Dalam dunia ini, apa yang kita lakukan pasti akan dipersoalkan. Dan pembangunan game Star Wars: Jedi Fallen Order juga tidak dapat lari daripada dipersoalkan tentang apa yang mereka telah sajikan setakat ini.

Ketika memperkenalkan game ini, ada sesetengah peminat yang menanyakan mengapa karakter lelaki yang dipilih sebagai protagonis —  mengapa tidak wanita?

Jawapan yang diberikan Respawn Entertainment sangat mudah. Memilih karakter lelaki, iaitu Cal Kestis, sebagai watak utama disebabkan watak dalam filem trilogi sekuel Star Wars sudahpun menggunakan watak wanita, iaitu Rey.

Ketika bercakap kepada Game Informer, pengarah game, Stig Asmussen telah mendedahkan perkara ini dengan berkata:

“Pada ketika itu [trilogi sekuel Star Wars baru dikeluarkan], Rey menjadi perhatian utama dalam Star Wars, jadi ia lebih masuk akal untuk mempunyai seorang protagonis lelaki.”

Asmussen turut mendedahkan bahawa beliau sendiri ingin melihat karakter makhluk asing menjadi watak utama, namun pasukan mereka memutuskan untuk menghalangnya. Sebabnya ialah kerana mereka mahu para pemain mewujudkan hubungan sesama manusia dengan karakter dan tidak terasa terasing dengan karakter tersebut.

Star Wars: Jedi Fallen Order akan dilancarkan pada 15 November ini untuk PC, PS4 dan Xbox One.

JomKomen!