusif konsol di Xbox.

Dalam temubual-temubual susulan, wakil-wakil Bethesda telah memberikan penjelasan dan respon terhadap pengumuman ini.

Ketika bercakap kepada Telegraph, Pengarah Bethesda, Todd Howard berkata, “dengan memfokuskan kepada platform-platform itu, kamu akan dapat beralih ke arah untuk membikinnya dengan terbaik untuk sistem-sistem itu.”

“Ia sememangnya tentang fokus, ini apa yang saya boleh katakan,” tambah Howard. “Ia rasa lebih baik untuk meletakkan sesuatu di tahap tinggi, sudah tentu, tapi ia sangat baik apabila dapat fokus, dan nyatakan ini adalah apa yang kami sedang cipta, dan inilah tahapnya.”

Dalam kata lain, apa yang Howard maksudkan adalah membangunkan game-game hanya untuk PC dan Xbox tidak memerlukan mereka untuk menyesuaikannya dengan sistem PlayStation pula — seperti apa yang mereka sedang lakukan untuk Starfield.

Apabila ditanyakan tentang apakah beliau akan menyesal kerana tidak mengeluarkan lagi game-game Bethesda di PlayStation, Howard menjawab, “Baik, kami masih… saya hanya akan kata saya mahu semua orang berkemampuan untuk memainkannya dengan bergaya.”

Dalam satu temubual berasingan bersama Gamespot, Naib Presiden Kanan Pemasaran dan Komunikasi Bethesda, Pete Hines juga menyatakan sesuatu yang senada dengan Howard.

“Kamu takkan risau tentang ‘adakah ia akan berjalan dengan baik di sistem itu berbanding di sistem itu'”, kata Hines. “Kami tidak akan membangunkannya di sistem itu, jadi ia perlu berjalan dengan sebaik mungkin di sistem ini [Xbox Series], dan PC. Fokus lebih kecil sentiasa membantu.”

Hines turut menyebutkan bagaimana mereka membangunkan Deathloop, sebuah game eksklusif PS5 dan PC, yang diumumkan sebelum pengambil-alihan Bethesda oleh Microsoft.

Beliau berkata, “Apabila kami putuskan untuk mengadakan kerjasama dengan Sony untuk Deathloop dan bahawa game itu akan menjadi eksklusif untuk platform tersebut, pembangunannya lebih diperkemas kerana kami menyatakan ‘PS5 dan PC, itu apa yang kami fokuskan’.”

Beliau turut menyatakan yang walaupun ia memudahkan para pembangun game, ia memberi kekurangan kepada sesetengah pemilik platform.

“Saya sepenuhnya faham kalau kamu merungut atau marah atau apa saja. Semua itu adalah perasaan dan kekecewaan sebenar,” tambah Hines. “Bagaimana kamu mengatasinya? Saya tiada idea yang baik. Saya tidak akan kata, ‘ini adalah cara bagaimana kamu dapat tambahbaik dan rasa lebih baik’.”

“Saya tidak tahu bagaimana untuk mengurangkan ketakutan dan kebimbangan peminat PlayStation 5, selain hanya mampu berkata, ‘saya juga pemain PlayStation 5, dan saya telah main banyak game di konsol itu, dan ada banyak game lagi saya akan terus main di situ. Tapi kalau kamu nak main Starfield, hanya PC dan Xbox. Maaf. Apa yang saya boleh katakan adalah, saya mohon maaf.”

Stafield akan dilancarkan pada 11 November 2022 untuk PC dan Xbox Series, dan bakal hadir ke Xbox Game Pass pada hari pertama pelancaran.

Written by Faiz Tobeng

Abang ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES (tapi sekarang dah berpaling tadah ke FIFA).

Comments

JomKomen!

Loading…

0

Grand Theft Auto V Online Di PS3, Xbox 360 Akan Ditutup Pada Disember Ini

Overcooked 2, Hell is Other Demons Kini Boleh Diambil Secara Percuma Di Epic Games Store