Sempena 14 Februari, hari meraikan kasih sayang, inilah kisah cinta paling agung pada pendapat penulis.

Tanggal 11 Februari 2019, genap sudah 20 tahun alkisah Final Fantasy VIII (FF8) yang menampilkan kisah cinta teragung antara Squall dan Rinoa.

Final Fantasy VIII – Karya Menakjubkan Pada Zamannya

Siri ke-8 Final Fantasy ini muncul pada tahun 1999 dan dibangunkan oleh SquareSoft (sekarang dikenali sebagai Square Enix) memperkenalkan permulaan baru dalam era dunia RPG (role-playing games) dari segi teknikal, bukan sahaja dari grafik dan visual malah, game pertama menampilkan karakter berskala manusia sebenar tidak seperti karakter bersaiz mini.

Karakter-karakter FF8 ini direka oleh Tetsuya Nomura dan Yusuke Naora selaku pengarah seni menggunakan teknik motion capture di dalam full-motion video (FMV) mereka iaitu teknologi yang amat baru pada masa itu yang akhirnya digunakan untuk filem animasi tampak realistik, Final Fantasy: The Spirits Within.

Final Fantasy 8 juga memperkenalkan lagu tema yang menggunakan vokal pertama kali dalam sejarah francais ini melalui lagu Eyes On Me ciptaan komposer legenda Nobuo Uematsu dan dinyanyikan oleh penyanyi popular Hong Kong ketika itu iaitu Faye Wong.

Lagu ini adalah antara kerjasama pertama luar biasa kerana ketika itu, Jepun memang terkenal dengan sifat mereka yang tidak membenarkan pihak luar masuk campur di dalam hasil kreatif mereka tetapi Uematsu menegaskan lagu ini adalah permulaan utama untuk memperkenalkan siri Final Fantasy di sudut mata peminat game seluruh dunia khususnya dan ia berjaya membuktikannya dengan jualan lebih 400,000 unit untuk lagu single Eyes On Me, sekaligus menyaksikan sejarah tercipta sebagai jualan tertinggi lagu bertemakan videogame sepanjang zaman.

Legenda Cinta Diabadikan Di Logo FF8

Adakah ianya suratan atau kebetulan, Final Fantasy 8 dikeluarkan 3 hari sebelum menjelang Hari Valentine dengan game yang sangat berlainan temanya berbanding siri Final Fantasy sebelumnya. Final Fantasy 8 menumpukan tema ke arah kisah cinta antara Squall Leonhart dan Rinoa Heartilly yang penuh konflik dan warna warni.

Final Fantasy 8 merupakan antara game terbaik menggunakan tema cinta di dalam naratif dan berjaya menyeimbangkan misi asal game ini sendiri untuk menewaskan ahli sihir Ultimecia. Kisah percintaan mereka sangat bermakna sehingga diabadikan di dalam logo Final Fantasy 8 itu sendiri yang direka oleh Yoshitaka Amano, pelukis terkenal seantero Jepun dan pereka konsep asal karekter siri Final Fantasy sebelumnya.

[HATI-HATI: SPOILER BAGI YANG BELUM BERMAIN FINAL FANTASY 8]

Pertembungan Dua Dunia – Gabungan Pendiam dan Periang

Dari kiri: Seifer, Rinoa dan Squall

Squall Leonhart dan Rinoa Heartilly – karakter-karakter utama FF8 ini adalah dua insan dari dunia yang sangat berlainan, dah macam klise pada awal permulaan cerita. Squall ialah seorang pemendam dan suka menyendiri dan juga pelajar cemerlang Balamb Garden serta pengendali senjata paling susah dikawal iaitu Gunblade, dikenali oleh rakan-rakan Balamb kerana ketegasan, karisma dan sikapnya yang suka terawang-awang dalam dunianya sendiri.

Manakala Rinoa Heartilly, anak kepada General Caraway dari republik Galbadia dan ketua pemberontak ‘The Forest Owl’ untuk membebaskan cengkaman bandar Timber dari kekejaman tentera Galbadia. Rinoa merupakan seorang suka bersosial dan bebas meluahkan perasaannya. Namun, Squall dan Rinoa berkongsi suatu semangat yang sama. Kedua-duanya yang sangat keras hati dan mengambil berat pada orang-orang di sekelilingnya.

