Star Wars Jedi: Fallen Order merupakan game berlesen Star Wars ketiga yang diterbitkan oleh Electronic Arts (EA), dan game pertama yang dibangunkan Respawn Entertainment, setelah dua game pertama yang me-reboot Battlefront dibangunkan oleh DICE.

Respawn memegang tanggungjawab yang begitu besar kerana dua game Battlefront terdahulu mendapat kritikan yang cukup teruk — dari kandungan yang sedikit, single-player hambar, sehinggalah kepada yang memberikan impak paling besar iaitu kontroversi loot box. Memberatkan bahu Respawn lagi apabila studio ini telah membangunkan dua game yang cukup mantap, iaitu siri Titanfall dan Apex Legends, maka, pasti para peminat meletakkan harapan yang tinggi kepada mereka apabila mengeluarkan game seterusnya.

Mampukah Respawn memikul tanggungjawab dan menyampaikan sesuatu berharga kepada peminat Star Wars yang telah sekian lama menunggu sebuah game Star Wars yang bagus? Jom kita ikuti reviu ini!

Apa Yang Berlaku?

Star Wars Jedi: Fallen Order merupakan sebuah game single-player yang memfokuskan kepada penceritaan. Ceritanya berlaku lima tahun selepas pembantaian Jedi atas tuduhan kononnya membelot kepada Republic, dikenali sebagai Jedi Purge. Tak perlu cerita panjanglah tentang kisah ini kerana peminat setia Star Wars pastinya mengetahui apakah yang berlaku kerana ia merupakan antara turning point yang paling penting dalam universe Star Wars.

Protagonis game ini, Cal Kestis merupakan salah seorang Padawan yang terselamat daripada malapetaka Jedi Purge itu. Seperti mana-mana serpihan-serpihan Jedi atau Padawan yang lain yang boleh dibilang dengan jari, Cal semestinya menyembunyikan diri kerana tidak mahu dikesan oleh konco-konco Empire.

Pembukaan Yang Epik

Antagonis utama dalam game ini ialah Second Sister, ketua Inquisitor, sebuah kumpulan yang ditugaskan oleh Darth Sidious untuk menjejak, menangkap dan akhirnya menghapuskan sama sekali sisa baki Jedi yang terselamat. Inquisitor meneruskan misi mereka dengan melakukan pemeriksaan di Bracca — sebuah planet di mana Cal menyembunyikan diri.

Lima tahun lamanya Cal mendiamkan diri dan tidak menggunakan segala ilmu Jedi yang dipelajarinya, akhirnya rahsia beliau terdedah dalam satu situasi yang tidak dapat dielakkan apabila telah bertembung dengan Inquisitor.

Maka pada ketika inilah Star Wars Jedi: Fallen Order membuka tirainya dengan intro yang cukup epik dan memukau. Cubaan Cal untuk melarikan diri dari Inquisitor setelah tembelangnya pecah telah menyajikan satu intro yang cukup mendebarkan.

Intro ini membawakan set-piece berskala yang bagus dan besar umpama dalam siri game Uncharted — lebih-lebih lagi apabila ada babak panjat-memanjat, menggelongsor (slide) dalam kelajuan yang tinggi, serta beraksi di atas kereta api yang bergerak.

Eksplorasi

Selepas pembukaan yang mantap itu, maka bermulalah gameplay utama Star Wars Jedi: Fallen Order. Game ini bukanlah sebuah game open-world, tapi bolehlah dikatakan seperti semi-open-world. Kalau boleh dibandingkan, ia umpama God of War (2018) yang mana ia juga bukanlah open-world yang terlalu luas, tetapi tetap memberikan sedikit kebebasan untuk bereksplorasi.

Dalam usaha untuk mengingati semula ilmu Jedi (kerana sudah terlalu lama menyembunyikan diri), Cal perlu menjelajah ke beberapa planet. Selain misi peribadinya itu, Cal turut mempunyai misi yang lebih besar iaitu untuk mengembalikan semula Jedi Order selepas bertemu dengan Cere, seorang bekas Jedi yang telah lama memutuskan hubungannya dengan Force. Selain Cere, seorang lagi watak penting yang menjadi peneman kepada Cal ialah Greez, kapten kapal kelakar yang membawa mereka untuk menjelajah dari satu planet ke planet lain.

