2022 mungkin sudah boleh kita gelarkan sebagai tahun yang penuh dengan kejutan pengambil-alihan yang tidak disangka-sangka.
Terbaharu, Square Enix telah mejual tiga buah studio mereka yang cukup besar, iaitu Crystal Dynamics, Eidos-Montréal, dan Square Enix Montréal kepada Embracer Group dengan nilai berharga USD300 juta (~RM1.3 bilion).
Penjualan ini termasuklah harta intelek (IP) game-game yang cukup popular, iaitu Tomb Raider, Deus Ex, Thief, Legacy of Kain dan lebih daripada 50 game katalog terdahulu dari Square Enix.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan, Embracer mendedahkan yang francais Tomb Raider dan Deus Ex masing-masing telah berjaya terjual kira-kira 88 juta unit dan 12 juta unit sepanjang zaman. Embracer menegaskan yang mereka “melihat satu peluang untuk melabur ke dalam francais-francais ini [Tomb Raider dan Deus Ex], serta IP tambahan yang diambil-alih seperti Legacy of Kain, Thief dan lain-lain francais asli.”
Pengambil-alihan ini juga menandakan game Tomb Raider seterusnya, yang sedang dibangunkan dalam Unreal Engine, bakal diterbitkan Embracer.
Dalam satu kenyataan berasingan, lapor VGC, Square Enix menyatakan yang mereka bukanlah mahu menjauhkan diri daripada pembangunan game barat, seperti yang ramai salah anggap.
Sebaliknya, Square Enix menegaskan yang mereka akan terus menerbitkan beberapa francais lain seperti Just Cause, Outriders dan Life is Strange. Kenyataan ini sekaligus mengesahkan yang mereka masih memiliki IP-IP tersebut.
Ketika artikel ini ditulis, kedua-dua Embracer dan Square Enix masih belum mendedahkan apakah “50 game” tambahan yang telah bertukar tangan pemilik itu. Para peminat sudah mula tertanya-tanya siapakah pemilik kepada francais-francais besar lain seperti Sleeping Dogs, Soul Reaver, dan Blood Omen.
Bagi yang masih samar-samar, Embracer Group merupakan syarikat induk kepada pelbagai studio indie yang telah membangunkan banyak game menarik. Antara studio di bawahnya adalah Neon Giant (The Ascent), Coffee Stain Studios (Goat Simulator), Ghost Ship Games (Deep Rock Galactic), Gearbox Software (siri Borderlands), Deep Silver (siri Saint Row), Flying Wild Hog (Trek to Yomi), Aspyr (Star Wars: Knights of the Old Republic Remake), Saber Interactive (siri Crysis), dan banyak lagi.
Kini, dengan sekian banyak studio di bawahnya, mereka telah menambah tiga lagi, iaitu Crystal Dynamics, Eidos-Montréal, dan Square Enix Montréal.
Comments
Loading…