Permulaan cerita mereka bukanlah kisah cinta pandang pertama. Perjumpaan pertama mereka di lantai tari agak mengujakan Squall ketika mereka bertentang mata buat pertama kali dengan gaya berani Rinoa mengajak Squall menari selepas melihat tahi bintang di langit. Perasaan suka sama suka itu tidak bertahan lama bila Squall mendapat tahu Rinoa berada di Balamb Garden untuk berjumpa dengan musuh ketatnya Seifer, yang merupakan buah hati Rinoa untuk berjumpa dengan pengetua Cid dalam meminta bantuan dalam aktiviti pemberontakan mereka.

Squall dan rakan misinya dihantar menolong Rinoa dan kumpulannya tetapi misi ini sangat menjengkelkan Squall dan menganggap Rinoa seorang gadis yang manja dan tidak ambil peduli tentang perjuangannya. Rinoa berasa kecil hati dengan Squall dan menganggapnya sebagai seorang yang kejam dan tidak ada hati dan perasaan.

Squall ada sebabnya kenapa dia seorang pendiam

Sepanjang perjalanan naratif, Squall tidak boleh berenggang dengan Rinoa kerana sudah tertakluk dalam kontrak antara Balamb Garden dan The Forest Owl untuk bekerjasama sehingga kemerdekaan Timber dicapai. Jadi, Squall tiada pilihan untuk menurut arahan dari pihak Rinoa sebagai klien terbesar Balamb Garden.

Namun, di sepanjang perjalanan cerita, pelbagai konflik timbul. Kemunculan ahli sihir Edea mempengaruhi Republik Galbadia berjaya menculik Rinoa dan hampir membunuhnya tetapi berjaya diselamatkan oleh Squall dan rakan-rakannya. Karisma kepimpinan Squall sangat menyerlah bermula masa itu walaupun dia masih lagi bersikap dingin dengan rakan-rakan misinya. Meskipun kawan-kawannya sudah masak dengan perangai Squall, tapi Rinoa masih lagi menganggap Squall agak kurang ajar berdasarkan perangainya itu.

Jejaka Yang Melindungi Hatinya Nan Satu

Squall menggunakan Gunblade yang mempunyai lambang Griever iaitu bermotifkan singa. Lambang itu juga tertera di cincin Squall yang dijadikan kalung oleh Rinoa

Rinoa dapat melihat sisi Squall yang sangat mengambil berat pada rakannya apabila Squall dipertemukan kembali dengan rakan misinya Selphie yang terpisah di tengah-tengah misi menyelamatkan sekolah mereka. Squall meluahkan perasaan lega kerana semua anak buahnya selamat dan Rinoa menganggap Squall tidaklah seteruk seperti yang disangka.

Squall bersetuju untuk membantu Selphie menyambut pesta tahunan sekolah dan menyebabkan semua kawan-kawannya yang lain terkejut dengan keputusan Squall tetapi mereka faham Squall membuat semua itu untuk menceriakan Selphie setelah cawangan Trabia Garden dimusnahkan oleh ahli sihir Edea. Rinoa cuba berbaik dengan Squall tetapi Squall masih lagi jauh hati dengan tuduhan melulu Rinoa lalu menyebabkan proses untuk berbaik-baik tidaklah semudah yang disangkakan.

Di pesta tahunan sekolah, rakan-rakan Squall membuat komplot untuk Rinoa dan Squall berbaik semula. Hubungan kembali tegang apabila Rinoa menegur Squall supaya lebih terbuka untuk berkongsi apa-apa perkara merunsingkan bersama rakan-rakan lain tapi bukan mudah untuk Squall untuk berbuat begitu kerana sifatnya yang tidak suka bergantung dengan orang lain dan menyebabkan Rinoa merajuk. Squall cuba untuk melarikan diri daripada meluahkan perasaannya kerana kisah silam Squall yang amat bergantung kasih pada kakak angkatnya, Ellone tiba-tiba menghilangkan diri.