Gabungan Banyak Game

Kalau nak sembang tentang keaslian (originality), sememangnya game ini banyak mengambil inspirasi daripada game masakini yang lain, terutamanya dari aspek kombat dan gameplay. Dan inilah sebenarnya yang diperlukan untuk sebuah game Star Wars yang kekurangan dari segi itu sejak beberapa tahun yang lalu.

Sekiranya ingin menamakan dua game yang penulis rasakan telah dimasukkan ke dalam game ini, ianya adalah siri game Uncharted dan God of War (2018). Babak selang-seli antara gameplay dan sinematik, serta mechanics memanjat banyak mengambil inspirasi dari Uncharted 4. Manakala, ekplorasi, permainan lightsaber, kombat, rekaan level, puzzle yang menguji minda, rekaan semi-open-world dan perlawanan bos pula banyak mengambil inspirasi daripada God of War.

Pengambilan banyak inspirasi ini bukanlah lesen untuk mengatakan bahawa Jedi: Fallen Order tidak mempunyai identiti. Tapi itulah hakikat dalam dunia video game ini, yang mana untuk sesebuah game itu mendapat tempat di hati para pemain, ia haruslah mengadaptasi dan mengadunkan gameplay dengan cukup baik — dan inilah yang terjadi dalam Jedi: Fallen Order. Ia menggabungkan kelebihan dari Uncharted dan God of War dalam dunia dan penceritaan Star Wars yang cukup mantap.

Jalan Cerita Terbaik

Jedi: Fallen Order telah menyajikan sebuah kisah dalam universe Star Wars yang sangat, sangat baik. Ia telah membawakan satu sisi lain dalam dunia Star Wars yang jarang kita dapat saksikan dalam filem.

Seperti yang disebutkan di atas, Jedi: Fallen Order bermula pada lima tahun selepas Jedi Purge, yang mana ia turut menandakan bermulanya fasa perubahan dari pemerintahan Republic kepada Empire. Game ini telah memperlihatkan bagaimana ketakutan sentiasa menyelubungi seluruh Galaksi, terutamanya dapat dilihat melalui Cal dan rakan-rakannya.

Apa yang penulis paling gemar melalui penceritaan dalam game ini ialah gabungan jalan cerita dan gameplay membuatkan pemain meresap ke dalam diri Cal. Cal yang lima tahun tidak menggunakan The Force telah ‘berkarat’ dan beliau terpaksa mengingati dan belajar satu per satu semula. Ini telah membuatkan juga pemain merasa belajar sesuatu yang baru sebagai seorang Jedi.

Dalam kata lain, ia memaparkan sisi seorang Jedi yang tidak over-powered dan lebih masuk akal, tidak seperti protagonis yang sering ditampilkan dalam filem, umpama Rey yang terus menjadi handal tanpa sebarang latihan. Dan itu membuktikan bahawa penulisan game ini adalah cukup bagus.

Game ini turut bijak dalam memainkan emosi serta permainan jiwa Dark Side yang sering menghantui setiap Jedi. Terdapat beberapa babak yang sangat immersive, mengajar seterusnya menyedarkan kita tentang betapa bahayanya untuk terjebak ke dalam kancah Dark Side yang penuh dengan onak duri dan dugaan yang apabila sekali sudah terpengaruh, ia akan terus terbenam ke dalam sanubari.

Penamat Yang Menjadi Permulaan

Terus terang penulis katakan, penulis tidak pernah merasa terlalu teruja menantikan sekuelnya apabila sampai ke penamat (ending) dalam mana-mana game seperti mana ia disajikan dalam Jedi: Fallen Order. Sepanjang game ini berlangsung, ia dihamparkan dengan pelbagai emosi — ada sedih, ada marah, ada tenang — tetapi penamatnya benar-benar membuatkan setiap peminat tegar Star Wars merasa sangat teruja.

