Star Wars: Knights of the Old Republic merupakan satu siri game Star Wars yang mempunyai peminatnya yang ramai, namun sudah sekian lama menyepi.
Walau bagaimanapun, kita mungkin akan dapat mendengar berita baharu mengenainya, jika laporan yang baru muncul ini adalah sahih.
Satu laporan baharu telah timbul mengatakan siri game Star Wars: Knights of the Old Republic sedang dihidupkan semula oleh Lucasfilm Games dan Disney, namun ia dikhabarkan dibikin tanpa penglibatan EA dan BioWare, iaitu studio yang bertanggungjawab membangunkan siri tersebut sebelum ini.
Khabar ini hadir dari Bespin Bulletin, orang dalam industri yang terkenal membawakan berita-berita berkaitan Star Wars, lapor VGC.
“Antara dapatan saya, saya dengar terdapat satu projek Knights of the Old Republic sedang dalam pembangunan,” kata Bespin Bulletin. “Saya telah bercakap dengan beberapa orang, dan saya juga dapat tahu yang Jason Schreier [wartawan Bloomberg] berkata game itu bukan bersama EA, dan kita tidak akan dapat teka studio mana yang sedang mencipta game itu.”
Laporan ini turut menyatakan yang satu ‘game bounty hunter Star Wars’ juga sedang dalam pembikinan di satu tempat dan EA pula sedang membangunkan satu lagi game Star Wars yang ‘lebih kecil’.
“Saya tak tahu sama ada game bounty hunter itu bersama mereka [EA] atau bersama Ubisoft. Tapi ya, EA sedang mencipta sesuatu dan ada satu lagi game [Star Wars] yang belum diumumkan oleh EA, yang mana saya tiada idea ia sebenarnya apa. Saya tak rasa ianya adalah Battlefront 3.”
Walaupun tiada butiran lanjut yang didedahkan, kita boleh katakan yang khabar ini mungkin ada asasnya memandangkan semua game Star Wars kini berada bawah Lucasfilm Games, yang mana mereka akan mengembangkan francais game Star Wars kepada lebih banyak studio selain EA.
Antara pengumuman terbesar setakat ini ialah Ubisoft kini sedang membangunkan sebuah game open-world Star Wars.
JomBaca: Ubisoft Yakin Mereka Boleh Fokus Bangunkan 2 Game Dari Francais Besar – Star Wars Dan Avatar
Seperti biasa, selagi ia masih dalam status khabar angin, jangan terlalu meletakkan harapan tinggi. Sama-sama kita nantikan sebarang pengumuman rasmi mengenai perkara ini.
Comments
Loading…