Sony Pictures memang benar mengikut cogan kata asal Nathan Drake: “Greatness from small beginnings” iaitu kehebatan bermula dari permulaan yang kecil.

Idea filem Uncharted sudah berlegar lama di Hollywood dan kini, Sony Pictures membuat rangka baru untuk adaptasi filem Uncharted berdasarkan siri game yang paling laris dijual dalam sejarah PlayStation 4.

Menurut Deadline, Sony Pictures baru mengumumkan di festival filem Cannes bahawa Tom Holland bakal menjadi Nathan Drake muda untuk filem Uncharted. Tom Holland ialah bintang baru yang menyinar sebagai Spider-Man dalam Captain America: Civil War dan bakal membintangi lagi sekali sebagai adiwira Spider-Man dalam Spider-Man: Homecoming akan datang nanti.

Sebelum ini, filem Uncharted ditulis oleh Joe Carnahan sebagai filem R-Rated yang penuh dengan aksi gempak berdasarkan Uncharted: Drake’s Fortune tetapi ketua Sony Pictures, Tom Rothman mengambil inspirasi untuk membuat adaptasi Nathan Drake muda selepas menonton sedikit potongan filem Spider-Man: Homecoming. Sony Pictures akan menulis draf skrip baru berkisar tentang sebelum Nathan Drake menjadi pengembara harta karun yang terkenal.

Nathan Drake dalam Uncharted 3: Drake’s Deception

Filem Uncharted akan dijadikan sebagai prequel kepada siri pengembaraan harta karun, Uncharted yang dibangunkan oleh Naughty Dog. Shawn Levy (Real Steel, Stranger Things) masih tetap akan mengarah adaptasi filem berdasarkan perjumpaan pertama Nathan Drake bersama Sully yang bakal menjadi mentor Nathan dalam Uncharted 3: Drake’s Deception.

Siri game Uncharted akan bersambung kembali dengan Chloe dan Nadine dalam satu stand-alone baru, Uncharted: The Lost Legacy bakal dikeluarkan pada bulan Ogos ini.

Tiada lagi tarikh rasmi filem Uncharted diumumkan oleh Sony Pictures setakat ini.

JomKomen!