Squall bertemu dengan Squall muda

Ini menyebabkan dia patah hati dan menyalahkan dirinya sendiri yang terlalu bergantung kepada Ellone untuk menyayanginya kembali. Mulai hari itu, dia berjanji untuk tidak menyayangi, mengambil berat atau bergantung kepada sesiapa dan menjadikan dirinya yang sekarang yang tidak mementingkan perasaan orang lain. Namun, kemunculan semula Ellone bersama White SeeD agak melegakannya dan menjawab serba sedikit persoalan kenapa Ellone meninggalkannya.

Squall dilantik menjadi Ketua Balamb Garden dan sangat sibuk sehingga dia terlupa tentang kontraknya bersama Rinoa iaitu menumpukan fokus untuk menewaskan Edea. Apa yang mengejutkan Squall, dia mengetahui Edea adalah wanita yang pernah menjaganya dan rakan-rakannya di rumah anak yatim Edea’s House tetapi Edea telah dirasuk oleh ahli sihir dari masa hadapan bernama Ultimecia. Sekali lagi, Rinoa kagum dengan keberanian Squall untuk terus menewaskan Ultimecia walaupun dia tahu perjuangan kali ini akan melibatkan pengorbanan orang yang dia sayangi.

Ketika dalam perjalanan ke Edea’s House untuk mencari jawapan, kapal mereka dijumpai oleh tentera Galbadia dan telah diserang. Dalam keadaan kelam kabut, Zell, rakan Squall membuat permintaan pelik untuk meminjam cincin kegemarannya.  Squall tiada masa untuk bertanyakan tujuan sebenar Zell meminjam cincinnya kembali memimpin rakan-rakan Balamb yang lain menewaskan tentera Galbadia dan menceroboh masuk Galbadia Garden yang ketika itu di bawah arahan Seifer yang dirasuk oleh ahli sihir Edea. Rinoa mengalami kemalangan dan hampir terjatuh dari kapal udara Balamb. Squall dihentak dilema antara kedudukannya sebagai ketua dan Rinoa. Dia tidak boleh mengambil keputusan peribadi yang mementingkan dirinya sendiri lalu membuat keputusan untuk tidak pedulikan Rinoa.

Rinoa berpaut di hujung kapal Balamb

Rakan-rakan Squall marah atas tindakannya dan berkeras menyuruh Squall menyelamatkan Rinoa. Atas kerjasama semua orang yang kembali bersemangat mendengar ucapan ketua mereka, Squall berjaya menyelamatkan Rinoa dan mengalahkan tentera Galbadia. Rinoa mengucapkan terima kasih pada Squall setelah diselamatkan. Squall beri alasan dia cuma selamatkan Rinoa sebab Rinoa masih lagi klien terbesar Balamb Garden walaupun dalam hatinya dia sangat bimbangkannya.

Rinoa dengan gembiranya menunjukkan cincin ‘Griever’ yang diberikan oleh Squall kepada Zell sebentar tadi terikat kemas di rantai leher Rinoa. Rupa-rupanya ini semua rancangan Rinoa yang mahukan cincin tu. Squall yang di dalam hati terasa macam nak bunuh kawan dia cuma mampu berkata, “jagalah cincin tu baik-baik” sebab itu cincin kegemarannya dan masih berasa hairan dengan kesungguhan kawan-kawannya cuba mendekatkan dia bersama Rinoa. Ketika mereka menyelinap masuk ke kapal udara Galbadia, mereka berjaya menewaskan Ahli Sihir Edea, tetapi Ultimecia berjaya keluar dari Edea dan merasuk Rinoa, menyebabkan Rinoa berada di dalam koma.

Pagi Yang Gelap…

Squall sangat tertekan dengan keadaan Rinoa dan kecewa dengan dirinya sendiri kerana sekali lagi hampir kehilangan orang yang dia sayangi terpaksa menyembunyikan perasaannya kerana sebagai ketua Balamb Garden, dia tidak boleh menunjukkan dirinya lemah. Tidak semena-mena dia sangat rindukan suara Rinoa dan keletahnya yang sangat menjengkelkan dan sangat menyenangkan hatinya. Edea mencadangkan satu-satunya orang yang boleh menyelamatkan Rinoa ialah Ellone yang kini berada di Esthar, negara yang sukar dilalui dari udara kerana sifat negara prejudis dan tidak mempercayai negara lain.