Apa yang paling mengujakan adalah di sebalik kesemua ability yang telah di-unlock sebelum bertemu dengan bos terakhir, penamatnya akan membuatkan pemain merasa Cal masih seorang Jedi yang mentah. Ia membuatkan segala pelajaran yang ditimba sepanjang game ini tidaklah sehebat mana kerana penamatnya yang sungguh bijak.

Kombat Yang Puas

Tanpa sedar, gameplay kombat, yang berteraskan lightsaber dan Force, telah mengajarkan penulis untuk lebih memahami situasi Order 66 yang pernah ditempuhi oleh para Jedi.

Sejak kecil, penulis sering menganggap bahawa Jedi merupakan satu kumpulan yang seakan adiwira yang mustahil untuk dikalahkan. Semasa kecil, penulis kadang-kala terfikir, mengapa Jedi begitu mudah tewas dalam Order 66, dikalahkan oleh Clone Trooper yang tidak memiliki lightsaber mahupun mengawal Force.

Tetapi, gameplay kombat yang cukup mencabar dan mendalam yang disajikan dalam Jedi: Fallen Order telah memberikan satu tamparan tepat ke muka penulis seterusnya menyedarkan bahawa di sebalik memiliki lightsaber dan Force, ia bukanlah mudah untuk mengawal situasi apabila sedang dihimpit oleh 5 Trooper yang menembak blaster tanpa henti, 3 roket yang ditembak serentak, ditambah lagi pula Trooper elit lain yang mempunyai senjata jarak dekat yang bersifat lebih membunuh.

Satu pengalaman yang sungguh memuaskan dari segi gameplay — satu perjalanan dari seorang Jedi yang bersembunyi sehinggalah kepada seseorang yang bercita-cita tinggi untuk mengembalikan semula Jedi Order. Mengelak, menepis, memantulkan semula, mengeratkan, menarik serta menolak musuh, bertarung dengan bos yang sangat kental dan liat, mengubahsuai lightsaber sendiri, memiliki teman droid yang setia, melompat setinggi langit, memanjat ke sana ke mari, berenang dan menyelam, serta jatuh dari kawasan tinggi tanpa sebarang kecederaan dalam game ini benar-benar membuatkan merasa seperti seorang Jedi.

Glitch

Bermain dan menghabiskan game ini dalam enam hari pertama, tiadalah sebarang bug atau glitch yang menjengkelkan. Penulis hanya menemui sekali glitch suara, yang mana ia tidak mengeluarkan sebarang bunyi suara ketika bermain. Namun ia tidaklah game-breaking kerana apabila tutup aplikasi dan buka semula, glitch ini pun hilang.

Walau bagaimanapun, frame rate jatuh agak kerap dalam game ini, terutamanya apabila ingin bertukar dari babak sinematik ke gameplay, atau baru sampai ke kawasan baru. Penulis mainkan di PS4 biasa, mungkin prestasinya lebih baik dari di PS4 Pro atau PC yang berspesifikasi tinggi.

Keputusan – BOLEH BELI or BOLEH BLAH!?

Kepada peminat tegar Star Wars, ‘berdosa’lah kalau tidak bermain game ini. Jedi: Fallen Order menyajikan sebuah penceritaan universe Star Wars yang sangat bagus, disulamkan dengan gameplay berinspirasikan dari game lain yang lebih moden. Sememangnya BOLEH BELI!

Walau bagaimanapun, untuk seseorang yang tidak meminati Star Wars pastinya sukar untuk menyelami game ini kerana korang mungkin tidak akan fahami apa yang ingin cuba disampaikan. Mahukan game yang mudah untuk difahami dan korang bukan peminat Star Wars, game ini BOLEH BLAH.

+ Menghidupkan semula harapan untuk lebih banyak game Star Wars yang bagus
+ Pembukaan yang epik
+ Sisi jalan cerita yang berbeza
+ Merasa seperti seorang Jedi yang sebenar
+ Gameplay kombat memuaskan
+ Lebih memahami situasi Order 66
+ Menggabungkan pelbagai game secara bijak
+ Penamat yang sungguh mengujakan
+ Watak sampingan yang bermakna

Frame rate kerap jatuh

JomKomen!