in , ,

SpecialEffect: Organisasi Murni Yang Membantu Gamers Kurang Bernasib Baik

Kini, tiada yang mustahil untuk  setiap insan menjadi gamer. Jom kita tengok usaha murni SpecialEffect bersama insan kurang bernasib baik ini.

specialeffect

Tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa video game mungkin adalah suatu ciptaan yang sangat berpengaruh dalam sejarah panjang kemanusiaan. Ia telah mengubah bagaimana manusia berfikir, bergaul, membina tali persahabatan, dan menilai kehidupan dari satu perspektif yang tidak pernah kita bayangkan sebelum ini, sekaligus mentransformasikan bagaimana kita menjalani kehidupan seharian kita.

Sukar untuk kita gambarkan sekiranya video game tidak pernah wujud dalam dunia ini. Mungkin kita tidak bergelak ketawa seperti hari ini, berkenalan dengan rangkaian sahabat yang ramai serta mungkin kita tidak masuk ke kamar tidur pada waktu malam dengan senyuman selebar seperti yang kita lakukan kini.

special effect

Sedang anda membacakan artikel di laman web berasaskan gaming ini, sudah tentunya anda adalah seorang yang pernah memainkan video game. Oleh itu, penulis ingin mengatakan, anda adalah antara golongan yang sangat beruntung kerana pernah/sedang bermain video game.

Namun, bukan itu kisahnya jika kita memandang ke satu sisi golongan yang lain. Ia seolah-olah mustahil kepada golongan kurang bernasib baik, atau lebih sinonim dengan panggilan Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk memainkan video game. Terkadang kita termenung di suatu sudut, mengapa golongan ini tidak boleh bersama-sama dengan kita dalam bergelak ketawa, mencuit hati dalam sesi gaming? Tidak adil, bukan?

special effect

Maka, berpegang dengan asas itulah, SpecialEffect, sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang berpangkalan di United Kingdom (UK) telah menjalankan usaha dan inisiatif yang sangat, sangat murni. Mereka merupakan sebuah pasukan yang melakukan modifikasi kepada alat-alat video game seperti mengubahsuai joystick istimewa agar golongan-golongan kurang bernasib baik, terutamanya mereka yang mengalami ketidakupayaan fizikal dapat memainkan video game kegemaran masing-masing.

SpecialEffect menggunakan teknologi yang mereka miliki untuk meningkatkan kualiti hidup mereka ini dengan semua jenis keperluan, termasuklah mereka yang mengalami strok, mangsa kemalangan jalan raya, individu yang mempunyai ketidakupayaan fizikal serta para tentera yang tercedera ketika di perbatasan.

Beberapa alat yang telah mereka bina adalah amat mengagumkan. Dari alat permainan yang direka khas dengan butang-butang yang besar, sistem kawalan menggunakan mata atau suara, hinggalah ke joystick yang menggunakan dagu – semuanya direka khas untuk setiap insan yang mereka bantu.

“I’d always had to watch my friends play video games. They’re important to me because I can’t go out and play football like other kids, but now I can – on a computer screen. I can get the same amount of fun as they do, it’s amazing!”

Petikan di atas adalah kata-kata yang keluar daripada Ben, salah seorang daripada beberapa insan yang telah mereka bantu. Anda boleh mengetahui dan membaca kisah-kisah mereka yang istimewa ini DI SINI.

Membacakan kisah mereka dan menonton video di atas mampu membuatkan kami sebak serta tersentuh hati. Bagaimana gembira dan riangnya mereka apabila dapat melakukan sesuatu yang selama ini mungkin mereka anggap mustahil untuk dilakukan. Senyuman mereka adalah sesuatu yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

Prinsip organisasi ini, mereka tidak mengharap balasan secara langsung dari pihak tertentu atau menjual apa-apa barang/perkhidmatan. Mereka berkata, setiap bantuan yang mereka terima sama ada melalui masa, kemahiran mahupun dana berupa wang, ia sentiasa dialu-alukan. Malah, promosi yang dilakukan melalui hebahan menerusi mana-mana platform mengenai organisasi mereka ini juga amat dihargai.

Justeru, sekiranya anda berminat untuk membantu organisasi ini secara langsung, bolehlah menghulurkan bantuan anda DI SINI.

Anda boleh dapatkan segala informasi tentang mereka ini dengan melayari laman web rasmi mereka, specialeffect.org.uk

Dan pada hujung minggu ini, SpecialEffect akan menganjurkan GameBlast16, sebuah acara yang mampu menyokong aktiviti mereka ini. Anda boleh menganjurkan gaming event anda sendiri dan mendapatkan tajaan daripada mereka bagi membantu organisasi ini. Anda boleh dapatkan maklumat lebih lanjut mengenai acara ini DI SINI.

Kata orang, kalau menebang si pohon jati, papan di Jawa dibelah-belah; kalaulah hidup tidak berbudi, umpama pokok tidak berbuah.

Mungkin, dengan mengetahui kisah dan aktiviti murni mereka ini, kita berupaya merenung semula segala nikmat yang kita alami setiap hari. Setiap nafas yang kita hela pada setiap hari harus kita syukuri kerana pasti ada insan yang mempunyai nasib yang tidak sebaik kita di luar sana.

Gaming pada masakini bukanlah sebuah alat permainan semata-mata. Melalui gaming, ia mampu menghias jiwa mereka ini dengan warna-warni kehidupan.

Gaming itu indah, gaming itu kehidupan.

Written by Faiz Tobeng

Abang Youtuber ini berpersonaliti jiwang di luar dan berjiwa pahlawan di online gaming. Casual gamers yang juga peminat tegar Battlefield series & PES.

Comments

Leave a Reply

    2 Pings & Trackbacks

    1. Pingback:

    2. Pingback:

    JomKomen!

    Loading…

    0

    JomRakam! Ep. 10: Cabaran Lima Rekrut Berperisai!

    Runner 2: Future Legend Of Rhythm Alien: Berlari Menuju Kegemilangan!