Terdesak dan tidak mahu menyusahkan orang lain, Squall membuat pilihan untuk meninggalkan semua dan rakan-rakannya di Balamb Garden dan mendukung Rinoa yang sedang berjalan kaki ke Esthar melalui jalan darat terdekat di Great Salt Lake. Dalam perjalanannya, Squall meluahkan segala perasaannya kepada Rinoa yang tidak sedarkan diri. Dia mengakui dia seorang yang pengecut dan takut dengan tanggapan orang lain terhadapnya. Cuma Rinoa sahaja yang berjaya melembutkan hatinya. Di akhir jalan, Squall ditahan oleh rakan-rakannya dan Edea untuk turut serta dalam misi Squall untuk menyelamatkan Rinoa.

Squall bertemu Ellone di Lunar Base

Di sana, Squall dan Rinoa dibawa ke angkasa lepas di Lunar Base untuk bertemu Ellone tetapi Rinoa dirasuki Ultimecia berjaya merampas sut angkasa dan keluar dari Lunar Base untuk membuka Adel’s Tomb Seal yang melepaskan ahli sihir Adel, seorang ahli sihir kejam yang pernah memerintah Esthar dan raksasanya kembali ke Esthar. Ketika semua penghuni Lunar Base melarikan diri ke bumi dengan pod penyelamat, Squall dengan bantuan Ellone yang mempunyai kuasa psikik, berjaya mengesan lokasi Rinoa yang hilang di angkasa lepas dengan tangki oksigen yang hampir kosong.

Rinoa tersedar dari pengsan selepas mendengar suara Squall memanggilnya. Rinoa membuka matanya dan melihat cincin pemberian Squall terapung di hadapannya dan ketika itu Squall berjaya mendapatkan Rinoa. Dengan keadaan oksigen yang yang hampir habis, Squall amat bertuah menjumpai kapal angkasa Ragnarok yang ditinggalkan selepas misi mengurung ahli sihir Adel di Lunar Base.

Dalam perjalanan mereka kembali ke Esthar, Squall berkongsi perasaan mengenai kebimbangannya tentang kehilangan orang yang tersayang. Rinoa ketika berada di riba Squall mengingatkannya yang dia sangat selesa, tersangat gembira, tersangat benci dan tersangat kecewa dengan Squall. Seperti biasa, Squall berlagak seperti biasa dan berkata dia bukan ibu Rinoa untuk Rinoa duduk selesa di atas ribanya dan menyuruh Rinoa duduk di sebelahnya.

Squall menyelamatkan Rinoa di Sorceress Memorial

Squall mendapat panggilan mengejut dari pihak Hyne Descendent di Esthar memberitahu Rinoa perlu dikurung di Sorceress Memorial apabila tiba di Esthar kerana Rinoa telah dirasuk oleh Ultimecia dan dia boleh mengambil alih tubuh Rinoa pada bila-bila masa. Rinoa ketakutan mendengar berita itu dan Squall hanya mampu memeluknya erat untuk menenangkannya. Jejaka itu juga tidak mahu menerima kenyataan setelah dia begitu merinduinya dan bersusah payah menyelamatkannya, kini Rinoa terlepas kembali dari genggamannya.

Setibanya di Sorceress Memorial, Squall merayu pada Rinoa supaya jangan meninggalkannya tetapi Rinoa bertegas dengan keputusannya. Squall merasa amat kecewa dan berjumpa kembali dengan rakan-rakannya. Setelah mendengar cerita dari Squall mengenai Rinoa, rakan-rakannya amat marah dengan keputusan Squall meninggalkan Rinoa begitu sahaja. Selphie mengambil alih kapal udara Ragnarok dan membawa Squall bersama rakan-rakan lain untuk menyatukan kembali Rinoa kepada Squall. Rinoa berjaya diselamatkan dan Squall merangkulnya erat serta enggan melepaskannya kali ini walaupun dia tahu Rinoa adalah seorang ahli sihir iaitu satu-satunya musuh utama pasukan SeeD dan ancaman pada dunia.

Jangan Kau Pergi, Kau Harus Ada

Squall tersekat dalam time compression

Squall berjanji di dalam hatinya di lapangan bunga di Edea’s House untuk sentiasa menjaga Rinoa dan sanggup untuk menjadi kesatrianya sekiranya Rinoa ditakdirkan menjadi musuh kepada manusia sejagat dan dia berpesan pada Rinoa untuk sentiasa berada di sampingnya. Rinoa menyatakan kebimbangannya kerana dia pernah bermimpi Squall berkatakan perkara yang sama padanya dan berjanji untuk melihat tahi bintang bersama-sama tetapi Rinoa tidak dapat menjumpainya. Keliru dengan pengakuan Rinoa mengenai mimpi itu. Squall berjanji dengan Rinoa untuk menunggunya di hadapan lapangan bunga ini sekiranya Rinoa ingin berjumpa dengannya walau apa pun yang terjadi.

Untuk mengalahkan ahli sihir Ultimecia tanpa menyakiti Rinoa, Squall perlu mencari Ultimecia yang berada di masa hadapan dan membunuhnya sebelum dia menggunakan Rinoa sebagai tubuhnya untuk memerintah dunia masa kini. Presiden Esthar, Laguna, merancang mengalahkan ahli sihir Adel dan menyelamatkan Ellone serta membiarkan Adel menyerahkan kuasa sihirnya kepada Rinoa dan menggunakan kuasa time compression Ultimecia untuk membawa Squall dan rakan-rakannya ke masa hadapan untuk membunuh Ultimecia.

Selepas berjaya mengalahkan Ultimecia, Squall cuba mencari jalan kembali ke masa yang asal tetapi tidak berjaya dan terlupa akan janjinya kepada Rinoa untuk bertemu kembali di lapangan bunga. Rinoa menggunakan sisa kuasa sihir Ultimecia yang ada dalam dirinya untuk mencari Squall dan membawanya kembali ke lapangan bunga, tempat pertemuan yang telah dijanjikannya.

Squall dan Rinoa akhirnya bersatu sekali lagi

Akhirnya Squall dan Rinoa berjaya bersatu kembali dalam majlis keramaian di Balamb Garden untuk kedua kalinya. Mereka melihat tahi bintang bersama-sama. Untuk pertama kalinya, Squall tersenyum di hadapan kekasih tercinta, Rinoa Heartilly.

Sebuah Kisah Cinta Klasik ‘Ever-Green’

Sebagai seorang pemain yang amat mementingkan naratif di dalam gameplay, Final Fantasy 8 adalah permulaan langkah berani SquareSoft dengan memberikan nafas baru dari segi penceritaan yang membawakan tema percintaan yang disulami pengembaraan dan konflik. Di samping itu, game ini berjaya membawa emosi penulis bagaikan menaiki rollercoaster, cuba menyelami perasaan Squall dalam menyeimbangkan tanggungjawab dan perasaan cinta pada kliennya, Rinoa.

Dan betapa Rinoa dengan sifat keterbukaan dan keberaniannya berjaya mencairkan dinding ais yang membeku sekian lama dalam diri Squall Leonhart, sekaligus menjadikan Squall bersifat lebih terbuka dalam mengambil berat dan menunjukkan empati kepada rakan-rakannya, menyerlahkan sifat semulajadi Squall menjadi pemimpin yang baik untuk Balamb Garden.

Final Fantasy 8 adalah salah satu game yang berjaya membawa mesej bahawa cinta itu mampu mengubah kondisi karakternya ke arah yang lebih baik.

Final Fantasy 8 secara asalnya dilancarkan di PC dan PS1 pada 1999. Kini, anda boleh didapati di PC (Steam) dan PS3 (emulator). Game ini sangat bersesuaian dengan pasangan kekasih yang ingin bermain bersama dan mahu mengenali siri Final Fantasy dengan lebih dekat.

Happy Valentine’s Day and enjoy the game! <3

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.